Saturday, July 3, 2010

Tarbiah Dan Dakwah 14 – “Sekitar Majlis Khatam Kitab Sunan at-Tarmizi….”

Antara tuduhan yang paling berat yang dilontarkan kepada Nabi SAW ialah baginda mencipta ajaran baru. Tuduhan ini dilemparkan oleh ahli kitab yang mendakwa bahawa merekalah pembawa risalah agama yang diwarisi dari nabi-nabi terdahulu.

Ketika Nabi SAW diisrakkan, Nabi SAW telah menerima risalah langsung dari Allah SWT. Ketika baginda pulang dari Israk dan Mikraj, Nabi SAW dapat berhujjah dengan ahli kitab secara tepat dan dapat menceritakan mengenai penyelewengan ahli kitab. Di dalam al-Quran, surah Ali Imran ayat 78 Allah menyatakan bahawa:-

Sesungguhnya diantara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca Al Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebagian dari Al Kitab, padahal ia bukan dari Al Kitab dan mereka mengatakan: "Ia (yang dibaca itu datang) dari sisi Allah", padahal ia bukan dari sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui.

Di dalam tafsir Jalalain menyebutkan segolongan itu ialah segolongan ahli kitab seperti Kaab bin Asyraf.

Di dalam tafsir at-Tabari pula menyebutkan bahawa, ajaran yang telah mereka selewengkan itu mereka mengatakan bahawa ia adalah apa yang diturunkan Allah kepada Nabi-Nabi mereka.

Tetapi, mereka tidak mempunyai sanad (salsilah) apa yang mereka perkatakan itu benar-benar dari Nabi mereka.

Ada di antara ahli kitab itu kemudian beriman setelah mereka menyaksiakan kebenaran apa yang disampaikan oleh Nabi SAW tetapi ramai juga yang tetap tidak beriman.

Allah menyatakan bahawa, jika ahli kitab itu beriman, mereka adalah yang terbaik kerana ilmu agama yang telah ada pada mereka. Allah menyatakan di dalam surah Ali Imran ayat 110:-

Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Di dalam tafsir Jalalain, menyatakan antara ahli kitab yang beriman seperti Abdullah bin Salam RA.

Mereka mendustakan Nabi SAW, mengatakan diri mereka benar, tetapi mereka tidak mempunyai bukti bahawa apa yang mereka sampaikan adalah dari Nabi mereka kerana tidak ada sanad (salsilah).

Bagi Nabi SAW, apa yang diturunkan oleh Allah secara langsung tidak dapat dipertikaikan oleh ahli kitab. Mereka sendiri dapat merasakan kebenaran apa yang Nabi sampaikan. Mereka juga dapat melihat bukti kenabian yang membenarkan bahawa apa yang Nabi sampaikan adalah langsung dari Allah.

Nabi SAW pun menyampaikan setiap apa yang diajarkan oleh Allah pada baginda kepada para Sahabat. Para sahabat kemudian menyampaikan pada para tabiin, tabiin menyampaikan pada tabi’ tabiin, dan ajaran Nabi SAW terus disampaikan dari satu generasi ke satu generasi dengan mempunyai susur galurnya. Inilah yang disebut sebagai sanad.

Sistem sanad ini berterusan hingga para Ulama menyatakan "di antara kelebihan umat ini (umat Muhamad) ialah ilmunya bersanad (lihat Sobri Abdul Rauf. Athar al-Qiraat fi Feqh al-Islami. Adhwa' as-Salaf, Riyadh. halaman 70).

Ada tujuh perkara yang penting mengenai sanad

1. Mengetehui kesahihan ilmu

Orang yang ada sanad bermakna dia ada salsilah guru. Maknanya, kita dapat tahu dari mana dia belajar dan siapa gurunya. Apabila sesuatu salsilah itu bersambung hinggalah ke Rasullullah, maka ia akan menjadikan kita yakin dengan kupasan ilmunya. Muqaddimah kitab Sahih Muslim ada menekankan mengenai kepentingan sanad ini.

Dari Ibnu Sirin " sesungguhnya ilmu itu adalah agama kamu, maka hendaklah kamu melihat dari siapa kamu ambil agama kamu.(perbahasan ke 26 mengenai sanad)
Dalam perbahasan ke 27, Dari Ibnu sirin "Apabila berlaku fitnah (perselisihan) kamu tanyakan, siapa guru kamu?

2. Keberkatan
Dengan belajar secara berguru dan bertalaqqi dan kita tahu salsilah guru kita, ia akan menambahkan lagi keberkatan di dalam belajar.

3. Persaudaraan
Dengan mengambil sanad, kita akan dipersaudarakan dengan murid-murid lain yang mempunyai sanad. Katakan seorang yang belajar secara bersanad di Shah Alam, dia berjumpa dengan seorang murid dari Mesir. Melihat sanadnya, maka ada persamaan guru, maka ia membuatkan seseorang lebih rapat lagi. Ia seperti kita bertemu dengan seseorang yang sama universiti dengan kita. Ia akan menjadikan kita lebih mesra.

