Hari raya tahun ini disambut dengan sederhana. Sebenarnya, tiap-tiap tahun pun begitu. Tapi apa yang agak menarik tahun ini ialah saya diberitahu bahawa sekolah lama saya, Maahad Muhammadi mengadakan perhimpunan hari raya buat pertama kalinya untuk bekas-bekas pelajar sekolah ini.
13/09/2010, saya bersama keluarga telah berada di Kota Bharu Kelantan.
Negeri Kelantan ibarat negeri ketiga bagi saya setelah negeri kelahiran iaitu Johor, kemudian negeri saya dibesarkan iaitu Selangor.
Saya pernah duduk di negeri ini selama lima tahun belajar secara formal (Maahad Muhammadi dan UM) dan tidak formal (Pondok Lubuk Tapah).
Jam 10.30 saya memasuki kawasan Maahad Muhammadi. Menyapa guru-guru dan ustaz serta sahabat-sahabat lama yang dikenali di sini.
Majlis baru sahaja bermula dengan ucapan beberapa tokoh kelahiran Maahad termasuk yang telah menjadi Yang Berhormat.
Maahad ini telah ditubuhkan pada tahub 1937. Generasi yang paling tua yang hadir kala ini ialah seorang ustaz yang tamat di Maahad pada tahun 1957.
Apa yang saya pandang kala ini?…
Bukannya sahabat-sahabat lama yang saya temui, bukannya rasa hebat dengan anak-anak kelahiran Maahad yang telah menjadi pimpinan masyarakat.
Tetapi…..
Alangkah beruntungnya orang yang bersama-sama menubuhkan sekolah ini dengan segala sedekah, wakaf, infaq dan sebagainya.
Mereka semua telah berehat di kubur. Tetapi setiap saat pahala infaq mereka mengalir ke dalam kubur mereka.
Saya yakin, ketika mereka hidup, tentu banyak cabaran yang mereka hadapi, tidak cukup kewangan, difitnah di kata dan sebagainya. Tetapi dengan semangat yang kental dan kesungguhan, maka pusat pendidikan ini telah terbina.
Orang yang mengata dan memfitnah juga sudah tidak ada. Tetapi apa yang mereka dapat sekarang?….
Jam 12 tengah hari, saya meninggalkan perkarangan Maahad. Sedikit cita-cita yang ada semoga, Universiti Wakaf yang cuba diusahakan dapat direalisasikan.
Saya tahu kala ini, saya belum mempunyai kemampuan, tetapi saya yakin, niat yang baik pasti akan diperbaiki oleh Allah.
Semoga Allah memberi kemampuan dan mendatangkan sahabat-sahabat yang ingin bersama-sama di dalam usaha ini. Dan jika Allah berikan kemampuan, semoga Allah juga memberikan keikhlasan kepada kita semua.
Mudah-mudahan, ketika kita mati, kita telah berusaha untuk membuat amalan yang kekal pahalanya, amin…
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Tonsai Beach Krabi Thailand
7 Syawal 1431/16 September 2010 jam 9.00 malam
Maahad Muhammadi (L) Kota Bharu Kelantan
daftar alumni
Borang keahlian
Ucapan bekas pelajar sini termasuk beberapa YB
Sahabat seangkatan dengan saya
1937, tahun tertubuhnya Maahad secara rasmi
Kelantan seakan Brunei, tulisan Jawi di daulatkan…
No comments:
Post a Comment