Tuesday, September 20, 2011

al-Ijabah 100 – “Ku Ceritakan Kisah Ini..”

Pada pertengahan 2011, seorang Dato’ telah menghubungi saya meminta saya membantu satu perkara….

Seseorang atuk berumur 71 tahun, ditinggalkan oleh anak dan isterinya di hospital, tidak ada siapa yang ingin mengambilnya.

Saya berbincang dengan bahagian rumah HIV Darul Ukhwah. Pada permulaan, sahabat di rumah HIV agak berat untuk menerima kerana bebanan tugasan yang memang banyak, sedangkan atuk ini, seorang yang tidak mampu mengurus diri, kecing dan beraknya perlu di bantu dan seminggu 3 kali dia memerlukan rawatan buah pinggang.

Saya meminta sahabat saya ustaz Azmi mencarikan rumah orang tua bagi menempatkan atuk ini, kebanyakkannya dikendalikan oleh orang bukan Islam, yang ada juga bayarannya agak mahal. Tapi saya faham kerana penjagaan orang tua perlukan perhatian dan pekerja yang ramai, jadi kos penjagaan memang agak tinggi.

Apakan daya, kala itu kami tidak mempunyai kemampuan untuk membaiyai atuk jika diletakkan di rumah orang tua.

Tapi percaturan Allah itu maha luas kerana dia Maha Pembela setiap hambanya…

Seminggu sebelum Dato’ ini menghubungi saya, datang seorang meminta kerja pada saya. Pada permulaannya, saya ingin menempatkannya di pejabat saya di Shah Alam, tetapi oleh kerana Darul Ukhwah kekurangan staf, saya memintanya untuk bertugas di rumah HIV ini. Dia bersetuju dengan hati yang terbuka.

Siapa tahu, rupanya kedatangannya adalah untuk menjaga atuk yang sudah tidak upaya ini. Dia menjaga atuk ini seperti ayahnya, kecing berak di basuh hinggalah kepada memandikan dan meyediakan keperluan atuk ini.

Itulah percaturan Allah…

“Ustaz, boleh tak minta TV, sebab kadang kala atuk ini agak kesunyian” kata penjaga atuk. Isteri dan anak yang cuba dihubungi sama ada melalui telifon atau sms banyak tidak berjawab, barang kali sibuk dengan urusan harian…

25 Ramadhan 1432, satu suasana yang agak tegang, penghuni Darul Ukhwah akan pulang bercuti. Saya ketika itu berada di tanah suci bagi umrah Ramadhan

Bagaimana atuk? Kami cuba menghubungi keluarganya tetapi tidak ada yang mahu mengambilnya.

Keputusannya…

Penjaga atuk di Darul Ukhwah dengan lapang hati menerima atuk ini sebagainya ayahnya, dan membawanya bersama pulang untuk hari raya. Tetapi, beberap hari di kampung, atuk jatuh sakit dan terpaksa di masukkan ke dalam hospital, barang kali agak sedih berada di sisi keluarga orang lain..

Selepas hari raya, semua penghuni Darul Ukhwah telah kembali, rumah perlindunga ini kembali meriah tetapi si atuk akhir-akhir ini banyak menangis…

13 September 2011, saya bermesyuarat dengan beberapa staf Darul Ukhwah termasuk penjaga atuk ini. Saya mengajak penjaga atuk keluar dan berbual dalam kereta supaya tidak didengari oleh yang lain hal-hal kekeluargaan yang agak sensitif.

“Macam mana keluarga atuk? tanya saya.

“Masih tidak dapat dihubungi ustaz, tapi saya dah dapat tahu kisahnya…”

Sepanjang di dalam kereta dari Petaling Jaya ke Shah Alam, penjaga ini bercerita kepada saya mengenai kisah atuk dan keluarganya..

Saya hanya mendengar sambil sekali sekala memberikan pandangan untuk usaha selanjutnya….

16 September 2011, saya pulang ke Johor untuk menziarahi keluarga di Johor, maklumlah, baru-baru ini saya beraya di Mekah, jadi tidak sempat menziarahi keluarga di sana.

17 September 2011 jam 4.00 petang, saya bergerak pulang ke Selangor. Sampai di rumah jam 7.15 petang. Belum sempat mandi telifon saya berbunyi…

Saya memandang ke arah telifon saya…

“Dari Darul Ukhwah” bisik hati saya…

Saya mengangkat telifon, suara penjaga atuk tersekat-sekat menangis…

““Ustaz… atuk dah pergi..” kata penjaga ini.