4. Tanggungjawab
Orang yang memegang sanad, dia bertanggungjawab menyampaikan pula ilmu yang dia ada pada orang lain. Katakanlah ada 100 orang murid yang belajar secara bersanad, maka setiap seorang mengajar lagi seratus, maka ilmu itu akan terus berkembang. Apabila semakin ramai orang yang faham agama, maka semakin baik masyarakat.

5. Pahala.
Apabila ilmu yang disampaikan itu diamalkan, maka Allah akan memberi pahala kepada kita sekalipun kita telah mati. Ia berdasarkan hadith bahawa antara amalan yang kekal pahalanya ialah seseorang itu menyampaikan ilmu yang berguna kepada orang lain.

6. Bimbingan
Orang yang banyak berguru, dia akan terus mempunyai hubungan dengan gurunya. Jadi, gurunya itu akan terus dapat membimbingnya. Ini kerana ramai orang berilmu rosak apabila tidak ada orang yang dapat menegurnya. Dia rasa dia telah alim dan dia boleh keluarkan fatwa apa yang dia suka. Sedangkan manusia perlu sentiasa diingatkan mengenai kebenaran dan kesabaran. (maksud surah al-Asr)

7. Hubungan di akhirat.
Ketika di akhirat, kita akan dibariskan dengan beberapa barisan. (Surah Naba'). Sudah tentu kita hendak mengikut saf yang dipimpin oleh Rasullullah. Tetapi kita tidak kenal nabi. Yang kenal Sahabat, kita tidak kenal sahabat, yang kenal sahabat tabiin. Kita juga tidak kenal tabiin, yang kenal mereka ialah pendakwah-pendakwah Islam yang mengembangkan Islam. Kita juga tidak kenal mereka. Yang kenal mereka ialah tuan-tuan guru kita. Maka kita akan mengikut tuan-tuan guru kita, tuan-tuan guru akan mengikut para pendakwah, para pendakawah mengikut tabiian, tabiin mengikut sahabat dan sahabat sudah tentu mengenali dan akan mengikut saf Rasullullah. Akhirnya kita akan disafkan bersama Rasullullah.

Dengan sanad mudah-mudahan kita kenal guru-guru kita hinggalah ke Rasullullah saw.

Alhamdulillah, dengan izin Allah juga, pada 17 Rejab 1431 bersamaan dengan 30 Jun 2010, kelas pengajian hadis bersanad kitab sunan at-Tarmizi di Yayasan Restu Shah Alam dapat disempurnakan. Mengambil sempena bulan Rejab sebagai bulan Israk dan Mikraj (menurut pandangan jumhur), maka majlis khatam kitab sunan at-Tarmizi telah dibuat seteruskan menganugerahakan sanad kitab itu kepada murid-murid yang bertalaqqi.

Ketika ucapan pembukaan, saya berpesan kepada yang selesai belajar dan dianugerahkan sanad kitab sunan at-Tarmizi ini, agar mereka menyampaikan pada orang lain. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud “sampaikan dari aku walau sepotong ayat”.

Semoga ia memberi manfaat kepada semua dan semoga pengajian hadis secara bersanad dapat dikembangkan di negara tercinta ini. Amin..

“Tarbiah, Penyubur Hati, Pemelihara Fitrah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

24 Rejab 1431/ 3 Julai 2010 jam 1.30 pagi

DSC_0314

Majlis khatam kitab sunan at-Tarmizi disempurkan di Yayasan Restu Shah Alam

DSC_0209

Persiapan akhir

DSC_0205

Persiapan akhir

DSC_0225

Anak Ijabah membawa masuk kitab hadis yang berumur 400 tahun yang diamanahkan oleh seorang ulama Maghribi

DSC_0226

Ia sebagai simbol pengajian talaqqi bersanad

DSC_0230 

Generasi pertama sanad kitab-kitab  hadis

DSC_0305

Ucapan pembukaan mengingatkan agar segala hadis yang dipelajari hendaklah diamal dan disampaikan pada orang lain

IMG_0082 

DSC_0238

DSC_0266

DSC_0311

IMG_0083

IMG_0090

IMG_0105

Santai selesai majlis pada jam 11.45 pagi

DSC_0322

Berkerumun melihat kitab lama yang ditulis oleh ulama terdahulu

IMG_0103

Nabi telah meninggalkan kepada kita dua perkara, al-Quran dan Sunnahnya untuk kita ikuti, semoga Allah terus merezkikan kita mengikut apa yang disampaikan Nabi SAW untuk keselamatan hidup di dunia dan di akhirat, amin….

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...