Antara program dakwah yang saya suka terlibat adalah dakwah lapangan ataupun dakwah medan iaitu program dakwah yang terjun terus pada masyarakat dan bukan di masjid atau di surau.
Orang di masjid atau di surau biasanya orang yang dah baik dan sebab itu mereka telah sampai ke rumah Allah ini, tapi orang yang belum pergi ke surau, tidak boleh dilupakan.
Dulu, saya suka membantu sahabat-sahabat dari TV3 mengisi kuliah di tapak “Jom Heboh”. Suasananya sangat berbeza dengan di masjid. Ramai orang lalu lalang dan kadang kala hanya melihat dengan sebelah mata sahaja ketika kita menyampaikan kuliah.
Pada mereka..
“Apalah ustaz ni, tak reti ke Jom Heboh tempat orang nak tengok itu dan ini, ni sibuk nak ceramah pulak dah….”
Tapi saya melihat, ramai juga yang duduk untuk mendengar. Maksudnya, kalau kita anjurkan benda baik, pasti akan ada yang mendatanginya, masalah sekarang, benda baik jarang dianjurkan, yang banyak benda buruk…
Saya memang mengimpikan untuk selalu membuat dakwah lapangan seperti ini.
Sabtu 2 Julai 2011 jam 9.30 malam…
Alhamdulillah, barang kali sedikit niat ini dilihat… Hasil beberapa kali perbincangan dengan pihak MBSA (Majlis Bandaran Shah Alam) akhirnya, pihak MBSA setuju untuk bekerjasama di dalam menganjurkan dakwah lapangan ini.
Tempat yang dipilih ialah dataran Shah Alam, tempat anak-anak muda melepak dengan pasangan-pasangan mereka.
Jam 5.00 petang lagi, MBSA sudah sibuk menyiapkan persediaan khemah dan juga pembesar suara. Saya digandingkan dengan sahabat saya Norhelmee.
Kami membincangkan tajuk yang disukai remaja iaitu “Cinta” Norhelmee menjadi pengacara malam ini. Dia turun ke tangga-tangga berhampiran untuk menemuramah siapa yang ada mengenai cinta. Kemudian saya akan mengulasnya dari sudut Islam.
Program yang berjalan dua jam ini sangat santai dan perbincangan dua hala antara kami dan yang mendengar dibuat dengan mesra sekali.
Malam ini saya sangat bersyukur pada Allah. Program ini dapat menarik anak-anak muda untuk menyertainya. Mereka juga seronok dengan kuiz-kuiz cinta yang dibuat. Tapi persoalannya berkisar tentang percintaan mengikut Islam.
Syabas dan tahniah pada MBSA, semoga program seperti ini akan dapat dijadikan jadual bulanan bagi mendekatkan golongan muda dengan Islam.
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
al-faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
4 Syaban 1432/ 6 Julai 2011 jam 12.30 tengah malam
Persediaan dari petang dakwah lapangan ini
Norhelmee menjadi pengacara yang mendatangi pengunjung
antara yang datang
perbincangan mengenai cinta
Semoga akan dapat selalu dianjurkan, syabas dan tahniah MBSA yang mahu menganjurkan program seperti ini…
2 comments:
assalamualaikum wbt..ustaz, semoga ustaz dirahmati Allah s.w.t atas usaha2 menyambung dakwah nabi Muhammad s.a.w..
saya ada satu soalan, dakwah lapangan ni selalunya dilakukan oleh golongan ustaz2 atau yg memiliki ilmu dlm bdang2 yg berkaitan dgn agama, soalan saya bolehkah jika orang 'biasa' spt para student yg tiada pngtahuan yg mndlm dlm bdang agama mnjlankan dakwah lapangan ni?apakah implikasinya? dan sekiranya ingin dijalankan, bolehkah ustaz berkongsi sedkit ilmu buat panduan supaya org2 yg 'biasa' ni juga mampu berdakwah amal makruf nahi mungkar sedikit sebanyak..semoga kita semua dapat menghidupkan sunnah Rasullullah s.a.w; Sabda Baginda yang bermaksud:“Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat.” Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi..
syukran jazilan ustaz..asslamualaikum wbt..
Saya sgt berharap.. ada kalangan ustaz yang turun padang ke kawasan rekreasi KLCC.. saya lihat disitu jika hari minggu sangat banyak remaja yang lepas laku.. dan tidak segan silu.. membuat maksiat.. saya setuju jika ustaz turun padang begini.. kerana orang biasa seperti saya.. belum cukup kuat untuk berdakwah.. golongan sasar ini.. tq
Post a Comment