Friday, September 26, 2008

Diari 3 - Berita Gembira Untuk Kita


Sebagai pengamal undang-undang, Saya telah dijemput oleh Bahagian Undang-Undang Majlis Agama Islam Selangor ke Mahkamah Persekutuan Putra Jaya untuk mendengar keputusan kes Abdul Kahar bin Ahmad yang mengaku rasul orang Melayu melawan Kerajaan Malaysia, Kerajaaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

Sinopsis Kes
Abdul Kahar telah mengaku menjadi rasul bagi orang Melayu. Dia telah di dakwa di atas 5 kesalahan jenayah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 di Mahkamah Syariah. Rentetan dari itu, dia melalui peguamnya, Malik Imtiaz telah memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan Putra Jaya supaya Mahkamah mengisytiharkan bahawa berberapa peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 tidak sah kerana Dewan Undangan Negeri, tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah yang merupakan bidang kuasa Parlimen.

Dia turut mempertikaikan bahawa jawatankuasa fatwa negeri-negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dalam bentuk fatwa yang digazetkan.

Jika kes ini dimenangi Kahar, ia akan menjadikan skop penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam terhad dan fatwa akan menjadi sebagai pandangan yang boleh dipertikaikan. Kesannya, sesiapa yang mengamalkan apa-apa ajaran yang bertentangan dengan Islam,tidak boleh di dakwa.

Keputusan Kes
Koram Mahkamah Persekutuan Putra Jaya yang terdiri dari Abdul Hamid, CJ, Zaki Tun Azmi, PCA, Zulkifli Ahmad, FCJ sebulat suara menolak permohonan Kahar.

Kesan keputusan kes ini.

Di sisi undang-undang di Malaysia, fatwa akan menjadi satu sumber perundangan dan rujukan bagi perkara yang berkaitan dengan agama Islam.

Selepas ini, tuntutan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) yang menuntut kebebasan membuat tafsiran kepada Islam tidak boleh dilaksanakan melainkan tafsiran tersebut dirujuk kepada fatwa dan Mahkamah Syariah.

Pemikiran Islam Liberal yang boleh mentafsir Islam mengikut pandangan mereka akan dapat dikawal. Ini kerana segala pentafsiran mengenai Islam perlu dirujuk kepada fatwa dan Mahkamah Syariah.

Peranan Jabatan Mufti akan lebih dihormati kerana ia akan menjadi rujukan utama kepada apa-apa permasalahan berkaitan orang Hukum Syarak.

Secara peribadi, saya melihat kes ini bukan sahaja kemenangan untuk Majlis Agam Islam tetapi kepada semua umat Islam di Malaysia. Semoga Allah terus memelihara kita dari segala ancaman yang menggugat umat Islam ini.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...