Monday, August 23, 2010

Universiti Kehidupan 160 - Ucapan Yang Baik Mengundang Yang Baik….

Jam 8 pagi, Jumaat 20 Ogos 2010, saya baru sahaja menamatkan amanah program “Tanyalah Ustaz” di Sri Pentas. Tajuk kali ini ialah Tanah Haram dan Ramadhan.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ketika sedang membuka peralatan suara dari badan saya, juru kamera pagi ini melihat ke arah skrin tv. Dia memerhatikan nasyid penutup bagi rancangan “Tanyalah Ustaz” pagi ini.

Dia kemudian menyapa saya,

“Ini saja nasyid yang paling sesuai dengan Ramadhan ustaz”.

Kemudian, dia melontarkan pengalamannya.

“Ustaz, saya nak kongsikan satu perkaralah ustaz” katanya.

“Apa dia” kata saya berminat.

“Saya dah kerja di dalam bidang penyiaran ini lama dah ustaz. Saya perhatikan, kehidupan para penyanyi “ dia memulakan pengalamannya.

“Seorang penyanyi akan menyanyi mengikut kehidupan dia, saya perhatikan lama dah ustaz, ia menggambarkan kehidupan seseorang penyanyi tu” dia menyambung lagi.

“Macam mana tu?” kata saya ingin tahu lebih lanjut lagi.

“Saya perhatikan, orang yang menyanyi lagu yang baik dan positif, biasanya hidupnya positif, orang yang menyanyi lagu sedih, biasanya, kehidupan dia sedih dan jika dia menyayi lagu yang huru hara, biasanya, hidupnya huru hara” dia menambah.

“Oh ye ke” fikiran saya terus menerawang cuba mengingat beberapa kehidupan artis.

“Mmm, ada kebenarannya” kata saya.

Saya teringat kata-kata Allahyarham Zubir Ali ketika saya mengambil subjek “asas puisi” di Universiti Malaya yang beliau kendalikan.

“Seni adalah cermin kepada kehidupan” kata Allahyarham.

Pernah satu hari, Allahyarham meminta kami membuat sebuah puisi mengenai seorang ibu bernama Hamidah Tomok yang menyembelih anaknya kerana tidak sanggup melihat anaknya berterusan menagis kerana inginkan susu. Sudah beberapa hari anaknya menginginkan susu sedangkan ketika itu Hamdiah tidak mempunyai wang untuk membelinya. Wang hasil jualan nasi lemaknya habis diambil oleh suaminya dan suami Hamidah seorang yang tidak mengambil tahu urusan keluarganya.

Setiap kami di dalam kelas mula membuat puisi masing-masing. Dan setiap puisi yang kami bacakan, Allahyarham akan mentafsirkan peribadi kami.

“Haa.. yang ini Hamidah marah-marah, yang ini pula Hamidah yang sedih” kami semua tergelak melihat setiap tafsiran beliau kepada setiap kami.

“Ha.. awak pula bacakan puisi awak, kata Allahyarham kepada seorang mahasiswi”

“Nak… maafkan ibu nak….” Pelajar ini memulakan puisinya.

Sambil mendengar, tiba-tiba Allahyarham meminta pelajar ini berhenti dan Allahyarham ketika itu tiba-tiba menangis.

Begitu penghayatan Allahyarham pada bait-bait puisi mahasisiwi ini.

Saya belajar beberapa perkara dalam kelas tersebut. Pertama bagaimana, setiap perkataan kita sebenarnya menggambarkan siapa diri kita.

Kedua, bagaimana, orang “empathy” lebih menghayati dari orang  yang simpati.

Simpati hanya melihat kesusahan dengan mati tetapi empathy, kita merasakan dengan hati.

Berbalik kepada pandangan jurukamera ini, ada kebenaranya. Sesebuah lagu yang digubal dan kesesuaian penyanyi melagukannya, adalah gambaran bagi peribadi orang itu.

Dan juga, setiap perkataan yang kita ucapkan merupakan doa buat kita. Jika kita selalu menyebut perkara yang baik, maka kebaikan itu yang kita akan dapat, begitu juga sebaliknya.

Apa pengajaran dalam kisah ini? Selalulah kita menyebut perkara-perkara yang baik, agar kita Allah anugerahkan kebaikan pada kita.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

13 Ramadhan 1431/ 23 Ogos 2010 jam 7.45 pagi

IMG_9934

Kenangan hari pertama “Tanyalah Ustaz” bertajuk Tanah Haram dan Ramadhan.

IMG_9945

Hikmah datangnya dari sesiapa sahaja, oleh itu, lihatlah pada apa yang dikata dan jangan lihat siapa yang berkata – Saidina Ali Karamallahu wajhah -

4 comments:

Ibu NS said...

Assalamualaikum ustaz,
Syahdu sungguh saya mendengar bacaan doa ustaz di akhir program sehingga menitiskan airmata, betapa saya merasakan diri ini amat jauh drpd Allah. Namun begitu, ia akan memberi sy kekuatan utk terus berusaha mendapatkan keredhaan Allah S.W.T sebelum sy berjumpa denganNya, InsyaAllah. TQ ustaz.

boxhousestudio said...

salam Ustaz

salam ramadhan..bukan kah tiap kata-kata yang terluah adalah doa?..

syukran jaziilan Ustaz Amin...rajin berkongsi cerita dan berita..Alhamdulillah...

salam ukhuwah
BHS

Nor said...

Assalamualaikum ustaz,
salam ramadhan.
maaf,krn sy trlepas program ustaz minggu ini lebih2 lg dgn tajuk yg bagus sekali.dan ditambah lg kebetulan punya teman yg menunaikn umrah dan brpuasa d tanah suci ketika ini.sayang sekali sy tidak brkesempatan utk mndengar.maklum sj,sy blm pernah jejak ke sana oleh itu tringin dan teruja utk tahu bagaimana perasaan dan keadaan mereka di tanah suci.namun alhamdulillah, sy brsyukur pagi kelmarin walaupun di saat2 akhir.syahdu dan sayu..itu yg dpt sy katakn apabila mndengar doa yg ustaz bacakn di akhir program itu.brgenang air mata sy sehingga sy turut meng-aminkan doa ustaz dgn penuh harap...(hanya DIA sj yg tahu perasaan sy wkt itu)doa ustaz yg kali ke-2 sy dengar..ustaz,bolehkah ustaz kongsi doa tersebut?(maksudnya dlm blog ustaz ni)
syukran katsiran ya ustaz.

Nur Farhana said...

Assalamualaikum. Saya paling suka apabila ustaz memberi gambaran yg "sebenar" keadaan di Masjidil Haram ketika malaksanakan ibadah. Ada yg dihalau ke belakang, ada yg melangkah kepala ketika sujud, tempat sujud tu ada tahi burung, tidak kurangnya " si Turki" yg macam bulldozer mereda org kerana terlalu bersemangat utk melaksakan tawaf hehehehe...
Dan akhir sekali, ustaz memberi definisi SABAR yg sangat tepat, sehingga mengubah persepsi saya mengenai erti sebenar sabar, iaitu SABAR bermaksud kefahaman di dalam hati dan akal fikiran bahawa apa jua yg telah berlaku dan sedang berlaku itu mempunyai hikmah yg tersembunyi. Dan bersabar itu bukanlah sesuatu perbuatan yg pasif dan sekadar pasrah, kerana pasrah itu lebih menghampiri kpd putus asa. Alhamduillah, terima kasih ustaz. Semoga kita semua sentiasa mendapat hidayahNya dan berpeluang untuk menimba ilmu sehingga ke akhir hayat, insya-Allah amin... Walahualam.