“Innalillah wa Innailahi Rojiun..” spontan saya menyebut.

“Tak apa, tenang… saya sembahyang kejap, nanti saya terus ke Darul Ukhwah..” kata saya.

Dalam perjalanan saya menghubungi kawan-kawan atuk yang saya kenal termasuk Datuk yang meminta saya mengambilnya pada awal-awal dahulu…

Sesampainya di Darul Ukhwah, saya melihat sekujur tubuh terbaring, diselimutkan dengan kain pelikat.

Saya melihat wajah atuk, air mata yang ingin jatuh saya cuba tahan. Baju lusuh berwarna biru yang sering atuk pakai menjadi pakaian terakhirnya.

Atuk baru sahaja lepas makan malam petang tadi. Dia banyak menangis. Selepas makan malam, biasanya dia akan mengiring ke arah dinding, merenung jauh. Hatinya pilu tapi apakan daya…

Penjaga atuk memegang atuk bagi persiapan maghrib. Atuk tidak menyahut. Badan atuk digoyangkan, tetapi atuk tidak juga bergerak.

Doktor yang dihubungi telah datang dan mengesahkan bahawa atuk sudah kembali kerahmatullah…

Ramai orang yang datang, saya tidak tahu dari mana. Badan mereka agak tegap. Ada yang masih berpakaian seragam. Mereka adalah anggota polis.

Dari yang berpangkat Tan Sri hingga pada Sarjan biasa, memenuhi ruangan rumah Darul Ukhwah…

Siapa Atuk sebenarnya? bisik hati saya…

Saya cuba menghubungi ahli keluarga Atuk. Barangkali cubaan terakhir, panggilan kali ini diangkat dan makluman pemergian Atuk sampai pada ahli keluarganya..

Jam 12 malam, ahli keluarga atuk sampai. Mudah-mudahan anak atuk menjadi anak yang soleh yang sentiasa mengirimkan pahala untuk atuk sekalipun waktu hayatnya, atuk sering tertunggu-tunggu mereka.

Tidak sedikit orang yang menjadi anak soleh ketika kedua ibu dan ayahnya sudah tiada.

Atuk akan dimandikan di masjid berdekatan.

18 September 2011 jam 9.00 pagi, masjid ini dipenuhi dengan anggota polis. Rupanya atuk seorang yang hebat ketika hidupnya.

Saya dimaklumkan dari anggota polis, bahawa, dia dan sahabatnya pernah bertempur dengan komunis di Jalan Kroh-Betong, Perak pada 17 Jun 1968 dan 17 anggota yang bersamanya gugur akibat pertempuran itu.

Dia dan kawannya yang gugur patut diberi penghargaan..

Atuk selesai dikafankan. Saya mengimamkan jenazah atuk. Inilah khidmat terakhir saya untuk atuk. Tidak sangka, pertemuan di hospital beberapa bulan lalu berakhir dengan pemergian untuk selamanya.

Motor trafik polis menghidupkan serennya. Puluhan kereta mengiringi atuk ke pusara, kebanyakkannya anggota polis, seakan mengiringi orang VIP di jalan raya.

Atuk diletakkan ke lahad. Perlahan-lahan saya mengepalkan tanah untuk diletakkan di sisi atuk. Saya mempersilakan bahagian agama Polis Diraja Malaysia membacakan talkin dan tahlil di pusara atuk.

Langit hari ini mendung, hujan gerimis turun mengakhiri penghormatan buat atuk. Untuk ahli kelurga, takziah saya ucapkan…

Bagi kami di Darul Ukhwah, kami sayang atuk, sesungguhnya beberapa bulan bersama kami di sini menjadikan atuk sebahagian dari keluarga kami.

Selamat bersemadi dengan tenang, semoga Allah terus merahmati atuk.. al-Fatihah…

“al-Ijabah, bersama kita berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

22 Syawal 1432/ 20 September 2011

IMG_4912

saat akhir atuk di Darul Ukhwah

IMG_4913

Ramai anggota polis yang datang malam ini

IMG_4915

Barulah saya tahu bahawa atuk adalah orang yang pernah berjasa untuk tanah air

IMG_4917

Kereta peronda dan polis trafik mengiringi atuk ke pusara

IMG_4918

atuk diiring ditempat persemadian

IMG_4919

Selamat berehat atuk, semoga atuk digolongkan dengan golongan orang soleh dan solehah

IMG_4920

19 September selepas Isyak, ahli masjid di jemput untuk membacakan tahlil buat atuk..

17 comments:

snsyafiqa said...

assalamualaikum.
apakah boleh sekiranya dikongsi kisah sebab2 isteri dan anak atuk itu tidak mahu mengambilnya.

