30 Julai 2011, saya bersama krew TV9 tiba di Xi’an. Kami akan membuat dua episod program Usrah mengenai masyarakat Islam di China dan Ramadhan di China.
Sesampai di kota Xi’an, saya mencari sahabat saya Imam Yahaya. Beliau adalah imam besar masjid Xi’an, graduan Universiti al-Azhar.
“Ya Allah, selamat datang” imam Yahaya mengalukan kedatangan kami penuh gembira.
“Malam ni nanti kamu ikut saya, ada orang meninggal, nanti kamu boleh rakamkan bagaimana Muslim di sini mengurus Jenazah” kata Imam Yahaya.
“Bagus tu,benda macam ni bukan boleh dilakonkan, banyak manfaat boleh dikongsikan” kata saya.
Malam itu, selepas Isyak, kami mengikut Imam Yahaya ke rumah si mati.
Di sini, kalau ada orang meninggal, jenazah akan terus dimandikan, kemudian imam dan orang masjid akan datang untuk memberikan talkin dan tazkirah..
Tazkirah malam ini sungguh bersemangat hingga sejam lebih, dan macam di Malaysia juga, kalau dengar tazkirah, ada yang lelap.
Pada waktu subuh, jenazah akan dibawa ke masjid, waris lelaki si mati akan menjunjung al-Quran sambil berlutut di hadapan jenazah dan semua orang akan mengambil al-Quran di cium kemudian diletakkan kembali. Ia sebagai mensedekahkan fatihah kepada si mati.
Selepas tamat, solat jenazah akan di dirikan, ketika jenazah digiring ke dalam van jenazah, ahli keluarga yang perempuan akan meraung menangis. Suasana menjadi sangat pilu dengan tangisan ahli keluarga perempuan.
Berbas-bas akan datang mengiringi jenazah ke kuburan
Tanah perkuburan di sini lebih dalam dari di Malaysia. Ia sedalam 12 kaki
Di dalam liang lahad, memang dibuat tangga sekali bagi memudahkan orang menurunkan jenazah ke dalam lahad
Batu konkirt akan di susun bagi menutup liang lahad sebelum dikambus dengan tanah.
Selepas lahad di kambus dengan tanah, semua orang akan mengambil al-Quran dan membacanya diniatkan pada si mati
Setiap keping al-Quran sebanyak satu juzuk. pagi ini di tanah perkuburan, Sebanyak tiga kali al-Quran dikhatamkan oleh lebih seratus orang. Seorang membaca lebih kurang satu juzuk
selepas tamat di tanah perkuburan, semua yang hadir dijemput ke rumah si mati untuk jamuan.
Begitulah kita dari Allah dan kepadaNya kita akan kembali. Melihat jenazah diurus memberi kesedaran kepada kita bahawa nanti kita juga akan dimandikan, kita juga akan disembahyangkan, kita juga akan diiring ke kubur dan kita juga akan ditinggalkan keseorangan.
Di dalam sebuah Hadis, Nabi SAW bersabda,
“Tiga akan mengiringi jenazah, dua akan pulang dan satu yang tinggal. Mengiringinya ahli keluarga, harta dan amalan. Ahli keluarga dan harta akan pulang dan yang tinggal hanyalah amalannya”
Persoalannya, apakah persediaan kita?
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Faqir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Mekah al-Mukarramah
3 Syawal 1432/2 September 2011 jam 11.00 malam
No comments:
Post a Comment