Saturday, January 31, 2009

Jom Kongsi Pengalaman 27 - Taif

Hari ini saya akan ke Madinah. Sebelum ke Madinah mari kita berkongsi pengalaman dan gambar mengenai Taif. Taif merupakan satu bandar di tanah tinggai yang kira-kira 60 KM dari Mekah. Udaranya nyaman dan banyak buah-buahan ditanam di sini. Perjalanan ke Taif dimulakan dengan melawat Istana Shubra. Istana Shubra ini telah dibina di zaman Utmaniyyah di atas arahan Sharif Ali Pasha pada tahun 1323 Hijrah. Ia terletak di luar kota Taif lama di bahagian Timur Laut. Ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan Keunikan istana ini ialah ia menggabungkan seni bina Islam dan Rom. Bangunannya dari batu tepi ukiran silingnya dibuat dari kayu. Bahan binaannya di ambil dari Turki dan Itali.
Istana ini dibuat di sini kerana lokasinya yang amat strategik, Terdapat banyak taman di sekitar Taif ini dan banyak mata air disekitarnya. Ia menjadikan bumi ini sesuai untuk tempat pertanian.
Istana Shubra ini berbentuk segi empat. Di bahgaian utara ada bab al-Hazam. Sultan Waheeduddin Mohammad tinggal di istana ini setelah dia dilucutkan jawatan Sultannya ketika Hejaz ditawan oleh Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman al-Saud. Dia tinggal di sini pada musim panas.

Setelah itu, menteri pertahnan pertama Saudi, Putera Mishal bin Abdul Aziz telah menjadikan kota ini sebagai kota tentera. Dia telah menggunakan istana ini sebagai pejabatnya. Ia digunakan hinggalah tahun 1402 hijrah. Kemudian, setelah pejabat tentera dipindahkan ke tempat lain, ia telah menjadi muzium. Banyak gambar-gambar lama kota Mekah dan Madinah terdapat di dalam bangunan ini.
Dalam perjalanan balik, kami singgah di kawasan ternakan unta. Unta-unta ini jinak-jinak belaka.
Kami menikmati susu unta. Ia fresh, diperah dari unta dan terus dihidangkan kepada kami. Cara minumnya ialah terus sekali gus. Kalau tidak, rasanya tak tertelan.
Tempat miqat bagi penduduk Taif ialah di Qarn al-Manazil. Miqat ini juga ialah tempat miqat bagi penduduk Malaysia yang datang dari tanahair ketika hendak menunaikan haji. Ia lebih kurang sejam sebelum sampai ke Jeddah menaiki kapal terbang.
Semoga sedikit pengalaman ini bermanfaat untuk kita semua.

Friday, January 30, 2009

Universiti Kehidupan 27- Islamnya Bumi Taif

Hebatnya sesuatu perjuanga bukan dengan keadaanya
hebatnya sesuatu perjuangan ialah apabila ia terus bersambung
-al fakir Ila Rabbihi Muhamad Abdullah-
Kita selalu mendengar cerita Taif dengan kisah Nabi dihalau dan dibaling dengan batu di bumi Taif ini. Tetapi kita jarang mendengar kisah bagaimana perancangan Nabi mengIslamkan bumi Taif. Kesempatan kali ini, kita akan membincangkan mengenai kisah Islamnya bumi Taif. Mari kita mulakan dengan kisah dakwah Nabi ke Taif ini.

Pada tahun ke sepuluh kenabian, iaitu 3 tahun sebelum hijrah, Nabi saw menghadapi satu tentangan yang luar biasa hebatnya. Kaum Quraish memulaukan baginda. Dalam keadaan yang penuh tekanan ini, Nabi bersama Saidina Zaid Harithah telah memilih bandar tinggi Taif untuk medan dakwahnya.

Sesampainya di Taif, Nabi bertemu dengan tiga orang ketua Bani Thaqif iaitu suku Arab terbesar di Taif. Salah seorang dari mereka tidak mahu campur urusan dakwah ini.
Dia mengatakan, "jika engkau pendusta, aku tidak mahu layan pembohongan ini, tetapi jika kamu benar-benar Nabi, aku tidak mahu dilaknat".

Dua orang lagi berhujjah dengan Nabi. Mereka yang memang dari awal menolak dakwah ini terus menghina-hina dan memperbodohkan Nabi yang mulia ini. Akhirnya mereka berdua menghalau Nabi. "Keluar kamu dari negeri kami ini".

