Sunday, July 11, 2010

al-Ijabah 62 – “Kisah Kubur HIV…..”

“Minggu yang padat dengan program”, itulah saja yang boleh saya katakan ketika saya ditanya..

“Ustaz, lama tak update blog…”

Di musim Isra’ dan Mikraj ini, banyak jemputan yang dipenuhi, dari sekolah ke masjid dan jabatan-jabatan.

Tapi dalam seminggu ini, satu perkara yang tidak dapat dilupakan. Pertemuan dengan salah seorang sukarelawan yang mula bersama dengan rumah HIV Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah pada hari Jumaat 9 Julai 2010 jam 10 malam.

“Saya ustaz, pada mulanya juga tidak minat buat kerja-kerja amal ini, hinggalah satu peristiwa….” Kata sahabat seorang ini.

“Satu ketika, di tempat saya, ada pesakit HIV yang meninggal. Sudahlah ketika hidup dipinggirkan masyarakat, ketika mati pun, kuburnya ditanam jauh dari orang biasa”.

“Agaknya takut jangkit dekat kubur orang sebelah tak..?

“Kes ini sampai jadi pergaduhan di kampung saya, keluarga si mati jadi bermusuh dengan AJK kampung terutama yang mencadangkan agar kubur itu di pinggirkan” tambahnya lagi.

Inilah sebenarnya cabaran membuat rumah HIV. Bukan sahaja orang HIV yang dipinggirkan, hingga ahli keluarga, yang mengurus, yang membantu, semuanya terpalit. Kalau gereja buat semua ni, kita pula marah dan rasa tak patut.

Dan itulah kejayaan syaitan hingga menjadi sebuah kampung jadi bergaduh dan berpecah belah.

“Tak apalah bang, marilah sama-sama kita betulkan perkara ini sekadar mampu kita” kata saya.

InsyaAllah, pada 31 Julai ini, Rumah HIV Darul Ukhwah akan mengadakan program symposium “Jagan Tinggal Daku” di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bermula jam 9.00 pagi. Semua pembaca dijemput hadir pada tarikh tersebut.

Antara objektif utama ialah melancarkan wakaf pembinaan kompleks Yayasan al-Ijabah dan rumah HIV kita. Selain itu, program ini juga bermatlamatkan untuk menghilangkan stigma yang ada pada masyarakat terhadap pesakit HIV ini.

Sasaran memang kena menyeluruh terutama para pelajar di Institusi pengajian tinggi. Kalau program seperti ini dapat dibuat secara konsisten, maka insyaAllah dalam lima tahun lagi, di masjid akan dapat diwujudkan rumah-rumah kebajikan untuk membela masyarakat muslim.

Kenapa gereja boleh buat tapi kita tidak sedangkan Islam itu adalah agama kasih sayang.

Kalau program seperti ini tidak dimulakan, maka generasi akan datang akan tetapi sama sahaja iaitu kurang peka dengan isu-isu masyarakat Islam. Jangan sampai nanti, muslim hanya pandai bercakap, tetapi kurang di dalam menjaga kebajikan sekalipun pada lingkungan sendiri.

“al-Ijabah, Ladang Amal Memburu Keredhaan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

29 Rejab 1431/11 Julai 2010 jam 11.45 malam

Mesyuarat Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah

<KENOX S760  / Samsung S760>

Gambar satu perkuburan di Pahang

<KENOX S760  / Samsung S760>

Lihat sebelah kanan, ia adalah kawasan perkuburan dan lihat anak panah di kiri, di dalam kawasan agak bersemak, untuk kawasan kubur pesakit HIV

<KENOX S760  / Samsung S760>

Lihat anak panah

<KENOX S760  / Samsung S760>

Lihat anak panah, kubur yang dipinggirkan. Yang sudah tu, sudahlah, apa peranan kita sekarang?….

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...