Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya menghubungi abang saya, Ustaz Jazlan. Saya mengajaknya untuk ke Pakistan agar dapat membantu sahabat-sahabat seIslam di sana. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk ke sana. Bermulalah perjalanan saya ke Pakistan di dalam operasi gempa bumi yang mengorbankan lebih lima puluh ribu orang.
Saya bertolak dari KLIA pada 25 Oktober 2005 dengan menaiki penerbangan PIA. Pagi ini hujan renyai-renyai. Penerbangan ini kemudiannya singgah di Singapura. Sepanjang perjalanan saya hanya tidur kerana keletihan di sebabkan sudah beberapa hari kurang rehat.
Sewaktu di Singapura, kami diarahkan turun. Bersama di dalam penerbangan ialah kumpulan MERCY. Saya berkenalan dengan Dr Fauziah yang bertugas di hospital Ampang Putri.
Kami sampai di Jinnah International Airport Karachi pada pukul 6.00 petang waktu Malaysia. Sejam kemudian kami meneruskan lagi perjalanan ke Islamabad. Sesampai di Islamabad, saya telah ditunggu oleh En Abdul Halim bin Tasir. Beliau merupakan pegawai bahagian Imigresen di Islamabad. Abang Saya, Ustaz Jazlan telah berusaha menghubungi kedutaan Malaysia di Pakistan sebelum bertolak, agar dapat menghantar seseorang menunggu kami. En. Abdul Halim telah menempahkan guest house untuk kami di F 6/1. Pada waktu ini, susah ingin mendapatkan hotel atau guest house. Ini kerana ia dipenuhi oleh sukarelawan dari seluruh dunia.
Saya bernasib baik kerana pada malam ini, Kedutaan Malaysia di Pakistan membuat majlis berbuka puasa dan solat tarawikh berjemaah di bangunan kedutaan. Saya berkenalan dengan Duta Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Hj Hashim bin Md Hussain.
Selepas solat tarawikh, Pak Duta bertanya saya. "dari mana hendak ke mana". Saya kata, saya baru sampai dari Malaysia untuk operasi kemanusiaan di Pakistan. "Datang berdua saja ke? Beliau bertanya. "Ya", saya menjawab. "Hah, berdua saja! Tak ada kenalan di sini" beliau agak hairan. Saya tersenyum dan menjawab bahawa kami tidak mempunyai kenalan di sini. Pak Duta mengulangi lagi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya. Saya terus mengiyakan sahaja.
Setelah berbual panjang, Pak Duta berkata, saya cadangkan awak pergi ke Peshawar dan Muzafarrabad. Di Peshawar, anak-anak yatim dikumpulkan di sana dan Muzafarrabad tempat pusat gempa. Saya akan bersama operasi awak, kata Pak Duta. "Hah, ye ke?. Kali ini saya pula yang seolah-olah tak percaya. "Ya,.saya akan bersama operasi awak". Pak Duta mengulangi perkataannya untuk meyakinkan. Saya masih terkebil-kebil tidak percaya. "Malam ini, berehatlah dulu. Esok pagi kita akan rancang operasi kita", kata Pak Duta. Saya dihatar pulang ke guest house dengan kenderaan kedutaan.
Malam ini, sebelum tidur, saya meletakkan dahi saya ke lantai bersyukur pada Allah. Saya tidak mempunyai kenalan pun di sini. Saya tak tahu macam mana hendak memulakan operasi kemanusiaan ini. Tetapi, dalam diam, ia telah diuruskan oleh Allah. Perjalanan dimudahkan, penginapan dimudahkan dan jalan untuk menyampaikan bantuan pun dimudahkan.
Dalam kedinginan malam di musim sejuk ini, saya terkebil-kebil di samping selimut tebal. Malam ini saya berada jauh dari kenalan yang saya ada. Malam ini, saya berada jauh dari keluarga, dari kawan-kawan dan kenalan yang biasa. Tetapi hati saya puas. Sekurang-kurangnya, kuliah mengenai ukhwah di Kolej Kedua membuatkan saya berada di sini. Berasal dari sebuah niat, Allah izinkan ia terjadi. Benarlah kata hukama', niat yang baik akan terus diperbaiki oleh Allah. Dari Hadith Nabi, "setiap perkara bermula dengan niat". Semoga kita terus mempunyai niat-niat yang baik dan semoga niat baik kita dapat diterjemahkan di dalam amalan. Insyallah, kita akan berkongsi pengalaman selanjutnya di sini.
Hari pertama sampai di Islamabad. Memakai songkok hitam di sebelah saya ialah Duta Malaysia di Pakistan Jeneral (B) Tan Sri Hj Hashim bin Md Hussain.
Di hadapan kedutaan Malaysia di Islamabad Pakistan.
berbincang dengan Duta mengenai operasi kemanusiaan yang akan di laksanakan
Semua khusyuk mendengar penerangan dari penduduk tempatan mengenai suasana yang berlaku dan tindakan yang perlu diambil
Mencarikan selimut untuk diberikan kepada mangsa. Pada ketika ini, duit tidak ada harga bagi mereka. Mereka memerlukan keperluan mendesak seperti selimut dan makanan.
Bersama anak yatim di salah satu oenempatan mereka.
1 comment:
cepatnye ustaz update,baru check sebelum kuliah kat kolej enam,tengok mlm skit dah ade cerita baru,tima kasih :)
Post a Comment