Mereka mengheret Nabi keluar dari Bustan as-Thaqif (taman Thaqif). Penduduk yang sejak awal berkumpul di sekeliling Nabi menolak-nolak Nabi. Anak-anak muda yang lebih agresif membaling nabi dengan batu. Batu-batu itu melukai kepala, badan dan kaki Baginda. Saidina Zaid menjerit-jerit menahan batu yang dilemparkan kepada mereka. Nabi yang cedera meninggalkan Bustan at-Thaqif. Ketika menuruni curam bukit, batu masih lagi menghujani mereka berdua.
Setelah jauh, Nabi bersandar di satu batu, baginda memegang badan Zaid, bertanyakan khabar keadaan Zaid. Zaid yang juga cedera lebih membimbangkan keadaan Nabi.

Darah mengalir dari badan Nabi. Ketika itu Nabi mengangkat tangan dan berdoa mengadu keadaanya pada Allah. Saidina Zaid r.a menceritakan bahawa dia melihat Nabi dengan keadaan yang sangat sedih.

Pada ketika itu, datanglah Malaikat kepada Nabi seraya berkata:-

"Wahai Muhammad, mintalah pada tuhanmu keizinan untuk aku mengambil bukit-bukit di Taif bagi menghempap mereka".

Nabi mengangkatkan tangannya sekali lagi. Baginda berdoa, tapi bukan berdoa untuk kehancuran penduduk Taif tetapi kebaikan untuk mereka

"Ya Allah, hidayahkanlah kaumku ini, sesungguhnya mereka tidak mengetahui".

Ketika berada di tempat itu, seorang Nasrani melintasi mereka. Nasrani ini sangat simpati dengan keadaan Nabi. Dia lalu singgah, mengambilkan air dan bertanyakan khabar mereka berdua. Peluang ini diambil oleh Nabi untuk menerangkan risalah Islam. Akhirnya, orang Nasrani ini memeluk Islam. Dialah satu-satunya orang yang berjaya diIslamkan oleh Nabi ketika di Taif.

Islamnya Nasrani ini memberi inspirasi kepada Nabi untuk mengIslamkan bumi Taif. Perancangan mengIslamkan Taif dan Mekah disusun dan dirancang oleh Nabi.

Sejarah menyaksikan Nabi berjaya mengIslamkan kota Mekah. Bandar Taif terus menjadi medan dakwah seterusnya. Nabi telah mengutuskan seorang sahabat bernama Abdullah Ibn Abbas ke Taif. Beliau berusaha bersungguh-sungguh berdakwah dan mendidik masyarakat Taif. Akhirnya, bumi Taif berjaya di Islamkan oleh Abdullah bin Abbas. Usaha mengIslamkan bumi Taif berjaya dilaksanakan 12 tahun setelah peristiwa penghalauan Nabi dari bumi ini. Abdulllah bin Abbas terus duduk di sini hinggalah kewafatannya.

Peristiwa Islamnya bumi Taif ini menyuntik semangat perjuangan kepada kita. Semangat tidak kenal putus asa menyebabkan Islam tersebar ke seluruh dunia.

Kita sebagai generasi Islam masa kita hendaklah memperjuangkan Islam dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Kalau orang terdahlu berjaya menyebarkan Islam ke seluruh dunia, kita perlu mencontohi mereka agar Islam itu tetap tersebar dan terjaga. Kita akan gemilangkan Islam di dalam semua lapangan seperti mana yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu.
Semoga, saya dan pembaca sekelian terus meningkatkan diri untuk menyambut amanah perjuanga Islam di akhir zaman ini. Ini kerana, terdapat berita gembira untuk umat akhir zaman bahawa, Islam pasti akan gemilang kembali.
Taif satu Bandar yang terletak kurang lebih 60 KM dari Mekah. Ia merupakan satu kawasan bukit. Dari atas bukit Taif, kita boleh melihat Bandar Mekah. Pada ketika ini, jalan pintas ke Mekah ditutup. Kita terpaksa melalui jalan lain sejauh 140 KM untuk sampai ke Taif.
Hawa di sini dingin ibarat Camaron Highland di Malaysia. Bukit ini menjadi saksi peritnya Nabi berdakwah di bumi ini. Malaikat pernah meminta izin untuk mengambil salah satu bukit ini untuk dihempapkan kepada penduduk Taif.
Tempat Nabi berhenti bermunajat di dirikan sebuah masjid. Ia diberi nama Masjid Kuu', bermaksud masjid siku. Ia mengambil sempena dengan keadaan Nabi berteleku dengan sikunya dalam keadaan luka-luka.
Masjid ini sudah tidak digunakan lagi. Ia bagi mengelakkan orang yang datang memuja-muja tempat ini. Ia dipagar. Kerajaan Arab Saudi cuba mengatakan bahawa tempat ini bukan tempatnya Nabi berteleku, tetapi penduduk Taif mengatakan bahawa inilah tempatnya lantaran tempat inilah merupakan kawasan yang tidak jauh dari Bustan as-Thaqif tempat Nabi bertemu dengan pembesar kaum.
Ini ialah kubur Sahabat Abdullah bin al-Abbas r.a, utusan dakwah Nabi bagi penduduk Taif. Beliau terus duduk di sini membimbing penduduk Taif hinggalah kewafatannya.
Ini adalah Masjid Abdullah Ibn Abbas. Makamnya tidak jauh dari masjid ini.

