Berada di Kelantan menjadikan saya terfikir untuk membawa keluarga ke Thailand, melawat sahabat-sahabat di sana sambil membawa keluarga bercuti.
14 September 2010, saya telah memasuki Thailand melalui Wang Kelian Perlis menuju ke rumah seorang sahabat saya, Muhamad, di Satun.
Sampai di rumah sahabat saya di Satun, hari sudah petang. Rumah beliau tidak jauh dari Masjid Jamik Mambang Satun.
Di Satun, saya menghubungi pula sahabat saya, Ustaz Hussain di Krabi Thailand.
“MasyaAllah, datanglah sini, nanti ana boleh ajak jalan” kata Ustaz Hussain.
Dari Satun ke Krabi lebih kurang 350 km.
“Ok juga tu” bisik hati saya.
“Kalau anta nak pergi jangan lupa isi minyak penuh, sebab malam-malam macam ni, steysen minyak tutup” kata sahabat saya Muhammad.
Jam 7.00 malam, saya mula bertolak ke Krabi. Bertemu dengan sebuah stesen minyak, saya terus berhenti.
Orang di sini tidak tahu bahasa Melayu dan juga Inggeris. Setelah memberhentikan kereta, saya terus turun dan memberikan isyarat kepada pekerja stesen minyak itu untuk mengisi penuh.
Pekerja itu telah pun meletakkan kepala pengisi minyak ke kenderaan saya. Tiba-tiba saya terfikir dan terus bertanya…
“Diesel or Petrol?”
Perkerja ini tidak memahami apa yang saya kata. Saya memandang ke atas mesin pengisi minyak ini..
Tertulis “B5”.
Di bahagian belakang, ada mesin lain dan tertulis “95” dan “97”.
“Isk, kalau kat Malaysia, RON 95 atau 97 ni minyak petrol, jadi mesti yang belakang yang petrol” bisik hati saya.
“Ops..ops…” saya memberi isyarat pada pekerja stesen minyak ini.
Saya mengundurkan kereta kepada mesin yang tertulis “95” dan “97”.
Rupanya betul, “B5” tu minyak diesel. Nasib baik tak isi. Kalau isi, memang panjang pula cerita tu….
Enjin kereta petrol tak boleh di isi dengan diesel. Begitu juga sebaliknya. Jika isi juga dan jalan dengan minyak yang salah, maka ia akan merosakkan enjin.
Perut kita juga begitu, jika kita memasukkan makanan yang rosak, basi, maka dia akan rosak dan nampak rosaknya. Paling kurang kita akan muntah-muntah atau cirit birit kerana keracunan.
Begitu juga dengan hati kita. Jika kita memasukkan dengan kefahaman dan keyakinan yang salah dia akan rosak.
Dia akan tidak tenang, akan risau, akan gundah gulana, akan mudah marah, dendam, dengki, sombong dan sebagainya.
Tetapi, berapa ramai orang yang memasukkan hatinya dengan perkara yang buruk tetapi dia tidak sedar dengan kerosakkan hati itu.
Dia tidak sedar semakin hari dia menjadi semakin sombong, semakin lupa Allah, semakin jauh dari kebenaran, semakin tidak tenang, semakin risau dan sebagainya.
Kalau kereta boleh rosak, begitu juga dengan hati. Sebab itu, seperti kita menjaga kereta, kita kena lebih lagi menjaga hati kita.
Kereta rosak boleh diganti, tetapi hati yang rosak akan menyebabkan kita sengsara di dunia dan di akhirat.
Dan kita hanya akan selamat bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.
Allah mengingatkan kita bahawa:-
88. (yaitu) di hari harta dan anak-anak tidak berguna 89. kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih
(Surah al-Syuara ayat 88-89)
Semoga, sepertimana kita menjaga perkara lain dari kerosakan, kita juga dapat menjaga hati kita dari kerosakan untuk keselamatan kita di dunia dan di akhirat.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Tonsai Beach Krabi Thailand
7 Syawal 1431/16 September 2010 jam 10.00 malam
Perjalanan dari Wang Kelain Perlis ke Satun
Iktibar minyak diesel
Krabi di dalam lingkungan 350 km dari Satun
2 comments:
semuga ustaz selamat pergi dan balik dr tugas tugas murni...aminnn
sebagai ibu... itu yang saya khuatiri.. kerana anak2 meningkat remaja dengan iringan yang meruntuhkan...
Post a Comment