Friday, June 17, 2011

Universiti Kehidupan 196 - "Pencarian Kunci Ilmu..."

Walaupun dalam kesibukan jadual harian yang padat, saya sebenarnya tidak meninggalkan kesempatan untuk membaca dan menulis tesis bagi Phd saya.

Sudah 3 semester ia berlalu dan bahan-bahan kajian telah dikumpulkan.

Cuma dalam dua minggu kebelakangan ini, kajian saya agak terhenti, Maklumat yang sesuai bagi kajian saya agak terhad.

Kajian saya adalah mengenai pentadbiran harta, lebih focus lagi harta-harta syubhat dari sudut teori dan amalan. Dari satu kitab ke satu kitab saya membaca setiap halaman, tetapi tidak banyak yang dapat.

Saya jadi buntu, kadang-kala masa membaca yang dibuat di waktu malam menjadikan hampir-hampir tidak tidur sepanjang malam. Kadang-kala rasa terlalu puas dan letih, ada juga kadang kala melihat buku seperti mahu di makan sahaja, dikunyah-kunyah, digigit dan ditelan semuanya. Saya mula memahami apa maksud terlalu tepu ketika membaca.

Saya menghantar massage kepada penyelia saya, Prof Dr. Ahmad Hidayat. Ingin bertemu dan berbincang. Setelah dua minggu mencari masa yang sesuai, akhirnya pada 16 Jun 2011 jam 12.00 tengah hari, saya bersama beliau dan kami mulakan dengan makan tengah hari bersama.

Sehari sebelum itu sebenarnya, saya telah membuat satu proposal. Saya ingin tukar tajuk kajian saya kerana puluhan bahan dari berbagai kitab Syariah 4 mazhab dibaca tetapi dapatannya sangat terhad.

“Prof, saya nak minta pandangan ni?, kalau saya nak tukar tajuk saya boleh tak?” tanya saya agak suspen, maklumlah, di hadapan”Sifu…”

“Anta dah berapa semester dah?” kata Prof. Hidayat.

“3 semester” jawab saya ringkas.

“Dah tiga semester, kenapa nak tukar? Kalau benar-benar tajuk anta bermasalah, kenapa tidak dari awal-awal semester lagi” tanyanya agak hairan.

“Betul juga kenyataan yang dilontarkan” bisik hati saya.

Saya memasukkan kembali proposal cadangan menukar tajuk ke tepi tempat duduk kereta saya. Tak jadi nak keluarkan.

Kami mula berbual, kami berhenti di kedai makan di Pantai Dalam, sambil makan Prof. Hidayat mula bertanya satu persatu pada saya.

Akhirnya, saya mula berterus terang…

“Sebenarnya Prof, saya dah pening ni, bahan saya baca tak banyak dapat…” kata saya.

“Anta baca kitab apa?” tanya Prof. ringkas.

“Kitab-kitab perbahasan fiqh dari berbagai mazhab, tapi input nya sikit sangat” kata saya sambil menyebutkan nama kitab-kitab fiqh yang berjilid dari berbagai mazhab dan terbayang keadaan saya membaca yang kadang kala terpaksa menekupkan kedua tangan kemuka, berteleku di meja baca, kepenatan, dan kadang kala mengurut-urut pangkal hidung, antara kedua mata..

“Haa.. pening-pening dan pening….” sendirian mengomel…

“Memanglah tak jumpa, perbahasan anta ni banyak dalam kitab syiasah syariyyah atau kitab-kitab tasauf. Kitab Fiqh memang kurang bahaskan sebab dia lebih bahaskan mengenai harta-harta yang sah dan jenis akad-akad yang sah dalam Islam, bagi harta syubat, ia banyak dibahaskan di dalam syiasah syariah yang menceritakan bagaimana khalifah terdahulu menguruskannya” terang Prof. Hidayat sambil menyebutkan nama kitab-kitab dan buku-buku yang saya tak fikir pun sebelum ini.

Tak menang tangan menulis nama-nama kitab yang disebutkan…

“Kenapa tak bincang dengan ana sebelum ni?” tanya Prof. Hidayat.

“Saya tak nak ganggu Prof, takut Prof sibuk, ingatkan boleh cari sendiri, tapi sangkut pula” jawab saya sambil tersenyum.

“Haa, lain kali kalau sangkut bincang dengan ana” kata Prof. Hidayat.

“Mmm, kalau macam tu, saya teruskan tajuk saya ni Prof., baru ni dah pening, tu yang cadang nak tukar tajuk tu..” kata saya.

Fikiran saya agak lapang, tapi agak penat sebab bincang perkara ini dengan menumpukan penuh perhatian.

Ketika saya berada di peringkat BA dahulu, saya selalu hadiri kelas-kelas talaqqi yang dianjurkan oleh ustaz-ustaz yang balik dari luar negara.

