Monday, September 8, 2008

Salam pengenalan

Salam pengenalan untuk semua. Saya Muhamad bin Abdullah Al-Amin. Amin adalah nama gelaran yang diberi oleh datuk sebelah ibu saya al-Marhum Haji Umar. Di kalangan ahli keluarga terdekat mereka memanggil saya dengan nama ini.

Saya dibesarkan di dalam keluarga orang agama. Bermula dengan sekolah rendah dan menengah di Johor, pada umur saya 15 tahun, al-Marhum ayahanda saya telah menghantar saya ke Pakistan untuk menghafal al-Quran dan mempelajari ilmu berkaitan agama. Saya berada di Pakistan selama 3 tahun.

Sekembalinya saya dari sana, saya meneruskan pelajaran ke Maahad Muhammadi Kota Bharu Kelantan. Selepas tamat tingkatan 5, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya Nilam Puri Kelantan. Selama 5 tahun berada di Kelantan ini, saya sering berulang dan belajar di Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas dan berguru dengan al-Marhum Tuan Guru Haji Abdullah. Kemudian saya membuat pengkhususan di dalam bidang Syariah dan Undang-undang diUniversiti Malaya Kuala Lumpur.

Semasa di Universiti Malaya, saya sering mengidam untuk belajar di luar negara. Alhamdulillah, setelah tamat di UM ini, saya melanjutkan pelajaran ke Maahad Ihsaniah Penang. Oleh kerana saya telah mempunyai Ijazah Sarjana Muda pada ketika itu, saya diterima untuk masuk tahun akhir di sini.

Setelah dua semester di sini, saya diterima masuk ke Universiti Al-Azhar di dalam Kuliyyah Syariah di Kaherah untuk tahun akhir.

Sekembalinya, saya mengambil Diploma Administration Of Islamic Judiciary (DAIJ) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia melayakkan saya menjadi pengamal Undang-undang Syariah (Peguam Syarie).

Selepas itu saya mula membuat Master di dalam bidang Pentadbiran Undang-Undang Islam di Universiti Malaya.

Kini, saya sedang mengikuti pengajian bagi master kedua saya di UIAM di dalam LLM (AIOL).

Saya merasakan bahawa ilmu Allah itu sangat luas dan amat kerdilnya diri ini sekalipun telah lama belajar. Dari perasaan inilah, bermula tahun 2003, saya mula merantau ke serata negara Arab, melawat orang-orang alim, bertamu di rumah mereka, berbincang dan memohon bimbingan.

Saya telah membuat lawatan, bertalaqqi dengan ulama' yang saya temui, mengambil sanad dari mereka. Ada juga negara yang hanya melihat peninggalan ulama' terdahulu. Bermula dengan Yaman, saya ke Syria, Jordan, Lubnan, Turkey, Maghribi, Spanyol, Mesir, Iran, Uzbekistan serta lawatan ukhwah ke China, Hong Kong, Vietnam, dan Combodia. Saya juga membuat lawatan ke negara barat seperti UK dan France untuk bertemu dengan sahabat seagama di sana.

Secebis pengalaman yang ada ini ada yang saya bukukan dan ada yang akan saya kongsikan di dalam blog ini.

selain dari itu, Alhamdulillah, dengan izin Allah saya juga terlibat dengan operasi kemanusiaan di beberapa negara yang di landa bencana seperti operasi kemanusiaan di Aceh, gempa bumi di Pakistan, Gempa bumi di Jogjakarta, Tsunami di Pangandaran Jawa Barat, Gempa bumi di Bengkulu.

Daripada negara yang saya lawat ini, saya mulai tersentuh dengan rasa ingin bersama anak Yatim. Maka pada pertengahan 2005, saya mula mengasaskan rumah anak yatim di Subang Jaya. Perbincangan dengan para sahabat terdekat melahirkan pengurusan yang lebih baik. Hasilnya lahirlah Yayasan al-Ijabah dan rumah anak yatim ini sekarang dikenali dengan nama Rumah Anak Yatim dan Tahfiz al-Ijabah.

Rumah ini menempatkan anak-anak yatim dan orang yang susah dari seluruh negara. Ada juga anak keluarga orang yang ingin menempatkan anak mereka menjalani sistem pengajian yang kita lagangkan. Mereka membantu dari sudut yuran yang diberikan.

Rumah al-Ijabah ini terbeza dengan rumah yang ada dari sudut penekanan kepada akademi dan akhlak mereka. Mereka dihantar ke sekolah swasta terpilih untuk menerima pengajian integrasi yang menggabungkan sistem Kementerian Pendidikan Malaysia dan Agama.

Di dalam bidang agama, mereka dididik dengan akidah ahli Sunnah, memahami hukum dengan melalui mazhab Syafie, lenturan akhlak kaedah Imam al-Ghazali dan ketegasan hujjah sistem Imam al-Bukhari.

Semoga usaha yang sedikit ini membuahkan kebaikan pada agama, bangsa dan negara. Yang penting bukan usaha ini telah dimulakan, tetapi bagaimana usaha ini dapat diteruskan dengan lebih baik.

Semoga perkenalan kita di dalam blog ini menambahkan lagi kesatuan ukhwan. Dengannya dapatlah kita sama-sama terus berusaha ke arah yang lebih diredhai Allah.

Sekian, salam hormat.

4 comments:

Anonymous said...

Salam, ingin bertanya. Boleh ke beri alamat rumah anak yatim di Subang Jaya itu?

Anonymous said...

salam ustaz saya nak tnya alamat email ustaz kalo ustaz adlah..tq

Unknown said...

Salam pergenalan ustaz.. Saya jalalboy tertarik dengan cara penyebaran ustaz melalui alam maya. Saya juga menyampaikan dakwah melalui alam maya melalui laman Web http://jalalboy.blogspot.com/.. Harap jika ada salah silap dapat ustaz perbetulkan. http://jalalboy.blogspot.com/2012/01/salam-pergenalan.html

Nur Hazwani said...

salam,saya pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam jurusan syariah.Saya memang berminat untuk menjadi peguam syariah cuma saya tidak tahu bagaimana ingin memulakan langkah dan saya keliru samada ingin mengambil DAIJ, DIJAP atau diploma di UIA untuk melayakkan saya untuk menjadi peguam syariah. Sekiranya saya ingin mengambil DAIJ bagaimana saya ingin memohon?harap sangat Tuan boleh membantu.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...