Semoga kisah ini menyuntik semangat untuk kita terus memperjuangkan Islam, amin..

Thursday, January 29, 2009

Univerisiti Kehidupan 26 – Makhluk Lain Dari Madain Saleh

Semua jemaah Malaysia yang ada di kota Mekah dan Madinah ketika ini datang dengan menggunakan visa pelancong. Ini kerana visa umrah belum dibuka lagi untuk umum. Oleh kerana visa yang dipakai oleh jemaah ialah visa pelancong, agen biasanya akan membawa para jemaah ke Madain Saleh.

Madain Saleh ialah bandar kaum Thamud. Pada kaum ini diutuskan seorang yang sebangsa mereka iaitu Nabi Saleh.

Di antara kelebihan kaum Thamud ini ialah ilmu mereka di dalam pembinaan rumah. Mereka menebuk bukit-bukit menjadi rumah mereka. Di dalam al-Quran Allah menyatakan :-

Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah (Surah al-Fajr ayat 9)

Kaum Thamud mendustakan Nabi Salleh. Mereka menyakiti Nabi Salleh. Lebih malang lagi mereka menyembelih unta mukjizat Nabi Salleh. Allah menyatakan di dalam al-Quran:-

Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah),
(As-Syams ayat 14)

Seluruh bangsa ini dihapuskan Allah. Azab yang dikenakan kepada mereka adalah azab yang belum pernah berlaku sebelumnya. Al-Quran menceritakan tentang azab ini di dalam ayat :-

Dan adapun kaum Tsamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) daripada petunjuk, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan. (Surah Fussilat ayat 17).

Di dalam ayat yang lain, Allah menyatakan bahawa:-

Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa
(Surah al-Haaqah ayat 5)

Setelah kaum ini dibinasakan, maka datanglah kaum Anbat (Nabatean) menduduki rumah-rumah mereka.

Mada’in Saleh terdiri dari tiga bahagian utama iaitu: Pertama untuk tinggal, kedua untuk sembahan dan ketiga untuk pengkebumian.

Tiga puluh empat dari makam diukir dengan tulisan dan tiga puluh satu pula diberi tarikh yang jelas. Tarikh kesemua makam tersebut, kecuali satu, jatuh di antara 1 Sebelum Masehi dan 75 Sesudah Masehi.

Satu yang menghairankan, ada makam yang dibina separuh siap. Ia berlaku pada selepas tahun 75 Masehi. Penghentian pembinaan makam yang tiba-tiba merupakan suatu misteri. Beberapa makam ditinggalkan dalam keadaan separuh siap seolah-olah ada sesuatu yang berlaku dengan mengejut.

Jemaah Malaysia yang datang ke sini kadang kala tidak di maklumkan tujuan kita menziarahi tempat laknat seperti ini. Ia perlulah dengan rasa taqwa dan hati yang ingin mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku.

Kebanyakkan mereka datang dengan suka-suka dan bergelak ketawa sedangkan tempat ini tempat laknat yang lama ditinggalkan. Sudah tentu banyak makhluk selain manusia yang tinggal di sini.

Ketika saya di sini terjadi beberapa peristiwa setelah jemaah pulang dari Madain Saleh. Beberapa jemaah saya, ada di antara mereka yang lebam-lebam di badan seolah-olah digigit sesuatu.

