Sunday, November 16, 2008

Universiti Kehidupan 14 - Menghargai Tauhid di Kota Fez

Kesempatan kali ini, kita akan berkongsi pengalaman saya ke Fez, Marocco. Ketika berada di Marocco, saya tinggal di Rabat. Setelah berada beberapa hari di Rabat, saya memulakan pengembaraan saya di sekitar Marocco. Kali ini tempat yang dipilih adalah Fez.

Perjalanan saya dari Rabat ke Fez menaiki kereta api mengambil masa lebih kurang lima jam. Saya ditemani dengan beberapa adik-adik pelajar yang belajar di Rabat. Kami bertolak dari Rabat pukul 3 pagi. Sembahyang subuh di dalam kereta api dan tidur di dalam alunan gerabaknya. Gerabak kereta api di sini di susun seperti bilik. Di dalam satu gerabak ada sepuluh bilik. Di dalam satu bilik pula ada dua kerusi yang berhadapan yang boleh memuatkan lapan orang.

Orang yang awal menaiki dari kami telah memasuki bilik di dalam gerabak dan mereka terus berbaring agar orang lain tidak dapat memasukinya lagi.

Saya sampai di Fez lebih kurang pukul lapan pagi. Saya telah ditunggu oleh seorang pelajar Phd dari Thailand. Ustaz Madani adalah “orang lama” yang duduk di Maghribi lebih dari lima tahun. Selama tempoh tersebut Ustaz Madani belum pernah balik ke tanah airnya.

Misi kami di Fez adalah menziarahi para Ulama yang ada dan juga makam-makam yang ada di sekitar Fez.

Mula-mula kami pergi menziarahi masjid dan makam Syeikh Ahmad Tijani. Seorang guru tariqat Tijani yang masyhur. Di sana kami dilayan sebagai tetamu dan dihidangkan dengan minuman. Di sudut penjuru masjid saya melihat beberapa orang sedang berkumpul. Ada kumpulan yang berzikir, ada kumpulan yang membincangkan ilmu, ada kumpulan yang membaca al-Quran. Saya duduk di salah satu kumpulan yang membincangkan mengenai ilmu. Setelah tamat bermuzakarah, salah seorang dari mereka mengajak saya menziarahi makam Syeikh Ahmad Tijani. Zawiyah (tempat zikir) Syeikh Ahmad Tijani ini diseliakan oleh keturunannya dan juga anak-anak murid tariqat yang ingin berkhidmat di sini.

Menziarahi makam orang yang alim dan pendakwah yang hebat ini menyuntikkan semangat kepada kita. Kita perlu mengambil peluang hidup yang ada untuk taat kepada Allah dan berbakti kepada manusia. Mereka adalah insan-insan yang telah mendahului kita dengan mengabdikan diri kepada Allah dan berbakti kepada manusia. Selepas bersalaman kami pun meminta diri untuk beredar.

Selepas itu kami menziarahi makam Maula Idris 2 yang berada di tengah-tengah pasar. Beliau adalah orang yang alim. Beliau juga di antara orang yang mengasaskan kerajaan al-Idrisi yang menjadi sejarah kepada pembentukan negara Maghribi ini.

Sejarah pembentukan Maghribi berkait rapat dengan Maula Idris 2 yang berada di Fez ini dan juga ayahnya iaitu Maula Idris 1 yang berada berdekatan dengan Meknes, tidak jauh dari Fez.

Mari kita menyorot sedikit mengenai kedua-dua Maula ini. Maula Idris 1 atau nama asalnya Idris bin Abdullah adalah seorang yang mengasaskan Kerajaan al-Idris yang seterusnya menjadi asas bagi pembentukan negera Maghribi. Beliau adalah keturunan Rasulullah melalui susur galur Saidina Hassan. Beliau adalah cicit kepada Saidina Hassan.

