Thursday, September 2, 2010

Diari 239 - “Perluaskan Fungsi Masjid….”

Saya sangat memahami apa yang dirasakan oleh AJK Masjid Jamik Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya apabila melihat orang Islam menerima rawatan dialisis di pusat rawatan bukan Islam.

Saya pernah merasakan pilu seperti AJK ini ketika melihat orang HIV muslim di bawah perlindungan gereja. Ia membuatkan kita bersungguh untuk membuat sesuatu.

Bermula dengan rasa tanggung jawab, maka AJK masjid ini berusaha membina pusat dialisis di masjid ini.

Ahad 29 Ogos 2010, jam 9.00 pagi, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah pada hari terbuka masjid ini. Ia sebagai mewar-warkan fungsi masjid selain dari ibadah khusus, kini, masjid ini juga menjalankan tanggungjawab fardu kifayah iaitu memberikan perkhidmatan dialisis.

Rata-rata di Petaling Jaya, pusat dialisis dikendalikan oleh orang bukan Islam. Sudah tiba masanya untuk umat Islam membangunkannya sebagai tanggung jawab fardu kifayah.

Sesampai di Masjid ini, saya disambut oleh Haji Othman, Pengerusi Persatuan Dialisis Majid Sultan Abdul Aziz.

Ketika ini, terdapat banyak gerai-gerai jualan dan pameran di bahagian bawah masjid bersempena dengan hari terbuka ini.

Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah juga diberikan satu ruangan untuk pameran dan jualan.

Setelah melawat kawasan dialisis, saya terus dijemput untuk ke ruangan solat untuk menyampaikan ceramah “Sejarah Islam Nusantara”.

Ceramah ini memang disusun untuk menanamkan semangat kepada semua yang hadir agar sentiasa bergerak dan berkerja untuk kebaikan Islam dan umatnya.

Tahniah dan syabas kepada AJK masjid dan AJK persatuan yang berjaya menubuhkan pusat dialisis ini. Saya amat memahami segala ujian yang ditempuh bagi menjayakan usaha ini.

Apa pun, dengan keikhlasan menjadikan kita menjadi kuat mengharungi ujian.

Apakah perbezaan di antara pejuang dan juga tukang karut?

Seorang tukang karut akan berlagak berani dan hadal, tetapi ketika terkena pukulan ujian, dia tersembam dan tidak bermaya untuk bangkit.

Seorang pejuang berani memulakan, tidak gentar jatuh, dan tidak takut bangkit kembali setelah terkena pukulan. Sehingga semangatnya untuk bangun mengerunkan musuh yang memukulnya.

Ukuran seseorang pejuang bukan ketika dia memulakan, tetapi ketika dia bangkit dari kejatuhan, barulah akan terserlah kejituan semangatnya.

Untuk bangkit, seorang pejuang, tidak cukup dengan berani, ia memerlukan ketabahan, dan dengan ketabahan, maka sang pejuang mampu bangkit dari jatuhnya.

Bagi AJK masjid dan pusat dialisis ini, apa pun ujiannya, jangan mengalah, insyaAllah, Allah bersama kalian semua, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

23 Ramadhan 1431/ 2 September 2010 jam 1.20 pagi

IMG_0247

ruangan untuk Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah

IMG_0255

Bersama Haji Othman, Pengerusi Persatuan Dialisis Masjid Jamik Sultan Abdul Aziz

IMG_0256

Buku pelawat

IMG_0265

Ceramah “Sejarah Islam Nusantara”

IMG_0293

Bersama jemaah selepas ceramah…

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...