Ada seorang jemaah dari pakej Andalusia yang kerasukkan setelah balik dari Madain Saleh. Kerasukkan ini berlaku ketika hotel Aber Garden di Mekah. Ketika hari akhir di Mekah, wanita yang kerasukan ini tiba-tiba menjerit, mengamuk dan meracau. Dia cukup marah dan mengeluarkan kata-kata, “kamu semua bergelak ketawa ye. Orang di bawah tu tengah kena seksa kamu tahu tak?". Dia menceritakan penyeksaan yang telah dilihatnya di Madain Saleh. Sewaktu kejadian Ustaz Meor dan Haji Arshad rakyat Malaysia yang duduk di sini membantu menguruskan dan mengubat jemaah ini. Setelah dibacakan sesuatu dan dipujuk akhirnya, wanita ini bersetuju untuk pergi ke airport.

Sampai di airport berlaku beberapa kejadian sehingga dia tidak dibenarkan terbang di atas sebab keselamatan. Hingga tulisan ini dibuat, wanita ini masih lagi berada di sini. Semoga Allah menyembuhkan wanita ini dengan rahmatnya. Kita doakan bersama kebaikan kita dan dia. Amin..

Sebenarnya, ketika kita menziarahi tempat seperti ini, kita perlu istigfar, berzikir meminta perlindungan dari Allah. Iktibar yang perlu kita ambil ialah mereka yang hebat teknologi pada ketika itu pun boleh dihancurkan oleh Allah.

Kaum yang pernah dilaknat, tetap menjadi iktibar kita hingga hari kiamat. Cuma , menziarahi tempat mereka bukan untuk suka-suka dan bergembira. Kita perlu merenung dan mengambil iktibar darinya.

Pergantungan pada Allah menyebabkan Allah akan menjaga kita dari segala kejahatan jin dan syaitan yang ada. Lebih-lebih lagi, pegantungan kepada Allah, menjadikan kita diselamatkan dari perkara yang lebih besar lagi iaitu sengsara di akhirat.

Sekadar renungan kita bersama. Mungkin ada di antara kita yang sukar menerima cerita ini kerana di luar logik akal, tetapi, kita terpaksa akur bahawa, banyak hakikat kehidupan ini dibantu dengan wahyu kerana akal tidak mampu menghurai segala-galanya.

Jom Kongsi Pengalaman 26 – (Masjidil Haram 4)

Alhamduillah, kita berkongsi lagi gambar Masjidil Haram. Bagi yang dah pergi semoga mengimbau kembali kenangan lama dan bagi yang belum pergi semoga terpanggil untuk menjadi tetamu Allah
Suasana seolah-olah berrehlah di hadapan Kaabah al-Musyarrafah.
Para petugas pembersih di Masjidil Haram.
Barisan tong air zam-zam di dalam Masjid. Yang putih tu cawan plastik
Mereka menuangkan air sabun untuk membasuh dan mewangikan Masjidil Haram.
Kemudian datang satu kumpulan lagi dengan menaiki kereta mini menyedut air sabun ini dan mengelapnya
Seorang sedang berdoa sebelum memulakan ibadah umrah
Suasana di dalam Masjidil Haram.
Kalau di Malaysia, kita melihat gadis remaja melepak di kompleks membeli belah, di sini mereka beriktikaf di Masjidil Haram.
Para pekerja Masjidil Haram menjamu selera selepas penat bekerja
Sesetengah orang menyedekahkan makanan yang special kepada mereka.
Para tetamu Allah yang berehat di serambi Masjidil Haram setelah penat menyempurnakan ibadah umrah.
Mereka berehat bersama anak-anak kecil yang juga menunaikan umrah.
Para tetamu Allah yang berehat di serambi Masjid. Mereka menggantung pakaian mereka di pagar-pagar tandas.
Kedai gunting rambut yang dibuka sepanjang hari. Hanya tutup ketika waktu sembahyang.
Adik kecil dengan puting dan bantal busuknya,bertawaf sunat dengan keluarga.
Pintu Malik Abdul Aziz, antara pintu yang dekat dengan Kaabah.
Perempuan di kanan gambar, munajat seorang hamba.

Sekian untuk kali ini. Semoga bertambah pengalaman kita mengenai Masjidil Haram ini.

Universiti Kehidupan 25 – Persaudaraan di Mekah.

