Sunday, September 19, 2010

Universiti Kehidupan 163 – Belajar Berani Dari Ikan…

Hari ini, 17 September 2010, kami keluar dari Tonsai Beach Krabi Thailand. Kami menuju ke Phi Phi Don Island.

Di dalam perjalanan, kami akan singgah di beberapa tempat. Destinasi pertama ialah di Bamboo Island.

Bamboo Island, merupakan sebuah pulau yang ada pantai. Ia sangat cantik. Ketika turun ke air di gigi pantai, ikan-ikan kecil berbelang kuning dan hitam berenang manja. Ia tidak takut sama sekali dengan kami.

Kami memberikan roti dan ikan-ikan ini makan dengan girangnya dicelah-celah badan kami. Kadang kala, ia akan datang dan meletakkan badan dan mukanya pada tangan kami. Kalau tiba-tiba kita mengangkatkan baju kita, pasti tiga atau empat ekor terperangkap di baju.

Anak-anak kecil hanya melihat dari pasir pantai. Takut ingin turun ke air walaupun warna air begitu mengujakan. Barangkali, takut ikan akan menggigit mereka.

Saya berenang bersama-sama ikan. Ia seperti di Taman Laut di Pulau Tioman. Bezanya, ikan ini kecil dan dari laut Andaman yang luas. Kalau di Tioman, ia lebih besar.

Kenapa ikan ini tidak takut?

Kerana ia telah sangat biasa dengan manusia.

Kita pula kadang kala yang takut kerana rasa seperti kumpulan ikan ini nak makan kita padahal ia bukanlah dari spesis Phirana.

Perasaan takut memang ada pada diri kita. Tetapi ia boleh hilang dengan kebiasaan. Ia ibarat baju panas yang amat merimaskan badan kita.

Saya suka mengandaikan baju yang panas ini kita pakai sebanyak 10 lapis. Setiap kali kita mencuba perkara yang kita takut, ia seperti kita membuka sehelai dari baju panas ini.

Semakin kerap kita mencuba, semakin banyak kita membuka baju panas yang merimaskan ini. Hinggalah kita mencubanya sebanyak 10 kali, maka kita telah membuang semua sekali baju panas di badan kita. Kita telah mula lega.

Untuk sepuluh kali seterusnya, kita seperti memakai baju yang selesa pula. Semakin banyak kita membuatnya, semakin seolah-olah kita memakai baju yang selesa di badan kita.

Akhirnya, perkara yang kita takut itu hilang dari diri kita dan timbul rasa yakin dan berani di dalam membuat sesuatu perkara.

Melihat ikan yang berani, saya mempelajari sesuatu. Berani tidak datang dengan sendiri. Ia perlu diusahakan.

Kita perlu biasakan sesuatu yang kita takut sehinggalah perasaan takut itu hilang dan perasaan yakin menjati di dalam hati kita.

Semakin banyak kita membuat sesuatu perkara itu, semakin perasaan yakin terbina di dalam diri kita.

Sesungguhnya, berani murupakan bekalan hidup yang tidak ada tolok bandingnya. Jika hilang keberanian, kita akan kalah sebelum berjuang. Artinya, kita akan mati sebelum mati.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

10 Syawal 1431/19 September 2010 jam 10 malam

IMG_2154

Perjalanan Universiti Kehidupan kali ini adalah di Krabi Thailand

IMG_2150

Kami menuju ke Bamboo Island

IMG_2152

Kami berkongsi bot dengan pengunjung lain

IMG_2155

Bot nelayan

IMG_2162

Bamboo Island

IMG_2244

Belajar berani dari Ikan

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...