Tuesday, December 23, 2008

Universiti Kehidupan 21 - Jangan Harapkan Orang Lain Untuk Membela Kita

22 Disember 08. Waktu malam saya ada perbincangan dengan beberapa orang sahabat. Antara yang hadir ialah Cik Nurhani Salwa (Hani) Penasihat Undang-undang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pagi 22 Disember ini, Cik Nurhani Salwa telah dijemput untuk menyertai taklimat khas berkenaan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) bersama Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Selangor, YB wakil rakyat negeri Selangor, Ketua Polis Selangor dan pegawai-pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas, Majlis ini dipimpin oleh Prof. Salleh Buang menerangkan mengenai takat kebebasan beragama di Malaysia.

Antara isi perbentangan ialah mengenai Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam). Isi Enakmen ini ialah berhubung takat kuasa pihak berkuasa yang dilantik untuk mendakwa mana-mana orang bukan Islam yang sengaja menghasut memujuk dan mempengaruhi orang Islam untuk keluar dari Islam atau mengamalkan ajaran atau ugama selain Islam.

Selepas majlis taklimat selesai, sesi joal-jawab diadakan untuk memberi peluang kepada hadirin mengutarakan soalan atau pandangan mereka berhubung taklimat yang diadakan.

Banyak YB yang bukan Islam hadir tetapi mereka tidak bertanyakan banyak mengenai Enakmen tersebut. Apa yang memeranjatkan ialah beberapa orang YB yang Islam tampil bertanya dan mempertikaikan Enakmen ini. Salah seorang YB Islam ini mengatakan bahawa undang-undang tersebut tidak lagi relevan dan bersifat menindas kepada golongan bukan Islam dan mencadangkan supaya ianya dimansuhkan.

Yang hadir semuanya terkejut. Sahabat-sahabat dari MAIS juga terkejut. Jika YB Islam tidak membela Islam jangan harap yang bukan Islam akan membela Islam. Jangan salahkan orang bukan Islam jika mereka juga nanti berani mempertikaikan hak orang Islam.

Akhirnya saya berbisik pada diri saya, politik itu perlu untuk Islam, tetapi pembelaan terhadap Islam biasanya datang dari badan yang tidak rasmi.

Sejarah mencatatkan bahawa ulama-ulama yang hebat bergelanggang membela Islam bukan dengan jawatan rasmi. Memang perlu ada jawatan rasmi untuk tujuan syiasah syariyyah tetapi, golongan yang tidak rasmi perlu lebih hebat dan jangan rasa selesa dengan wujudnya jawatan rasmi. Ini kerana, belum tentu golongan rasmi itu menjaga Islam dengan baik.

Saya menyeru pada pembaca sekelian. Marilah kita pegang agama dalam diri kita dengan sebaiknya. Seterusnya, alirkan pada keluarga kita. Jika kita mampu, bergelanggang pada peringkat masyarakat. Seterusnya peringkat Negara dan Ummah Islamiyyah sekeliannya. Jangan kita rasa selesa seolah-olah ada orang lain yang buat. Jangan mengharap orang lain akan bela agama kita. Kita kena mulakan sendiri. Jika setiap individu ada perasaan ini, maka setiap orang akan mengamalkan Islam dan juga akan mula memperjuangkan Islam. Jika semua individu mula memperjuangkan Islam, maka kita akan lihat, Islam akan diperjuangkan di dalam semua bidang kehidupan.

Jika Islam itu syumul sifatnya maka perjuangan juga perlu syumul. Jika Islam itu antarbangsa sifatnya, perjuangan juga perlu bersifat antarabangsa. Oleh itu, marilah sama-sama kita mulakan. Mulakan dengan diri kita. Insyallah, Allah akan terus membantu dan merahmati, amin…

1 comment:

Azri said...

Ya Ustaz , siapa dia ni yang buat songeh ..bagi nama nya biar satu dunia tahu malaun malaun ni!

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...