MrsNor said...

teringin juga hendak tahu kenapa arwah atuk "dibuang" oleh ahli keluarganya....

Anonymous said...

Assalam Ustaz,

Pilu, sedih membaca blog kali ini.

Semuga roh atuk di cucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang orang yang soleh.

Saya mohon semuga Allah beri saya kesabaran dan rasa kasih sayang dengan kerenah ibu yang sudah tua.

AJ

Wan Zuraida said...

ustaz sebak sy membaca kisah atuk ini. smg roh atuk di cucuri rahmat Allah SWT.

Anonymous said...

Semoga roh atuk ditempatkan bersama-sama para solihin.Alfatihah.
Mudah-mudahn kisah ini menjadi pengajaran yg amat berguna kepada kita yg masih mempunyai ibubapa. InsyaAllah

AI said...

assalamualaikum...


ramai anak sekarang lupe pd kasih sayang ibu bapa kan...

Kak Ina said...

Assalamualikum,

Saya turut menangis membaca kisah Atuk. Atuk mestilah teramat sedih ye..apabila dipulaukan oleh anak-anak sehingga begini rupa. Syukur alhamdullilah kerana Atuk dipertemukan dengan seorang insan yg penyabar yg. menjaga Atuk hingga akhir hayat. Al Fatihah untuk Atuk dan semuga insan yg. mulia yg. menjaga Atuk diberkati hidupnya. Ameen.

Sharifah Aliman said...

Assalamualaikum Ustaz

Sedihnya cerita atuk ni. Byk iktibar!

Bolehkah kita sbg anak memulaukan bapa sendiri yang mungkin pada pandangan kita, bapa kita telah buat 'dosa besar'?

Al-Fatihah untuk atuk dan moga arwah tergolong di kalangan orang yg soleh. Moga ahli keluarga yg ditinggalkan menjadi orang yg lebih bertaqwa.

Anonymous said...

Arwah atuk beruntung sbb di saat2 terakhirnya dikelilingi org baik2 ..

Anonymous said...

Bahagian yg last tu (ramai polis2 menziarahi jenazahnya dari pangkat tan sri ke bawah..) mula2 saya pun heran juga, kenapa mereka datang, sedangkan masa hidup atuk ni terabai? ... fikir punya fikir, saya faham le..

alfatihah.

kpd anak2 including myself, sabarlah dlm melayan kerenah mak bapa esp ketika mereka dah tua ..

School Of Tots said...

Segala yg berlaku ada hikmahnya. Semoga menjadi iktibar. Marilah kita sama2 sedekahkah pahala bacaan surah2 al-Qu'ran untuk arwah.

The Black Jubah said...

Innalillahi wainna ilaihi rajiuun...Al-Fatihah.

Anonymous said...

Sungguh menginsafkan. Namun kena yakin dgn konsep buat baik dibalas baik, krn kebanyakannya begitulah. Anak2 akn melihat apa yg ibu bapanya lakukan kpd datuk dan nenek atau org sekeliling mereka dahulu. Kemudian mereka akn berkelakuan begitu kpd kita pula.fikir2kanlah bersama.

hafiz ramlan said...

Assalamualaikum ustaz..
Ana hafiz dari kajang.. Ana tertarik dgn pengembaraan ustaz ke bumi palestin.. Kedua ibu bapa ana teringin ke palestin. Boleh tak ana dapatkan email ustaz untuk bertanyakan program ziarah palestin. Ini email ana. Nestum80@gmail.com

Anonymous said...

Assalam ustz,
Sedih dn sebak membaca kisah ini.ramai di kalangan anak anak ms kini yg mengabaikan tjwb kpd ibubapa.maka benarlah seorang ibu boleh menjaga 10 org anak tp 10 org anak blm pasti dpt menjaga ibu.insaflah wahai anak- anak wp sejahat mana sekali pun perbuatan bapa kpd kita,tidak akan lahir kita ke dunia tanpa mereka....jgn jd anak derhaka, nauzubillah...

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz
Innalillahi wainna ilaihi rajiuun...Al-Fatihah. Entah bagaimana pula cerita kita nanti.
Mohon share utk pengajaran bersama. Tk.

Ismahani said...

Kisah yg benar2 menyentuh hati.. Kenapa kita boleh ziarah hanya apabila seseorang itu sudah meninggal dunia tetapi tidak waktu sakitnya???

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...