Saturday, December 6, 2008

Diari 15 - Anak-anak kita

Hari ini, 3.30 pagi 6 Disember 2008, saya menghadiri perjumpaan dengan sahabat-sahabat dari "kursusborongchina.com.". Dalam perjalanan pulang ke rumah saya melalui dataran Shah Alam. Di dataran, ia dipenuhi dengan muda-mudi. Saya menjeling jam di dalam kereta. Jam digital ini menunjukkan pukul 3.30 pagi. Mereka duduk di dataran ini sambil berbual, bergurau senda, saling mencubit dan betepuk tampar.

Bersama saya ialah anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah yang besar dan semuanya memakai jubah dan kopiah putih. Saya memberhentikan kereta dan turun. Anak-anak ini tinggal di dalam kereta. Saya membawa kamera saya.

Saya yang memakai baju Melayu duduk tidak jauh dari couple-couple ini. Ketika melihat saya, ramai di antara mereka perlahan-lahan meninggalkan tempat duduk mereka. Ada yang mula beredar dari situ. Ada yang menaiki kereta dan ada yang menunggang motorsikal.

Akhirnya, hanya tinggal yang lelaki sahaja duduk di sini. Couple-couple ini semuanya beredar.

Ketika saya meninggalkan tempat ini, saya terfikir. Anak-anak muda ini memang buat salah, keluar hingga pukul tiga pagi berduaan begini. Tetapi, ketika melihat saya berpakaian baju Melayu, dan melihat orang memakai jubah dan kopiah di dalam kereta, mereka terus pergi. Mungkin mereka takut saya sedang memerhati untuk menangkap mereka, mungkin ada yang menyangka nanti saya datang dekat mereka dan membebel atau perasaan-perasaan lainnya. Yang pasti, mereka masih ada rasa bersalah. Selagi orang yang berbuat salah masih sedar dia sedang membuat salah selagi itu mereka masih boleh diperbaiki.

Saya yakin, mereka semua ada fitrah ingin jadi baik. Tetapi mungkin kerana kurangnya bimbingan atau tidak ada orang yang dapat mendampingi mereka, mereka jadi lupa. Sebab itu, apabila kita melihat orang membuat kesilapan, kita juga kena tanya diri kita, apa yang telah kita buat untuk memperbetulkan orang yang silap ini.

Jika kita telah berusaha menjadi baik, kita juga usahakan untuk mengalirkan apa yang kita ada pada orang lain. Memandanglah dengan kasih sayang sesama manusia, berusahalah untuk berkasih sesama manusia dan ikhlaskanlah niat ketika berkasih sesama manusia. Nabi bersabda, "tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu mengasihi orang lain seperti mana kamu mengasihi diri kamu sendiri."

Semoga jiwa dakwah dapat terus disemai di dalam dada kita, amin..

Ramai orang yang boleh menghulurkan bantuan kewangan untuk orang lain, tetapi tidak ramai orang yang boleh menghulurkan bantuan keimanan pada orang lain. Bantulah generasi muda dengan iman dan akhlak

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...