Thursday, September 18, 2008

al-Ijabah 2 - Bahagiakah mereka dengan material?






Hari ini 17 2008 September bersamaan dengan 17 Ramadhan 1429. 17 Ramadhan merupakan cuti umum bagi negeri Selangor. Saya dan berberapa orang pentadbir rumah Ijabah merancang untuk membawa warga al-Ijabah ke Sunway Piramid. Tujuannya ialah untuk membelikan mereka buku bacaaan di kedai buku Popular dan baju raya di Jusco. Beberapa orang kakak dari Shah Alam menawarkan diri untuk menjadi penjaga warga al-Ijabah seramai 50 orang ini ketika membeli di Sunway Piramid.

Hari ini Sunway Piramid sesak dengan pengunjung. Rombongan kami sampai dan kami bersama-sama berjalan, menuruni escalator untuk ke destinasi pertama iaitu kedai buku Popular.

Sewaktu melintasi orang ramai, saya melihat berbagai-bagai memek muka. Ada yang memandang kami dengan tersenyum gembira, ada yang memandang kami dengan senyuman kelat. Maklumlah, pada pandangan mereka rombongan kami tidak class. Seolah-olah kedatangan kami ke sini hasil belas orang yang menderma. Jika tidak, mana mungkin kami mampu menjejaki kaki ke sini.

Saya hanya tersenyum melihat gelagat mereka memandang ke arah rombongan kami yang ramai. Ah.. pedulikan senyuman orang pada kita walauapa pun jenisnya, yang penting saya rasa cukup bahagia melihat anak-anak ini tersenyum riang.

Kami mula memasuki kedai buku ini. Anak-anak ini terus membelek-belek buku yang ada. Yang besar memilih buku cerita, yang kecil memilih buku bergambar.

Walaupun mereka memilih sendiri buku-buku ini, mereka akan menunjukkan kepada kami adakah buku ini baik untuk mereka. Dari gelagat mereka, sebenarnya mereka bukan sahaja gembira dapat memilih buku-buku ini sendiri, tetapi mereka lebih bahagia apabila penjaga memberi perhatian kepada mereka.

Setelah selesai di kedai buku, kami pergi ke Jusco. Mereka memilih sendiri baju yang mereka inginkan. Pengiring-pengiring yang ada melayan mereka dengan baik sekali.

Ada di antara pengiring yang berkata,

"terima kasih Ustaz sebab ajak saya temankan anak-anak ini, saya bukan sahaja gembira malahan rasa bahagia sekali."

Sebenarnya, anak-anak ini bukan sahaja memerlukan perhatian lahiriyyah mereka malahan mereka juga memerlukan kasih sayang ataupun perhatian batiniyyah mereka.

Saya teringat kisah beberapa bulan yang lepas. Ada seorang artis yang menjemput kami ke rumahnya. Ia mahu meraikan hari jadinya dengan anak-anak yatim. Ada wartawan yang dijemput sama di dalam majlis ini. Tujuannya untuk diminta menulis artikel yang mengatakan bahawa dia menyambut hari jadinya bersama anak-anak yatim.

Tetapi, ketika berada di dalam rumahnya, ditengkingnya anak ini, Ketika sedang makan, diarah-arah dengan kasar anak ini,

"sini jangan duduk, duduk dekat sana" dan lain-lain lagi.

Apa yang paling mengejutkan, ketika majlis tamat, dia mengatakan anak-anak yatim ini nakal, gelojoh, seolah-olah tidak cukup makan dan lain-lain lagi. Sehinggakan dia mengatakan bahawa, lain kali tak apalah, kita tak payah jemput mereka ini, jika nak makan, nanti kakak hantar sahaja makanan ke rumah mereka.

Semua tetamu yang bersama saya pada malam itu merasa terkejut dan kesal dengan sikap artis ini. Akhirnya mereka semua mengucapkan perkataan yang sama,

"inilah kali pertama dan terakhir kita datang ke sini"..

Sesungguhnya, setiap orang bukan sahaja memerlukan perhatian lahiriyyah, malahan mereka juga memerlukan kasih sayang yang datang dari hati yang ikhlas.

Kita tidak bahagia dengan banyaknya material disekeliling kita, tetapi kita akan lebih bahagia jika orang disekeliling kita menerima kewujudan kita di samping mereka.

Inilah fitrah setiap manusia, mereka mahu menyayangi dan mahu di sayangi. Tetapi tidak ramai orang yang sedar hakikat ini. akhirnya, kita kaya dengan material tetapi miskin dengan jiwa.

Semoga kita menjadi orang yang sentiasa memburu cinta Allah. Dengannya, kita akan menyayangi manusia dengan ikhlas, bukan dengan kepentingan yang ada.

5 comments:

zack_keeman said...

Assalamualaikum ustaz, saya tertarik dengan isi blog ini. dan sekalung tahniah untuk ustaz. Saya rasa ustaz perlu terus menulis dalam blog ini dan jangan berhenti kerana ia mungkin boleh memberi kesan yang baik kpd org lain termasuk saya. Ustaz, letak lah sekali no. akaun dan penama bagi memudahkan sesiapa yang ingin menyumbang.....wassalam

Unknown said...

Assalamualaikum ustaz..tahniah atas usaha ustaz membela anak2 yatim...
menitis air mata melihat wajah anak2 ini..... kalau saya dekat sgn tmpt mereka ingin sekali menjenguk mereka..tetapi sy jauh di negara asing... ustaz letaklah no akaun bg org2 yg ingin menyumbang.....

teruskan menulis tentang anak2 ini ustaz... sempga Allah memberkati mereka dan juga pembela2 mereka...aminn.

Shahabudeen Jalil said...

ye ustaz.. tahniah.. tengok komen2 org kat sini.. ustaz tulis la banyak lagi.. saya tahu ustaz banyak travel..

rosila said...

Assalamualaikum ustaz, saya baru terjumpa blog ustaz dan amat tertarik dengan kandungannya. Boleh tak ustaz berikan alamat tempat dan no telefon Pusat Al-Ijabah tu? TQ dan wassalam

Ustaz Amin said...

Insyallah, sesiapa yang ingin tahu lebih lanjut mengenai pengurusan rumah al-Ijabah bolehlah email pada saya di muhamadbinabdullah@gmail.com

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...