Tuesday, June 21, 2011

Diari 316 - Ziarah Makam Sahabat Abi Waqqas

19 Jun 2011 jam 9.00 pagi, saya bersama rombongan kedua Tabung Haji keluar dari hotel Mandarin menziarahi makam Sahabat Abi Waqqas di Guangzhou ini. Suasana pagi ini agak redup. Perjalanan kami dari hotel mengambil masa 20 minit untuk sampai. Saya menyampaikan sedikit tazkirah mengenai sejarah Guangzhou dan kedatangan Islam ke negeri China ini.
Kami sampai di kawasan makam ini. Di sini ada masjid untuk mendirikan solat.

Banyak pendapat mengenai adakah Abi Waqqas yang berada di sini adalah Saad bin Abi Waqqas atau seorang sahabat dari kabilahnya.

Yang paling sahih adalah figur ini seorang sahabat dari Kabilah Abi Waqqas dan bukannya Saad, panglima Islam, penunduk kerajaan Parsi. Ini kerana di dalam kitab Imam Malik mengatakan bahawa Saad meninggal di Madinah dan dimakamkan di Baqi'.

Kedatangan Islam ke China adalah satu perancangan rapi di zaman Saidina Uthman r.a. Oleh kerana negara China adalah sebuah negara yang besar, empat orang sahabat telah diutus bersama rombongan para Tabiian untuk mengIslamkan China. Satu rombongan melalui jalan laut dan tiga rombongan melalui jalan darat dari Madinah.

Rombongan yang melalui jalan laut dipimpin oleh Abi Waqqas ini. Kata-katanya yang sangat terkenal adalah:-

"Kami datang ke negara China ini untuk mengembangkan Islam, kami tidak akan kembali lagi ke negara Arab, satu antara dua pasti akan berlaku samaada kami syahid di bumi China ini atau Islam tersebar di sini.."

Terbukti Islam telah tersebar di bumi China ini.

Setelah beberapa ketika di China, rombongan pendakwah yang terus tinggal di sini mendirikan masjid yang diberi nama masjid Huaisheng bermaksud masjid kerinduan. Ia didirikan bagi melepaskan rasa rindu mereka kepada Nabi SAW. Mereka kekal di Guangzhou hinggalah akhir hayat mereka.

Tiga rombongan lagi melalui jalan darat dari susur Turki. Dua rombongan sampai dan satu lagi syahid di dalam perjalanan mereka.

Dua orang sahabat lagi yang dimakamkan di China adalah Khas dan Khis. Makamnya berada di satu kawasan bernama Hami di Kashgar China.

Menziarahi makam sahabat cukup memberi makna kepada kita kerana kita dapat melihat usaha mereka yang cukup bersungguh-sungguh mengembangkan Islam. Di dalam Ahli Sunnah wal Jamaah, ketika kita berselawat, kita juga diajarkan agar berselawat kepada para sahabat..

"Allahumma salli ala Muhammad, wa ala alihi wa sahbihi wa sallah.."

Selain itu, menziarahi makam sahabat yang berada di luar kota Madinah menjadikan kita lebih menghayati makna selawat untuk Rasullullah, ahli keluarga dan para sahabat ini. Mereka orang yang cukup ikhlas berdakwah hinggalah akhirnya kita semua dapat mengenal Allah dan ajaran Nabi SAW.

Semoga Allah kurniakan pada saya dan pembaca sekelian rasa bertanggungjawab menyampaikan agama ini kepada siapa sahaja yang kita jumpa, bagi membahu tanggungjawab yang ditinggalkan oleh generasi pertama ini kepada kita, amin...

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
19 Rejab 1432/21 Jun 2011 jam 7.00 pagi. Kenangan bersama rombongan kedua Tabung Haji di Guangzhou China
Pintu masuk ke dalam makam Abi Waqqas

Kawasan yang meletakkan makam Abi Waqqas dan rombongan yang bersama dengan mereka.

Makam Abi Waqqas, seorang sahabat Nabi SAW

Telaga yang digali oleh beliau dan masih boleh lagi digunakan hingga ke hari ini. Airnya bersih dan boleh terus diminum oleh pengunjung

Kenangan di dalam kawasan rehat di sini

Masjid untuk mendirikan solat Jumaat di tepi makam ini.

Sesungguhnya, menziarahi makam mereka menjadikan kita cukup berterima kasih kepada para sahabat yang ikhlas berjuang menyebarakan Islam ke seantero dunia.


Semoga Allah memberikan kita rasa ingin menyampaikan agama ini kerana ia adalah sifat umat Muhammad. Sesiapa yang mempunyai sifat demikian akan menjadi sebaik-baik ummat (Surah Ali Imran ayat 110)

4 comments:

Yuri Prodigy said...

Assalamualaikum wbt,

Ternyata, dakwah bukan kerja mudah. Memang sepatutnya Rasullullah SAW di angkat mulia kerana baginda sanggup menghadapi misi besar sebegini, subhanallah. Saya rasa terpukul dengan saranan dakwah, tetapi ada sekali saya cuba berdakwah dgn seorang teman bukan Islam, tetpi orang Islam pula yg sibuk menentang dengan caranya yg tersendiri. Ternyata, dakwah memang kerja yang penuh onak dan duri

jab sp said...

Satu catatan yang bolih dijadikan panduan untuk menjelaskan "kemungkinan" kekeliruan yang timbul mengenai tempat meninggalnya Saad Abi Waqas.
25/6/2011-saya berkesempatan melawat tempat ini.Sebaik saja saya refer wiki-saad abi waqqas bagi tujuan update blog,kekeliruan timbul makam siapa yang sebenarnya yang kami ziarah.Dengan catatan Ustaz Amin,ia sedikit sebnayak membantu yang termuskil.
terima kasih.

Unknown said...

alhamdulilah hari kamis kemarin aku bersama rombongan jamah yang sebagian besar bmi bisa ziarah ke makam sahabat nabi swt , . .subhanallah wangi banget di sekeliling makam

yusnizal said...

Tetapi kubur Saad Abi Waqaz bukan di sini tetapi di Madinah menurut Hadis Sahih dan jenazah Saad Abi Waqaz disolatkan oleh para isteri Rasulullah s.a.w. di dalam masjid Nabawi. Manakala dakwah Islam di China ini memang benar.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...