Rabu 28 Januari 2009, saya bersama ahli jemaah ke Jeddah untuk melawat sekitar. Setelah balik lebih kurang pukul 9.30 malam, saya dan beberapa orang dijemput menghadiri perhimpunan Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPM Mekah). Perhimpunan ini di adakan di Muzdalifah.

Muzdalifah yang hanya sesak pada musim haji menjadi medan anak-anak muda Arab bermain motosikal bertayar empat. Tak kira yang lelaki mahupun perempuan. Mungkin bolehlah dikatakan sebagai Mat Rempet kota Mekah. Bezanya, Mat Rempet Malaysia bermain di jalan raya yang sudah tentu membahayakan orang lain. Mereka di sini bermain di tanah lapang yang jauh dari orang awam.

Perhimpunan malam ini dihadiri oleh pelajar-pelajar Universiti Ummul Qura, pekerja dari syarikat Nokia dan sebagainya. Pada setiap hari rabu malam khamis mereka memang mengadakan usrah. Pada malam ini, majlis usrah agak special kerana mereka meraikan hari jadi salah seorang sahabat di sini dan kenduri meraikan sahabat-sahabat yang akan balik ke Malaysia.

Tautan ukhwah anak-anak Melayu di perantauan memang lebih rampat kerana bilangan mereka yang tidak ramai.

Malam ini mereka masak satey, nasi Mandey (seolah beryani gam) dan ada kek kesyukuran sempena hari jadi.

Selepas makan, majlis dimulakan dengan sesi taaruf dari semua yang hadir kecuali pihak muslimah. Kemudian, ia diisi dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh sahabat saya Ustaz Ahmad Dasuki.

Di dalam majlis ini, ramai juga sahabat-sahabat lama yang saya kenali. Tak sangka,, dahulu berkumpul di bangku sekolah, sekarang berkumpul di Muzdalifah. InsyaAllah, satu hari nanti akan berkumpul di dewan-dewan Parlimen,seminar-seminar antarabangsa dan sebagainya.

Inilah Mekah, tempat berhimpunnya semua bangsa Muslim. Satu keluarga besar yang dibina oleh Nabi saw.

Dalam konteks yang lebih luas, semua orang Islam berkumpul di sini walau siapa pun dia dan apa keadaannya. Pertemuan di Mekah ini mempertautkan kasih sayang di kalangan umat Islam dan menyuntik kesedaran bahawa kita adalah satu bangsa besar iaitu muslim.

Apabila kita mengucapakan syahadah yang sama, kita bertanggung jawab menjaga enam perkara,

1. menjaga agama, iaitu agama diri kita dan orang lain, sebab itu di dalam agama ada konsep amar makruf nahi mungkar.

2. menjaga harta, samaada harta kita atau orang lain. kita tidak dibenarkan mengambil hak orang lain tanpa izin.

3. menjaga akal, dilarang kita merosakkan akal kita dengan kemabukan dan kejahilan, begitu juga kita dilarang menjadi agen kerosakan akal orang lain.

4. menjaga maruah, dilarang kita mengambil maruah orang lain seperti mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Kita juga disuruh menjaga maruah diri kita.

5. menjaga nasab, dilarang kita berzina dan menghampirinya. Malahan setiap ahli keluarga wajib menjaga ahli keluarga yang lain.

6. menjaga nyawa. Dilarang kita membunuh jiwa dan juga membunuh diri.

Keenam-enam ini wajib kita jaga untuk keselamatan di dunia dan di akhirat. Jika semua muslim menjaga keenam-enam ini, maka dia akan selamat dan juga menyelamatkan orang lain. Dia akan terbela dan membela orang lain. Dia akan bahagia dan membahagiakan orang lain.

Semoga kita akan sentiasa menjaga diri kita dan orang disekeliling kita selaras dengan kehendak Allah. Sesungguhnya, sesiapa yang menjaga hak Allah, maka Allah akan menjaga haknya.
Pertemuan di Muzdalifah dengan Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPM Mekah). Mereka masak nasi kambing dan satey.
Bersama sahabat lama, Hj Meor Abdullah dan anaknya Putri Afifah. Beliau boleh membantu jika kita inginkan air zam-zam dan juga barang-barang dari Mekah. Bolehlah hubungi beliau di +966 507657252
Sebelah kiri gambar berjubah coklat ialah sahabat saya Hj Mohd Arshad. Beliau menguruskan hal ehwal hotel di Mekah ini. Jika ingin menghubungi beliau 00966569854179.
Kenangan bersama warga Melayu di Mekah.
Muzdalifah menjadi lapangan pemuda Mekah bermain motosikal empat roda.
Warga Melayu yang hadir pada malam ini
Terdapat juga kereta kuda.