Maula Idris adalah orang yang menentang keras gagasan kerajaan baru Abasiyah yang ingin menggulingkan kerajaan Umayyah. Oleh yang demikian, ketika tumbangnya kerajaan Bani Umayyah ini, Maula Idris berhijrah ke Afrika Utara pada tahun 788 masihi. Tempat pertama Maula Idris jejaki adalah di Tanger sebelum beliau berpindah ke satu tempat berhampiran dengan daerah Zehroun. Oleh kerana ketokohannya, dia telah diangkat menjadi raja bagi kaum Barbar dan memimpin mereka dari sudut pentadbiran maupun di dalam soal-soal kerohanian. Beliau kemudiannya membuka bandar Fez. Daripada bandar Fez ini beliau mula membuka daerah-daerah sekitarnya

Dengan pembukaan tempat-tempat baru ini, bermulalah kelahiran negara Maghribi Ia menjadi negara Islam kedua setelah Andalusia yang tidak terikat dengan kerajaan Bani Abasiyyah.

Oleh kerana kepimpinannya yang menyerlah, kerajaan Abasiyyah merasa tidak senang dengan beliau. Maka, pada tahun 791 masihi. Khalifah Abasiah menghantar orang untuk meracuni Maula Idris. Dengan kemangkatan Maula Idris, maka ancaman dari Afrika Utara ini berkurangan.

Walaubagaimanapun, setelah beberapa bulan kemangkatan Maula Idris, tanpa diketahui ramai orang, salah seorang isterinya telah melahirkan seorang anak lelaki.

Anak lelaki yang digelar sebagai Maula Idris 2 ini membesar dengan didikan yang baik. Beliau mewarisi ketokohan dan kepimpinan ayahnya. Dia mempunyai badan yang tegap dan akal yang bijak. Beliau telah menjadikan bandar Fez tempat pentadbiran bagi kerajaannya pada tahun 809 masihi. Beliau menjadi pemimpin di sana sehinggalah kemangkatannya pada tahun 828 pada umur 35 tahun. Kerjaan al-Idris ini berdiri selama 1200 tahun berikutnya.


Di kedua makam ini didirikan zawiyah (tempat ibadah dan zikir). Ia dinamakan zawiyah Maula Idris 1 di Zerhoun dan Zawiyah Maula Idris 2 di Fez.

Bandar Meknes dan Fez ini mula berkembang. Di antara kedua bandar ini, bandar Fez yang lebih menjadi tempat tumpuan kerana kedudukannya yang baik dan strategi. Terdapat sungai-sungai yang jernah dan mata air yang segar yang menjadi sumber minuman kepada penduduk setempat. Pernah digambarkan bahawa keindahan kota Fez satu ketika dahulu menyanyingi keindahan kota Baghdad. Pada ketika zaman kegemilangannya, terdapat 800 buah masjid dan beberapa buah perpustakaan yang besar yang mempunyai buku-buku di dalam berbagai bahasa seperti bahasa Latin dan Yunani.

Dalam perjalanan menuju makam Maula Idris 2 di Fez ini, saya melalui lorong-lorong suuq qadim. Di kanan dan kiri orang menjual berbagai-bagai barang. Ada barang makanan, keperluan harian, ada yang menjual pakaian dan ada yang menjual barang-barang perhiasan dan seni halus. Oleh kerana Fez ini bandar lama, kita akan dapat melihat perkara-perkara yang tidak dapat di cari di bandar lain di Maghribi ini.

Orang-orang Maghribi lama memakai jubah yang mempunyai penutup kepala. Tetapi di Fez ini kita boleh mendapati yang lebih cantik lagi iaitu jubah yang disangkut sahaja pada badan. Ia dipanggil Silham. Silham hanya dipakai dibandar Fez dan tidak ada di bandar lain.

