Friday, January 30, 2009

Universiti Kehidupan 27- Islamnya Bumi Taif

Hebatnya sesuatu perjuanga bukan dengan keadaanya
hebatnya sesuatu perjuangan ialah apabila ia terus bersambung
-al fakir Ila Rabbihi Muhamad Abdullah-
Kita selalu mendengar cerita Taif dengan kisah Nabi dihalau dan dibaling dengan batu di bumi Taif ini. Tetapi kita jarang mendengar kisah bagaimana perancangan Nabi mengIslamkan bumi Taif. Kesempatan kali ini, kita akan membincangkan mengenai kisah Islamnya bumi Taif. Mari kita mulakan dengan kisah dakwah Nabi ke Taif ini.

Pada tahun ke sepuluh kenabian, iaitu 3 tahun sebelum hijrah, Nabi saw menghadapi satu tentangan yang luar biasa hebatnya. Kaum Quraish memulaukan baginda. Dalam keadaan yang penuh tekanan ini, Nabi bersama Saidina Zaid Harithah telah memilih bandar tinggi Taif untuk medan dakwahnya.

Sesampainya di Taif, Nabi bertemu dengan tiga orang ketua Bani Thaqif iaitu suku Arab terbesar di Taif. Salah seorang dari mereka tidak mahu campur urusan dakwah ini.
Dia mengatakan, "jika engkau pendusta, aku tidak mahu layan pembohongan ini, tetapi jika kamu benar-benar Nabi, aku tidak mahu dilaknat".

Dua orang lagi berhujjah dengan Nabi. Mereka yang memang dari awal menolak dakwah ini terus menghina-hina dan memperbodohkan Nabi yang mulia ini. Akhirnya mereka berdua menghalau Nabi. "Keluar kamu dari negeri kami ini".

Mereka mengheret Nabi keluar dari Bustan as-Thaqif (taman Thaqif). Penduduk yang sejak awal berkumpul di sekeliling Nabi menolak-nolak Nabi. Anak-anak muda yang lebih agresif membaling nabi dengan batu. Batu-batu itu melukai kepala, badan dan kaki Baginda. Saidina Zaid menjerit-jerit menahan batu yang dilemparkan kepada mereka. Nabi yang cedera meninggalkan Bustan at-Thaqif. Ketika menuruni curam bukit, batu masih lagi menghujani mereka berdua.
Setelah jauh, Nabi bersandar di satu batu, baginda memegang badan Zaid, bertanyakan khabar keadaan Zaid. Zaid yang juga cedera lebih membimbangkan keadaan Nabi.

Darah mengalir dari badan Nabi. Ketika itu Nabi mengangkat tangan dan berdoa mengadu keadaanya pada Allah. Saidina Zaid r.a menceritakan bahawa dia melihat Nabi dengan keadaan yang sangat sedih.

Pada ketika itu, datanglah Malaikat kepada Nabi seraya berkata:-

"Wahai Muhammad, mintalah pada tuhanmu keizinan untuk aku mengambil bukit-bukit di Taif bagi menghempap mereka".

Nabi mengangkatkan tangannya sekali lagi. Baginda berdoa, tapi bukan berdoa untuk kehancuran penduduk Taif tetapi kebaikan untuk mereka

"Ya Allah, hidayahkanlah kaumku ini, sesungguhnya mereka tidak mengetahui".

Ketika berada di tempat itu, seorang Nasrani melintasi mereka. Nasrani ini sangat simpati dengan keadaan Nabi. Dia lalu singgah, mengambilkan air dan bertanyakan khabar mereka berdua. Peluang ini diambil oleh Nabi untuk menerangkan risalah Islam. Akhirnya, orang Nasrani ini memeluk Islam. Dialah satu-satunya orang yang berjaya diIslamkan oleh Nabi ketika di Taif.

Islamnya Nasrani ini memberi inspirasi kepada Nabi untuk mengIslamkan bumi Taif. Perancangan mengIslamkan Taif dan Mekah disusun dan dirancang oleh Nabi.