Semoga, tautan ukhwah akan terus subur di kala masyarakat di Malaysia ternanti-nanti kesatuan keluarga besar Muslim ini.

Wednesday, January 28, 2009

Universiti Kehidupan 24 - Di Mekah Juga Perlukan Hidayah

Hari ini orang Melayu di Mekah digemparkan dengan kehadiran satu rombongan dari Setapak Kuala Lumpur. Rombongan ini dipimpin oleh seorang wanita yang mereka gelar sebagai ustaz. Dari Madinah lagi mereka sudah menunjukkan sikap yang aneh dengan menuduh orang yang berada di Masjid Nabawi menyembah dan mengagungkan Nabi. Akhirnya, mereka tidak ke mana-mana sekalipun Masjid Nabawi.

Mereka mendesak agen Umrah untuk terus ke Mekah. Agen yang sudah mula pening pun menguruskan perjalanan mereka ke Mekah. Lebih memeranjatkan, ketika sampai di Bir Ali, tempat semua jemaah berniat untuk melakukan umrah, mereka tidak berbuat demikian. Akhirnya, mereka semua masuk ke Mekah tanpa membuat Umrah.

Pada mulanya mereka semua duduk satu hotel dengan saya iaitu di Rawabi al-Bustan, tetapi mereka menguruskan sendiri hotel dan berpindah ke Darul Tauhid.

Ustaz mereka (perempuan) menyalahkan jemaah-jemaah yang ada dengan mengatakan semua salah, syirik dan sebagainya. Mereka mengatakan orang tidak menyembah Allah dan berbuat syirik pada Allah.Mereka sahaja yang betul dan orang lain salah.

Inilah dunia, semua orang akan mendakwa merekalah yang betul dan orang lain salah. Nabi saw menyatakan, di antara kelebihan ummat ini (ummat Muhammad) ialah sanad (salsilah belajar).

Jika seseorang itu menyatakan dia sahaja betul, selain lihat melalui kaca mata al-Quran dan hadith, kita boleh minta sanadnya. Mana salsilah belajarnya. Ini kerana, orang macam ni kebanyakkannya dia reka-reka sendiri agama dengan logik akalnya.

Sebab itulah belajar itu penting, berguru itu penting dan minta Allah pimpin itu penting, belajar tanpa guru boleh sesat. Berguru tanpa tahu asal usul guru juga boleh sesat.
Semoga kita semua di dalam lindungan Allah, semoga niat kita untuk menjadi orang yang baik diperbaiki oleh Allah.

Monday, January 26, 2009

Jom Kongsi Pengalaman 25 (Masjidil Haram 3)

Kita kongsikan lagi pengalaman di Mekah ini.

Gelagat seorang pekerja yang sedang membersihkan tiang Masjidil Haram.

Pada waktu asar. Sedang jemaah menunaikan solat, tiba-tiba turun hujan yang sederhana lebatnya. Keadaan sebegini amat jarang berlaku di sini.

Habis solat, semua ahli jemaah yang ada di dalam masjid keluar memerhatikan hujan yang turun.

Mereka semua sibuk berdoa. Ini kerana di antara saat yang msutajab doa ialah ketika hujun turun.

Gambar kenangan di dalam Masjidil Haram ketika hujan.

Oleh kerana di Mekah jarang hujan, sistem pengairannya tidak dibangunkan dengan baik. Hujan renyai yang turun hampir sejam itu pun membuatkan lembah Mekah dilimpahi air di jalan.

Gambar ini ialah beberapa pekerja menyusun al-Quran yang diwakafkan oleh orang ramai pada Masjidil Haram.


Quran ini diletakkan disekitar Masjidil Haram.

Keadaan karpet yang baru dibasuh dan sedang diuruskan untuk diletakkan ditampatnya

Ada juga orang yang mewakafkan kerusi solat untuk orang tua.
Beberapa pekerja membawa hiasan siling Masjidil Haram. Seorang pekerja yang membersihkan dalam Masjidil Haram dengan menggunakan kereta pembersih Para pekerja sibuk meletakkan hiasan tiang untuk Masjidl Haram.
Sekain untuk kali ini, InsyaAllah kita berkongsi lagi pengalaman di sini.