Isnin 19 Januari 2009. Jam 12.30 tengah hari, saya bersiap-siap untuk ke lapangan terbang KLIA. Hari ini, jika mengikut jadual saya akan ke Mekah. Bersama saya ke Mekah ialah jemaah dari Shah Alam seramai 40 orang. Di dalam rombongan kami ada 4 orang ustaz termasuk saya. Jemaah kali ini tentu mendapat pengisian yang banyak.
Pada pukul 2.30, semua jemaah telah berkumpul di lapangan terbang. Mereka menguruskan beg-beg yang akan dibawa. Selepas itu, pada pukul 3.30 salah seorang ustaz (Ustaz Dasuki) telah memberikan taklimat kepada para jemaah. Taklimat diakhiri dengan doa musafir.
Pukul 4.00, jemaah mula bersalaman dengan ahli keluaraga. Ada yang menitiskan air mata kerana akan berpisah sementara. Kami mulai turun ke ruang imigresen untuk pemeriksaan passport.
Saya antara orang terakhir yang melalui "auto gate" imigresen. Setelah beberapa kali memasukkan passport saya, ia tidak dapat dibaca. Seorang pegawai menghampiri saya dan meminta saya ke kaunter manual.
Setelah memeriksa passport saya, ia melihat saya dan mengatakan, "Encik, kami tak dapat benarkan Encik keluar dari Malaysia", Kenapa? Jawab saya terkejut. "Encik kena periksa di Putrajaya bahagian keselamatan", jawab pegawai ini.
"Saya baru sahaja keluar negara dalam beberapa bulan lepas, tak ada apa-apa pun" saya menelah. "Kami pun tak tahu sebab apa, kami tak boleh periksa di sini, Encik rujuklah ke sana", jawab pegawai ini.
Mereka memberikan saya nombor rujukan ke Putrajaya. Saya agak terkejut. Saya memaklumkan hal ini kepada beberapa ahli jemaah bahawa saya tidak dapat terbang hari ini. "Kenapa ustaz? Mereka bertanya. "Saya pun tak tahu," jawab saya.
Jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Kapal terbang akan berlepas jam 5.50 petang. Saya menghubungi sahabat saya Azizi untuk memaklumkan hal ini. Dia juga terkejut. "tak apa ustaz, nanti saya cuba hubungi bahagian imigresen.
Rupanya Azizi menghubungi Tan Sri Abdul Aziz Yusuf, bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Pada jam 5.15, Tan Sri Abdul Aziz menghubungi saya, "Ustaz, tunggu dahulu di lapangan terbang nanti…" tiba-tiba perbualan kami terputus. Rupanya bateri saya habis.
Saya cuba mendapatkan telefon lain. Anak buah saya yang menghantar saya ke lapangan terbang memberikan telefonnya. Saya mengambil dan menukarkan "sim card" saya ke telefonnya.
Saya masih menunggu panggilan. Jam sudah menunjukkan pukul 5.40. Saya rasa saya tidak sempat terbang hari ini. Saya pergi ke kaunter tiket Saudi Airline, dan meminta mereka mengeluarkan nama saya dari senarai penumpang. Mereka memberikan salinan e-tiket kepada saya.
Dalam perjalanan balik, saya mendapat forword sms dari Azizi, ia dari pegawai kanan KDN kepada Tan Sri Abdul Aziz.
"Tan Sri, saya masih berusaha menghubungi pengarah imigresen KLIA, bila tahu sebabnya saya akan maklumkan kepada Tan Sri, boleh tak dapat nama penuh & no. pasport ustaz itu. tk"
Saya menghantar nama penuh dan no pasport kepada Azizi. Azizi kemudian menghubungi saya. "Ustaz, Tan Sri kata, ini ada sedikit kesalahan teknikal ni, takkan le ustaz ada menjejaskan keselamatan negara, tak apa, nanti dia bantu." "Alhamdulillah," bisik hati saya, tentu ada hikmahnya.
Saya teringat peristiwa saya ditahan di imigresen Hong Kong pada tahun 2005 dahulu. Mereka syak saya terrorist kerana pasport saya banyak cop beberapa negara Arab dalam waktu yang singkat. Ketika saya bertanya, "muka baik macam ini pun terrorist ke?" Mereka menjawab, "muka baiklah terrorist. Muka kalau jahat, misai tebal, dahi kerut, tu bukan terrorist, itu gangster". Oh.." saya tersenyum.
Selama dua hari ini saya menguruskan hal pasport. Tidak ada apa yang besar. Semuanya di bantu. Setelah selesai urusan pasport, saya menguruskan pula hal tiket. Alhamdulillah, semuanya selesai. InsyaAllah saya akan kembali ke Mekah pada pukul 3.00 petang hari jumaat ini.
Perjalanan kali ini mungkin menarik. Ini kerana saya akan terus ke Mekah dan bersama jemaah selama tujuh hari di Mekah, selepas jemaah semua balik saya ada baki 5 hari bersendirian di sana. Oleh kerana visa saya ialah visa pelancong, jadi saya boleh pergi ke mana sahaja di Arab Saudi ini. Perjalanan umrah saya kali ini seperti perjalanan saya ke negara-negara Arab yang lain sebelum ini. Adventure dan bersendirian. InsyaAllah, kita akan berkongsi pengalaman nanti.
Inilah kehidupan. Kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan segalanya. Walaupun telah pasti sesuatu perkara berlaku, jika Allah menghendaki sebaliknya, tidak ada yang boleh menghalang. Kita di atas ketentuanNya. Oleh itu, selalulah bergantung padaNya. Orang yang bergantung pada Allah akan mendapat kecukupan dariNya.
"Universiti Kehidupan, pengajian sepanjang hayat"
Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...
-
“Mmm, ustaz, boleh tak ceritakan bagaimana Nabi Yahya dibunuh” Tanya seorang anak murid pada saya. Rupanya ada yang mengikuti kisah Nabi ...
3 comments:
Semoga masa yang berlalu dan terlepas itu akan digantikan Allah dengan sesuatu yang lebih baik. Jaga diri ya Ustaz. Kita umat Islam kini ketandusan ilmuan yang tawadhu'. Maka nya Ustaz perlu lebih berhati-hati dalam mengorak langkah kehidupan kerana Ustaz adalah aset bagi masyarakat muslim kini.
Alhamdulillah Ustaz...semua dapat diselesaikan..selamat berangkat & selamat kembali untuk terus berkongsi pengalaman, ilmu, dan 'ilham yg Ustaz terima dari Allah swt' dengan kami semua. Salam.
Terima kasih semua. Walau di mana kita berada, mari sama-sama kita bangunkan usaha untuk agama kita tercinta dan saudara seIslam kita tersayang.
Post a Comment