Monday, August 30, 2010

Diari 238 – Behind The Scenes - Semanis Kurma “Suami Teraju Ibadah”

“Salam ustaz, jgn lupa mlm esok live 10pm@ semanis kurma stud C Sri Pentas, Dtg awal by 9.30 pm.Tq” massage yang dihantar oleh Kak Azizah, penerbit program “Semanis Kurma” TV9.

“InsyaAllah :)” jawab saya ringkas.

Khamis 26 Ogos 2010 jam 10 malam, saya akan di dalam rancangan Semanis Kurma di bawah tajuk “Suami Teraju Ibadah”.

Khamis ini, saya tidak pulang ke rumah sejak pagi, berbagai urusan yang dibuat dan kebetulan, petang ini juga, saya berbuka dengan staf saya dari bahagian optical. Kami semua berbuka puasa di JM Baryani di Seksyen 7 Shah Alam.

Selesai berbuka, kami terus sembahyang di ruangan sembahyang di restoran ini. Saya terus ke ofis dan mandi di sana. Bersiap-siap dengan baju Melayu berwarna coklat cair yang dibawakan oleh isteri saya, dan terus ke Sri Pentas.

Sampai jam 9.10 malam.  terus ke surau di tingkat 3 di Sri Pentas. Di surau tidak ada orang, barangkali, bulan puasa sebegini, semua staf pulang awal berbuka dan solat tarawikh bersama keluarga.

Saya menunaikan solat isyak dan tarawikh bersendirian di surau ini.

9.40 malam, saya turun ke Studio C dan di sana Nazri Raihan dan isterinya, Ustazah Bahiyah dan Ustaz Wan Akasyah sedang bersiap-siap.

Penerbit memberikan saya kertas mengandungi bayangan soalan dan topik yang akan diperbincangkan.

Kalau nak kenal penerbit “Semanis Kurma” sekarang ini, kita boleh perhatikan iklan “teh” ketika program “Semanis Kurma” ini.

Secara peribadi, program Semanis Kurma ini sangat bagus untuk kekeluargaan. Ia program yang santai.

Ia tidak seperti program “Tanyalah Ustaz” yang lebih serius dan lebih mencabar.

Yang paling saya tak tahan sekali ialah apabila Ustazah Bahiyah memanggil ustaz Wan Akasyah..

“Ling ling,….”

Teringat kata kekanda saya ustaz Jazlan dengan nada bergurau..

“Kalau saya panggil isteri saya macam tu, dia pengsan, saya pun pengsan…..”

Walau apa pun, program ini amat bagus di dalam membincangkan perkara dalaman rumah tangga. Kala ini, krisis rumah tangga begitu luar biasa hebat. Kadar perceraian meningkat, kadar stress antara suami isteri meningkat.

Sekurang-kurangnya, program ini memberikan satu input di dalam menjawab persoalan sekitar rumah tangga.

Sesebuah rumah tangga tidak lari dari ujian. Yang paling penting ialah seseorang itu perlu tahu, apakah yang perlu dilakukannya ketika melalui ujian rumah tangga.

Di akhir rancangan, saya ingin kongsikan beberapa doa untuk pasangan di dalam rumah tangga.

Antaranya ialah, jika ingin melembutkan hati pasangan, selalulah sedekahkan fatihah dan ayat 1-5 surah Taha. Jadikan amalan dan jangan berputus asa berdoa, memohon keharmonian rumah tangga.

Semoga Allah sentiasa memelihara kita dan ahli keluarga kita dari api neraka. Ia berdasarkan firmah Allah:-

Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan (surah at-Tahrim ayat 6)

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

20 Ramdhan 1431/ 30 Ogos 2010 jam 1.00 pagi

IMG_0151

Pasangan ustaz Wan Akasyah dan Ustazah Bahiyah, hos bagi rancangan semanis kurman ini.

IMG_0152

Membuat promo untuk rancangan akan datang

IMG_0156

Saya digandingkan dengan Nazri Raihan dan Isterinya

IMG_0159

Suami ibarat tangkai kurma, Isteri ibarat buah kurma. Tangkai kurma bukan sahaja memegang buah kurma itu dengan erat dan kuat, bahkan dari tangkai ini disalurkan segala makanan, zat baja untuk kebaikan buah kurma.

IMG_0164

Jadi ibarat tangkai kurma, suami bukan sahaja memegang isteri, tetapi perlu menyalurkan pada isteri segala keperluan termasuk usaha meningkatkan kefahaman agama isteri

IMG_0168

Program ini sangat bagus untuk kekeluargaan

IMG_0171

Kenangan bersama ahli panel dan hos malam ini

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...