Saturday, November 8, 2008

Universiti Kehidupan 12 - Tidak Kenal Yang Tidak Disangka

Kursus Motivasi Pelajar Islam, Sistem Pembelajaran Imam as-Syafie sebenarnya sudah 3 tahun dibuat. Cuma tahun ini sahaja ia diiklankan agak luas.

Sewaktu saya menganjurkan kursus ini di hotel Concorde Shah Alam beberapa tahun lalu, saya mengiklankannya secara tradisional. Menghantar flyer ke sekitar kawasan Shah Alam dan membuat pengunguman di kelas-kelas pengajian saya. Ramai juga yang menyertai program ini.

Hari yang ditetapkan semakin hampir dan ramai yang telah mengesahkan penyertaan mereka. Pihak hotel meyediakan tempat dan banner di hadapan pentas. Tulisan tersebut menyatakan nama kursus iaitu Motivasi Pelajar Islam, Sistem Pembelajaran Imam as-Syafie.

Pada hari program, saya telah sampai di hotel sejak jam 7.00 pagi lagi. Saya menyiapkan keperluan peserta, meletakkan fail di setiap meja dan memastikan semua fasilitator bersiap sedia. Pukul 7.30 peserta mula memenuhi dewan kursus. Kursus akan bermula jam 8.30 pagi.

Pukul 8.20 pagi saya sudah bersedia untuk ke depan memulakan majlis pembukaan program. Petugas hotel yang ada, duduk di pintu masuk. Mereka berkumpul di sana dan sekali sekala mereka menjengah ke dalam dewan.

Saya yang melihat gelagat mereka datang menghampiri mereka. Saya menyapa mereka “nak dengar marilah masuk”

Mereka tersipu-sipu sambil menjawab, “tak apa lah”

Tiba-tiba salah seorang dari mereka menyapa, “Imam dan datang dah?”

Saya bertanya kembali, “Imam mana?”

Mereka menjawab penuh minat,“Imam as-Syafie!..

Saya bertanya lagi, “Imam Syafie mana?

“Alah.., yang nak beri kursus ini!” Mereka menjawab penuh semangat.

saya tersenyum sambil menjawab dengan hormat,

“Ooh, kursus ini saya yang akan berikan, Imam as-Syafie tu ulama kita, dah lebih seribu tahun dah meninggal.

“Oh ye ke!”, jawab petugas itu, “saya ingatkan dia Imam sekarang ni, janggut panjang-panjang, badan besar-besar”.

“Oh tak!”, jawab saya, “dia Imam kita. Fekah alirannya diamalkan di nusantara ini. Okeylah, saya nak mulakan program ni, marilah masuk”.

Mereka semua tersenyum, ada di antara mereka yang saling menepuk bahu yang lain. saya meminta izin untuk ke hadapan dewan memulakan program.

Selepas program berlalu, saya selalu teringatkan peristiwa ini. Kadang-kala saya tersenyum sendirian. Rupanya, ada juga orang yang kurang kenal siapa Imam as-Syafie.

Ini tanggung jawab semua kita yang faham agama menyampaikan pada orang lain. Bukankah Nabi berpesan agar sampaikanlah pada orang lain walaupun sepatah yang kita tahu. Jika amalan ini dapat dijadikan kebiasaan, maka semua kita akan sentiasa berpesan-pesan ke arah kebaikan. Jika kita selalu berpesan ke arah kebaikan maka, insyaallah semua orang akan terus berusaha menjadi baik.

Inilah kelebihan umat Muhammad. Mereka akan sentiasa menyemarakkan yang baik dan mencegah mungkar. Semoga ia menjadi amalan kita semua agar kita termasuk di dalam golongan umat Muhammad yang istimewa. Amin..

1 comment:

Shahabudeen Jalil said...

Kalau tanya kat budak2 hotel tu Imam Anuar Zain ke, Imam As-Sheikh Mawi World ke, atau Ayatullah Faizal AF4 ke.. tentu diorang kenal dan akan ikut serta Kursus Cara Membaca ulaqmak-ulaqmak di atas.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...