Saya menghampiri pintu makam Maula Idris 2 ini. Di pintu masuk kawasan pemakaman ada banyak orang menjual lilin. Lilin yang berbagai saiz itu dijual dengan harga yang murah. Ada sekecil jari kelingking sehinggalah sebesar peha. Pada mulanya saya agak hairan dengan keadaan yang demikian sehinggalah seorang lelaki arab menyapa saya dan memberikan sebatang lilin kecil kepada saya. Dia menyuruh saya masuk ke dalam kawasan makam dan meminta hajat di hadapan makam tersebut. saya agak terkejut dengan keadaan yang demikian.

Ini kerana ia adalah perbuatan yang menyalahi syarak. Meminta hajat di kuburan orang yang telah mati dan menyakini bahawa jika kita menyalakan lilin tersebut bermakna hajat kita akan dicerahi dengan harapan. Perkara yang demikian adalah perkara khurafat yang tidak ada di dalam Islam.

Ini perbezaan cara pemujaan kubur di bandar Fez Maghribi di bandingkan dengan negara-negera arab yang lain. Di negara arab yang lain, mereka memuja kubur dengan menyapu-nyapu kubur, menciumnya dan meletakkan kain dan kemudian kain tersebut akan dijadikan azimat buat mereka. Ini supaya hidup mereka dilimpahi keberkataan dan hajat mereka tertunai. Di sini, mereka menyalakan lilin untuk tujuan yang tersebut. Dengan memakai jubah yang menutup kepada, mereka berjalan dengan lilin di tangan. Lagaknya seperti ahli kitab terdahulu dari bandar Baitul Maqdis ketika menziarahi Baitul Laham tempat dikatakan Nabi Isa dilahirkan. Lilin itu akan dibawa sekitar kubur. Kemudian, mereka akan berhenti di satu tempat untuk berdoa

Saya beristighfar dan menarik nafas dalam. Rupanya khurafat berada di mana-mana. Tidak kira negara dan bangsa. Kalau di Malaysia, kita dapat melihat perkara ini di Pulau Besar Melaka ketika 1 Muharram. Ada orang yang mengunjungi makam-makan di sana dengan cara yang salah dan bertentangan dengan akidah Islamiah. Sebab itulah, Rasullullah memerintahkan kita menyuluh kehidupan kita dengan al-Quran dan al-Hadith disamping mendampingi Ulama’ yang hak bagi memahami kehidupan beragama ini. Ini kerana ramai orang yang berbuat sesuatu yang salah di atas keyakinan bahawa itulah yang sebenar.

Semoga Allah sentiasa membimbing kita ke jalan yang lurus. Semoga saya dan pembaca sekelian selamat di dunia dan di akhirat.

5 comments:

Shahabudeen Jalil said...

Saya setuju dengan kesimpulan ustaz nie.. tapi saya juga tak faham kenapa perlu ustaz melawat makam2 ini ? diorang dah mati, mati la.. yang kita nak isi perjuangan diorang, ilmu diorang. Yang ustaz dok pusing satu dunia pi nak melawat makam tu apa point nya ? Saya kurang faham sebenarnya dalam hal melawat makam nie. Nabi tak pernah buat pun. Nabi wafat pun tak semua sahabat-sahabat rapat dia yang menguruskan jenazah. Kenapa ?

Tentu mereka ini telah dididik Nabi.

Saya tengok orang yang melawat makam2 ini. Kalau dia tak syirik, dia hanya akan besarkan ego sendiri. Sebab dia rasa bangga dia boleh letakkan diri sebahagian dari orang terkenal dan Alim. Ini boleh beri effect yang positif dan negatif.

Ada orang bangga dan gunakan itu sebagai hujah dia nak debat dgn sapa2.. ada pula orang yang akan berusaha keras untuk jadi orang yang bagus seperti orang dlm makam yang dia ziarahi.

Saya rasa lebih baik baca salasilah orang itu, melawat guru2 untuk menuntut ilmu, mengadakan perbincangan. Ini semua lebih baik dan mulia daripada melawat Makam orang mati.

Ustaz Amin said...