Mereka selalu doktrinkan bahawa Phd tak bagus, entah sebab apa, atau mereka sendiri tak ada Phd.

“Kalau kamu nak sijil Phd, saya boleh beri kamu, bukan berapa keping kamu nak, berapa kilo pun boleh saya berikan?” Saya teringat lagi kata-kata seorang ustaz terkenal ketika satu ceramah diskusi di Nilam Puri Kelantan, dan dia sendiri tak pun sampai ke tahap itu.

“Orang yang ada Phd bukan alim sangat pun….” Ini juga antara perkataan yang saya pernah dengar. Saya terlalu muda ketika itu untuk membandingkan,

Tetapi setelah berada ditahap ini, saya mengakui, ia bukan satu yang mudah. Kalau orang karang buku, siapa yang nak semak atau tegur? Ada modal atau ada nama, maka buku kita boleh diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbit.

Tapi penulisan di dalam Phd, akan disemak dan dikomen oleh beberapa penyelia. Setiap tulisan perlu disertakan rujukan dan di dalam peringkat ini, kita diajar untuk amanah pada ilmu, bukan reka sendiri mengikut tafsiran sendiri, tapi mesti merujuk pada sumber asal dari ulama-ulama muktabar sebelum memberi satu kesimpulan.

Banyak dalam ceramah kadang-kala, yang memberikan ceramah menyebutkan satu bait arab, dikatanya itu hadis, tapi sebenarnya hanya kata-kata ulama’, ada disebutkan kata ulama ini, tapi sebenarnya ulama’ lain. Inilah yang jadi jika sikap sambil lewa terbiasa di dalam menyampaikan ilmu, kerana di dalam hidup, tidak pernah ada guru yang membetulkan dan memantau jika tersalah.

Mungkin benar, orang Phd tidak semua dia tahu kerana ilmu Allah itu memang luas, tetapi paling kurang di peringkat ini, sebenarnya, kita bukan mendabik dada kita alim, tapi kita baru diberi kunci kepada dunia ilmu pengetahuan.

Kita diajar prinsip mengkaji, menyelidik dan bermuzakarah. Jika ini menjadi tabiat, bermakna kita telah mempunyai kunci kepada dunia ilmu.

Sesungguhnya, makin kita tahu semakin banyak kita sedar bahawa kita tidak mengetahui. Orang yang suka merendahkan orang lain, sebenarnya, dia sudah rasa dia hebat, dan jika ini berlaku bermakna, kunci ilmu akan mula hilang darinya kerana nanti dia tidak akan menjadikan mengkaji, menyelidik dan bermuzakarah sebagai cara hidupnya.

Semoga Allah kurniakan saya dan pembaca sekilian sikap mencintai ilmu hingga akhir hayat kita kerana berkecimpung dengan dunia ilmu bermaksud berkecimpung kepada keselamatan dan kebaikan.

Nabi SAW bersabda “ Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan dijadikan dia (diberi ilmu) memahami agama” (HR Bukhari di dalam kitab al-Ilm)

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Dalam Perjalanan ke Guangzhou China

15 Rejab 1432/17 Jun 2011 jam 11.30 pagi

2 comments:

Anonymous said...

Salam Ustaz, kak setuju dengan komentar Ustaz. Bahkan ada yang memberi label PhD : Penyakit Hasad Dengki. Kak lebih suka memetik singkatan yg diutarakan of Prof Muhd Kamil , Paling Hampir Dengan Dia. Amat benar setelah melalui proses mendapatkannya. Kita dapati hanya Allah yang dapat beri kita idea/ilham, ianya menjadikan pergantungan kpd Allah ke tahap maksima. Ramai teman/kenalan mengakuinya. Solat Tahajud, puasa sunat, membaca Alquran(surah Yasin terutamanya) menjadi kelaziman semasa menjalankan kajian PhD. Kak doakan semoga kelana Ustaz menjalankan kajian Ph.D. diberkati dan sentiasa mendapat bantuanNya.

-kak puteh-

aFiZa said...

Salam,

Ustaz saya sangat berharap dapat berkongsi hasil kajian. Dan saya berharap untaz tak perlulah menjaga hati sesiapa apabila mendedahkan halal dan haram dalam pencarian harta.
Satu lagi ustaz untaz kaji bank bank sama ada islam atau tidak. Kajilah apa perniagaan mereka. Dari mana keuntangan mereka. Apa produk mereka. Adakah mereka mengamalkan riba disebalik topeng islam. Secara logiknya bank tiada produk. Mereka memberi pinjaman dan mendapat untung. Sangat simple. Saya harap ustaz menemui kitab kitab yang boleh memberi pencerahan.
Sekian ustaz dari teman yg daif ini.
Azeman.