Monday, January 5, 2009

Universiti Kehidupan 22 - Bersatu itu perlu

2 Januari 2009, saya dijemput untuk menyampaikan sebuah pengajian di satu tempat di Lembah Klang ini. Kuliah di tempat ini bukanlah di dalam jadual saya tetapi hanya sebagai jemputan.

Orang yang menjemput saya ke sini memberitahu saya permasalahan yang dihadapi di surau ini. Ada dua orang Ustaz yang mengajar di surau ini yang saling bertentangan pendapatnya. Lebih malang lagi, salah seorang Ustaz mempertikaikan guru yang sorang lagi dengan tuduhan sesat, bid'ah dan khurafat. Sebahagian ahli jemaah keliru. Mereka tidak pasti mana satu pandangan yang ingin di pakai.

Kuliah pada malam ini saya mulakan dengan membincangkan kepentingan bersatu di dalam Islam. Prinsipnya mudah, "kita bersatu di dalam perkara yang disepakati dan berlapang dada di dalam perkara khilaf".

Surau atau masjid bukan medan untuk kita menunjukkkan kepada orang awam bahawa kita ini hebat ilmu dan mempertikai sana dan sini. Jika seseorang itu rasa mereka itu hebat, maka buatlah perbentangan di dalam seminar-seminar. Di dalam seminar, yang hadir juga golongan berilmu. Barulah boleh membuat pandangan yang pelik-pelik. Semua orang faham dan semua orang boleh bahas apa yang kita perkatakan. Perbahasan kita akan menjadi bak kata pepatah, "bertemu buku dengan ruas".

Saya pernah hadiri satu seminar di Penang, ketika sesetengah Dr dan Ustaz membuat perbentangan, hadirin yang hadir mula membahaskan. Di hujung perbentangan, Dr yang garang pada peringkat awal meminta maaf di atas beberapa pandangannnya.

Ini medan yang betul untuk bahas ilmu. Bukannya di surau dan masjid yang kebanyakkannya orang awam yang masih baru berjinak-jinak dengan masjid. Mereka keliru. Jika para Ustaz pun bergaduh, mana contoh yang boleh mereka ikut lihat.

Saya seru pada diri saya, saya panjangkan pada kita semua, marilah kita menyatukan, didik diri kita dan masyarakat pada ilmu dan akhlak. Tawadhuklah dengan ilmu, perkara yang kita tidak tahu bukan bermakna tidak ada. Bersatulah dan satukanlah orang lain. Kita bersatu pada perkara yang disepakati dan berlapang dada pada perkara khilaf.
Semoga, setiap apa yang kita buat mendapat keredhaan dari Allah. Jika barat terkenal dengan slogan "pecah dan perintah" mari kita laungkan "bersatu dan berjihad". Agar yang baik dijunjung dan yang mungkar di pagar


No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...