Sejarah menyaksikan Nabi berjaya mengIslamkan kota Mekah. Bandar Taif terus menjadi medan dakwah seterusnya. Nabi telah mengutuskan seorang sahabat bernama Abdullah Ibn Abbas ke Taif. Beliau berusaha bersungguh-sungguh berdakwah dan mendidik masyarakat Taif. Akhirnya, bumi Taif berjaya di Islamkan oleh Abdullah bin Abbas. Usaha mengIslamkan bumi Taif berjaya dilaksanakan 12 tahun setelah peristiwa penghalauan Nabi dari bumi ini. Abdulllah bin Abbas terus duduk di sini hinggalah kewafatannya.

Peristiwa Islamnya bumi Taif ini menyuntik semangat perjuangan kepada kita. Semangat tidak kenal putus asa menyebabkan Islam tersebar ke seluruh dunia.

Kita sebagai generasi Islam masa kita hendaklah memperjuangkan Islam dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Kalau orang terdahlu berjaya menyebarkan Islam ke seluruh dunia, kita perlu mencontohi mereka agar Islam itu tetap tersebar dan terjaga. Kita akan gemilangkan Islam di dalam semua lapangan seperti mana yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu.
Semoga, saya dan pembaca sekelian terus meningkatkan diri untuk menyambut amanah perjuanga Islam di akhir zaman ini. Ini kerana, terdapat berita gembira untuk umat akhir zaman bahawa, Islam pasti akan gemilang kembali.
Taif satu Bandar yang terletak kurang lebih 60 KM dari Mekah. Ia merupakan satu kawasan bukit. Dari atas bukit Taif, kita boleh melihat Bandar Mekah. Pada ketika ini, jalan pintas ke Mekah ditutup. Kita terpaksa melalui jalan lain sejauh 140 KM untuk sampai ke Taif.
Hawa di sini dingin ibarat Camaron Highland di Malaysia. Bukit ini menjadi saksi peritnya Nabi berdakwah di bumi ini. Malaikat pernah meminta izin untuk mengambil salah satu bukit ini untuk dihempapkan kepada penduduk Taif.
Tempat Nabi berhenti bermunajat di dirikan sebuah masjid. Ia diberi nama Masjid Kuu', bermaksud masjid siku. Ia mengambil sempena dengan keadaan Nabi berteleku dengan sikunya dalam keadaan luka-luka.
Masjid ini sudah tidak digunakan lagi. Ia bagi mengelakkan orang yang datang memuja-muja tempat ini. Ia dipagar. Kerajaan Arab Saudi cuba mengatakan bahawa tempat ini bukan tempatnya Nabi berteleku, tetapi penduduk Taif mengatakan bahawa inilah tempatnya lantaran tempat inilah merupakan kawasan yang tidak jauh dari Bustan as-Thaqif tempat Nabi bertemu dengan pembesar kaum.
Ini ialah kubur Sahabat Abdullah bin al-Abbas r.a, utusan dakwah Nabi bagi penduduk Taif. Beliau terus duduk di sini membimbing penduduk Taif hinggalah kewafatannya.
Ini adalah Masjid Abdullah Ibn Abbas. Makamnya tidak jauh dari masjid ini.

Semoga kisah ini menyuntik semangat untuk kita terus memperjuangkan Islam, amin..

3 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum.. Alhamdulillah perkongsian yang menarik.. harap dapat teruskan lagi perkongsian yang sebegini.. Saya minta izin untuk mengambil info dan gambar dari sini

Azrin Urid said...

Assalamua'laikum ustaz..saya bercadang nak ke taif petang ini..mohon kalau ada Maps untuk ke masjid siku..saya naik kereta bersama rakan2 saya..

Azrin Urid said...

Assalamua'laikum ustaz..saya bercadang nak ke taif petang ini..mohon kalau ada Maps untuk ke masjid siku..saya naik kereta bersama rakan2 saya..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...