Monday, August 2, 2010

Bicara Ilmu 20 – Iktibar Perang Bani Mustaliq

“Apa tajuk kali ni?” tanya Abang Ali yang menjemput saya ke Panasonic.

“Mmmm, saya berfikir sejenak….”

“Ok, kita bawa iktibar Syaaban” kata saya.

Hari ini Khamis 29 Julai 2010 jam 6.00 petang, saya bersama sahabat-sahabat di Panasonic Senai Johor di dalam ceramah “Iktibar Syaaban”.

Ada satu peristiwa Sya’aban yang jarang diceritakan oleh para penceramah tetapi ia mempunyai pengajaran yang sangat besar di dalam sejarah umat Islam. Itulah peristiwa “Perang Bani Mustaliq”.

Perang Bani Mustaliq berlaku pada bulan Sya’ban tahun keenam hijrah.

Peperangan ini berlaku apabila Rasullullah mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Rasullullah mengumpulkan para sahabat dan terlebih dahulu yang mendatangi Bani Mustaliq yang terletak di Wadi Qudaid antara Mekah dan Madinah.

Anak kepada ketua Bani Mustaliq yang telah memeluk Islam dan sebagai mengIslam Bani Mustaliq, Rasullullah telah mengambil Juwairiyyah sebagai isteri.

Pengajaran dari Perang Bani Mustaliq ini bermula ketika selepas peperangan ketika Abdullah bin Ubai (orang munafiq) melaga-lagakan antara orang Muhajirin dan Ansar.

Allah turut merakamkan peristiwa bagi menjawab tuduhan Abdullah bin Ubai terhadap nabi dan golongan Muhajirin melalui ayat 8 surah al-Munafiqun :

Mereka (golongan munafik) berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah maka benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya”. Sedangkan kekuatan itu hanyalah bagi Allah S.W.T, bagi rasulNya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang munafik itu tidak mengetahui.

Setelah Rasullullah dapat meredakan keadaan, kali ini, keluarga Nabi SAW pula cuba diporak perandakan.

Semasa perjalanan pulang daripada Peperangan Bani Mustaliq Siti Aisyah yang tertinggal daripada rombongan yang pulang ke Madinah kerana ingin mengambil sesuatu barang yang tercicir. Saidina Safwan bin al-Mu’tal telah menemui Siti Aisyah lalu membawanya sehingga bertemu semula dengan ahli rombongan yang lain di Nahru Zahirah.

Tentera Islam yang melihat ketibaan mereka merasa terkejut dan Abdullah bin Ubai menggunakan peluang itu untuk menabur fitnah bahawa Siti Aisyah ada membuat perkara jahat dengan Saidina Safwan.

Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah turunnya wahyu yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Penurunan wahyu ini telah menenangkan hati Rasulullah s.a.w, Siti Aisyah sendiri dan para sahabat terutama Sayyidina Abu Bakar.

Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar (Surah an-Nur ayat 11)

Dari peristiwa ini juga, satu ayat hukuman telah diturunkan iaitu orang yang menuduh perempuan berzina tanpa saksi dikenakan 80 kali sebatan.


Akhirnya 3 orang dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Musytaq dan seorang perempuan bangsawan Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam dahulu dan kini supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah.

Peristiwa dan pengajaran dari perang Bani Mustaliq ini jarang diceramahkan kerana, pada hujung bulan rejab, orang akan sibuk berbicara mengenai Isra’ dan Mikraj, ketika selesai Isra’ dan Mikraj’, orang sudah sibuk pula membicarakan mengenai Ramadhan.

Sesungguhnya, apa sejarah banyak mengajar kita erti kehidupan, lebih-lebih lagi mengenai kisah yang berlaku sekitar kehidupan Nabi SAW.

“Ilmu Pelita Hati”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

21 Sya’ban 1431/ 2 Ogos 2010 jam 12.30 tengah hari

IMG_0263

Ceramah multimedia “Perang Bani Mustaliq”

IMG_0312

Santai selepas ceramah..

1 comment:

Anonymous said...

Kenapa tak ceritakan sekali bagaimana Aisyah yang di fitnah. Kisah yang sangat menarik

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...