Kemana kita pergi ziarahilah orang alim untuk menuntu ilmu. Melawat makam kerana tiga sebab:-

1. mengingatkan mati, sehebat mana mereka di dalam mereka telah bertemu Allah. Kita hanya menunggu giliran. Mereka yang alim beruntung kerana bertemu Allah dengan persediaan. Jika kita menziarahi kubur orang derhaka kita boleh saksikan, sesombong mana mereka, mereka juga telah tiada di dunia ini.

2. Untuk mengambil iktibar perjalanan hidup mereka. Kadang-kala, dengan menziarahi sendiri lebih banyak kita akan tahu tentang mereka. Banyak buku-buku sejarah kehidupan orang alim saya dapat di kawasan mereka meninggal. Ini kerana ada buku-buku yang dicetak terhad.

3. Melihat masyarakat setempat. Ini meluaskan lagi pengalaman kita bergaul dengan manusia. Ada orang melihat tempat demikian sebagai keramat dan dipujanya. Kita yang melihat sendiri dengan mata kepala kita dapat menyaksikan perkara ini salah. Kita akan berfikir, jika ini berlaku di tempat kita, macam mana kita hendak buat. Kita juga boleh berkongsi pengalaman ini dengan orang lain mengenai kejadian-kejadian yang kita lalui.

Sesungguhnya, dunia ini merupakan Universiti Kehidupan, Kadang kala kita akan lebih mengenali yang putih setelah kita melihat yang hitam

Shahabudeen Jalil said...

Dalam 3 point yang ustaz bagi nie, hanya satu jer yang boleh guna. Iaitu yang mendapatkan buku tu. Saya tak pasti plak ada jual buku tu kat situ. Tapi mungkin ustaz lebih mengetahui.

Lagi 2 point tu memang pointless.

1. Nak mengingat orang mati, mana2 pun boleh ustaz. Baca buku dia lagi baik. Melawat kampung dia lagi baik. Melawat orang-orang Alim yang masih bernyawa lagi baik.

2. Melihat masyarakat setempat ???? Ini bukan satu alasan yang bagus. Di mana2 pun kita boleh melawat dan di mana2 pun kita boleh amik ikhtibar.

Ustaz Amin said...

1. mengingati mati tu bukan point dari saya. Nabi yang sebut, "ziarahilah kubur sesungguhnya ia akan mengingati mati". Dalam keadaan yang dijaga caranya, kita dapat lihat, orang yang hebat seperti si mati pun telah tiada. Kita yang masih hidup perlu jadi seperti mereka atau perlu lebih berusaha lagi. Sewaktu saya berada di Makam nabi Syuib di Jordan, ada satu orang arab yang berdiri di hadapan makamnya kemudian berkata, Ya Allah, aku menyaksikan bahawa Nabi Syuib ini telah menyampaikan segala perintahmu pada kaumnya, dia telah tiada, kini aku yang tinggal, tetapi kesungguhanku tidak sepertinya". Jadi orang ini, dia melihat kubur tokoh yang mati dengan kesedaran setelah dia membandingkan dengan dirinya yang tidak bersungguh-sungguh membuat amal. Sedangkan dia juga sedang menuju ke kubur seperti orang ini. Saidina Uthman pernah menangis sehingga basah janggutnya ketika melawat perkuburan Baqi'(Riwayat Malik. Apabila kita membanding dengan diri kita akan timbul kesedaran. Yang salahnya, apabila melawat kubur, rasa kagum dengan tokoh lantas menyembahnya atau membuat perkara yang bertentangan dengan sunnah seperti menggantung kain untuk mendapat berkat. Jika ia menjadikan kita semakin hampir dengan ingat mati, maka ia baik untuk kita menziarahinya.

