Wednesday, June 22, 2011

Universiti Kehidupan 197 - Majlis Selawat Di Kota Xi'an

20 Jun 2011, jam 10.00 pagi, saya melawat kawasan umat Islam China di Xi'an, kota lama yang mempunyai masjid berumur 1250 tahun dan masih aktif dimakmurkan.

Sejuk hati melihat saudara seIslam di China yang berlainan bahasa dan budaya, tetapi mempunyai kesamaan dari sudut akidah dan pengamalan Islam, orang Islam cina bertudung dan sopan berbicara dengan kita, akhlak Islamnya dijaga dan pertuturannya tertib

Saya berhenti di sebuah kedai, mata saya tertumpu pada tulisan khat yagn menulis beberapa ayat-ayat al-Quran, rupanya, kedai ini milik Imam Yahya, salah seorang Imam di Masjid Xi'an. Imam Yahya boleh berbahasa Melayu sedikit-sedikit kerana sudah enam kali beliau datang ke Malaysia membuat pameran seni khatnya.

Pertemuan yang singkat ini menjadikan kami mesra. Kami lebih selesa berbual di dalam bahasa Arab kerana lebih mudah menyampaikan maksud sesuatu kerana bahasa Melayu Imam Yahya yang agak terhad.

Saya dikenalkan dengan seorang guru Kung Fu Muslim di Kota Xi'an dan beliau tidak kekok memperlihatkan seni bela diri kepada saya. Biasanya, kita selalu menggambarkan bahawa Kung Fu adalah milik orang bukan Islam, tetapi sebenarnya, ia juga salah satu seni bagi orang Islam di sini.

Perkenalanan dengan Imam Yahya menjadikan beliau menjemput saya untuk datang ke rumahnya, beliau membuat satu jamuan khas pada kami, meraikan kami sebagai tetamunya.
Pada waktu azan berkumandang, kami semua ke masjid untuk bersolat bersama-sama. Masjid lama Xi'an hanya tidak sampai 200 meter dari kediaman Imam Yahya.


Kesempatan yang ada juga sempat kami berbincang jika berpeluang mengadakan ibadah korban di sini. Imam Yahya mengalu-alukan hasrat kami dan jika bilangan lembu yang ingin dibuat di sini banyak, beliau akan aturkan agar ia dibuat di kampung-kampung yang terdapat banyak faqir dan miskin.

Pertemuan kami habis pada hampir waktu asar. Malam ini, saya diajak oleh Abang Azizi dan Shahbudeen (ahli rombongan) untuk ke tempat ini lagi bagi membeli sedikit cenderahati untuk di bawa pulang di Malaysia.

Selepas solat Maghrib, kami mula bergerak dari hotel ke sini. Sedang Abang Azizi memilih cenderahati untuk dibeli, dari celahan bangunan kota Xi'an ini, terdengar sayup-sayup suara selawat. Saya mencuit bahu Shahabudeen dan mengajaknya untuk mencari arah datangnya suara selawat ini. Kami memasuki celah-celah bagunan lama kota ini hinggalah sampai ke satu pintu rumah yang diwakafkan sebagai madrasah. Ramai orang berkumpul di sini, mereka semua sedang membaca bait-bait selawat kepada Nabi SAW..

Dari kejauhan, saya melihat Imam Yahya, rupanya, Imam Yahya yang mengetuai bacaan selawat ini. Melihat kami, Imam Yahya terus mempersilakan kami masuk. Majlis bacaan selawat diteruskan, bait-baitnya sama cuma rentak iramanya berlainan.

Tidak lama selepas itu, datang tiga orang dari Pakistan pula bersama-sama di dalam majlis kami. Rupanya, memang dalam seminggu sekali, masyarakat Islam Xi'an akan bersama-sama di dalam majlis zikir dan selawat. Mereka berkumpul dan selepas habis selawat mereka akan bertazkirah bersama-sama.

" Tafaddal ya Ustaz", imam Yahya tiba-tiba mempersilakan saya untuk memberikan tazkirah kepada jemaah yang hadir. Saya agak tergamam. Setelah diminta beberapa kami akhirnya saya memberikan beberapa perkara berkaitan dengan kelebihan berselawat pada Nabi saw, Imam Yahya kemudiannya menterjemahkan ke dalam bahasa Cina kepada semua jemaah yang hadir. Majlis kami diakhiri dengan berdoa bersama-sama meminta Allah berikan kebaikan kepada kami semua.


Seperti di Malaysia, selepas habis majlis, kami semua berjamuan bersama-sama, bezanya ia bukan nasi dan roti tetapi buah-buahan yang segar bersama teh hijau panas.


Saya merasa terharu, malam ini secara tidak dirancang saya dapat bersama-sama di dalam majlis selawat. Di dalam majlis ini berkumpul orang Cina, Pakistan dan Melayu semuanya melaungkan zikir dan selawat pada Nabi SAW.


Walaupun berlainan bahasa, tapi kami semua dapat berkumpul. Inilah kehebatan ukhwah Islamiah. Dan benarlah kata guru saya bahawa:-


"Kita akan bertemu orang macam kami di mana sahaja kamu berada.."


Kalau kita ahli majlis ilmu, kita akan bertemu orang ahli majlis ilmu, kalau seseorang itu ahli maksiat, di mana-mana pun akan bertemu dengan ahli maksiat juga.


Oleh itu sama-samalah kita memperbaiki diri kita dan insyaAllah Allah akan sentiasa menggolongkan kita bersama orang-orang yang baik, sama ada di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat, amin...


"Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat"


al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Xian China

20 Rejab 1432/ 22 Jun 2011 jam 2.40 pagi

3 comments:

Anonymous said...

Subhanaullah ya ustaz.. terharu kak!! kelebihan Allah beri pada org LELAKI, bebas & tak de batasan utk musafir & berdakwah..

Nak solat pun sangat mudah ... tapi ramai yg tak amik peluang. Misalnya, klu sedang lalu di rumah2 Allah, azan sedang nak abis, senang2 aje boleh berhenti, amik wuduk & join jemaah..beza dgn perempuan, perlu cari tempat wuduk yg tersembunyi, pakai telekung dll ...sbb tu tuntutan solat jemaaah di rumah2 Allah sangat dituntut kepada org lelaki, kan ustaz?

Ustaz minta le kat TV9 tu agar buat slot solat di mana2 (ketika merempit ke, menoreh ke, dll...) macam ustaz buat dlm prog usrah tu, & minta le tayang waktu peak hour, bukan waktu org sedang solat jumaat.

kak mas

awang batuburok said...

assalamualaikum semua,

satu catitan yang menarik dan boleh dijadikan satu rujukan bahawa didalam Islam tidak ada KETUANAN BANGSA (ianya satu fahaman sesat dan menyesatkan)
...Islam telah dianuti dan dihayati oleh orang-orang Cina sudah lebih dari 1000tahun lalu.
Islam meletakkan Allah sebagai TUAN kapada semua makhluk didalam alam ini.

Carrie-Ma said...

assalamualaikum ustaz,

cemburu rasanya melihat senarai kembara ustaz walaupun dalam usia yang masih muda [saya pun tidaklah berapa tua lagi:)]. namun alhamdulillah, setidak-tidaknya perkongsian ustaz melalui blog ini berkongsi pengalaman menerbitkan rasa indahnya Islam.