2. Yang saya maksudkan dengan pengalaman ialah, dengan banyak berjalan, luaslah pengalaman yang dapat ditimba. Jika datang ke Jordan (contohnya) semata-mata nak ziarah kubur, itu memanglah tak betul. Tapi kita ziarah orang alim kat sana, ziarah pelajar, pergi perpustakaan dia, beli kitab yang tiada di Malaysia, bergaul dengan masyarakat dia dan di antaranya menziarahi makam yang ada di sana,maka setiap saat masa kita akan kita gunakan dengan menimba ilmu dan pengalanman di sana. Allah memerintahkan kita "berjalanlah kamu di muka bumi dan lihatlah bagaiaman akibat orang yang mendustakan (ayat-ayat kam). Ketika Nabi berisra'dan mikraj, antara perkara yang ditunjukkan pada Nabi ialah beberapa kubur para Nabi, "aku melihat Musa di atas kuburnya bersembahyang". Nabi boleh ceritakan mengenai Nabi Musa dengan baik kerana Nabi pernah melihatnya. Jadi,pengalaman Isra' itu dapat dikongsikan dengan umatnya. Yang salah ialah apabila tiba di sana, kita mengikut sekali amalan khurafat masyarakat setempat atau membenarkan apa yang mereka buat.

Ustaz Amin said...

1. mengingati mati tu bukan point dari saya. Nabi yang sebut, "ziarahilah kubur sesungguhnya ia akan mengingati mati". Dalam keadaan yang dijaga caranya, kita dapat lihat, orang yang hebat seperti si mati pun telah tiada. Kita yang masih hidup perlu jadi seperti mereka atau perlu lebih berusaha lagi. Sewaktu saya berada di Makam nabi Syuib di Jordan, ada satu orang arab yang berdiri di hadapan makamnya kemudian berkata, Ya Allah, aku menyaksikan bahawa Nabi Syuib ini telah menyampaikan segala perintahmu pada kaumnya, dia telah tiada, kini aku yang tinggal, tetapi kesungguhanku tidak sepertinya". Jadi orang ini, dia melihat kubur tokoh yang mati dengan kesedaran setelah dia membandingkan dengan dirinya yang tidak bersungguh-sungguh membuat amal. Sedangkan dia juga sedang menuju ke kubur seperti orang ini. Saidina Uthman pernah menangis sehingga basah janggutnya ketika melawat perkuburan Baqi'(Riwayat Malik. Apabila kita membanding dengan diri kita akan timbul kesedaran. Yang salahnya, apabila melawat kubur, rasa kagum dengan tokoh lantas menyembahnya atau membuat perkara yang bertentangan dengan sunnah seperti menggantung kain untuk mendapat berkat. Jika ia menjadikan kita semakin hampir dengan ingat mati, maka ia baik untuk kita menziarahinya.

2. Yang saya maksudkan dengan pengalaman ialah, dengan banyak berjalan, luaslah pengalaman yang dapat ditimba. Jika datang ke Jordan (contohnya) semata-mata nak ziarah kubur, itu memanglah tak betul. Tapi kita ziarah orang alim kat sana, ziarah pelajar, pergi perpustakaan dia, beli kitab yang tiada di Malaysia, bergaul dengan masyarakat dia dan di antaranya menziarahi makam yang ada di sana,maka setiap saat masa kita akan kita gunakan dengan menimba ilmu dan pengalanman di sana. Allah memerintahkan kita "berjalanlah kamu di muka bumi dan lihatlah bagaiaman akibat orang yang mendustakan (ayat-ayat kam). Ketika Nabi berisra'dan mikraj, antara perkara yang ditunjukkan pada Nabi ialah beberapa kubur para Nabi, "aku melihat Musa di atas kuburnya bersembahyang". Nabi boleh ceritakan mengenai Nabi Musa dengan baik kerana Nabi pernah melihatnya. Jadi,pengalaman Isra' itu dapat dikongsikan dengan umatnya. Yang salah ialah apabila tiba di sana, kita mengikut sekali amalan khurafat masyarakat setempat atau membenarkan apa yang mereka buat.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...