Isnin 21 Febuari 2011 jam 10.00 pagi, ingin saya kongsikan perbahasan yang dibuat IKIM.fm.
Pagi ini, saya membincangkan mengenai hak-hak wanita sebelum berlakunya perkahwinan.
Hak Yang Pertama : Pertunangan
Pertunangan merupakan satu perjanjian untuk pernikahan.
Sebelum peminangan dijalankan, terdapat dua syarat yang perlu dipenuhi iaitu:-
(1) Perempuan tersebut tidak berada di dalam pinangan orang lain sebagaimana sabda Rasullullah SAW:-[1]
Tidak boleh seorang lelaki meminang di atas pinangan saudaranya sehinggalah orang yang meminang itu meninggalkan atau mengizinkan baginya
(2) Perempuan yang dipinang itu tidak terhalang oleh halangan-halangan syara’ yang menyebabkan tidak dapat dinikahi. Halangan-halangan tersebut antaranya:-
a) Perempuan tersebut telah bersuami
b) Perempuan tersebut haram dinikahi untuk sementara waktu atau selama- lamamya seperti saudara isteri atau perempuan yang mahram.
c) Perempuan tersebut berada di dalam tempoh iddah raj’ie yang mana suaminya masih lagi berhak untuk merujuk kembali. Sekiranya perempuan tersebut berada di dalam tempoh iddah talak ba’in, maka peminangan boleh dibuat hanya secara sindiran sahaja.
Hak Kedua : Mengetahui Kemungkiran Di Dalam Pertunangan
Ulama’ mazhab Syafie mengatakan sekiranya berlaku perlanggaran kepada perjanjian pertunangan, maka pihak yang menyebabkan pertunangan itu terputus hendaklah mengembalikan barangan pemberian itu sekiranya ia masih lagi baik dan jika telah rosak maka dikembalikan semula berdasarkan kepada nilai barang tersebut.
Hak Ketiga : Menetapkan Mahar
Mahar adalah pemberian yang wajib daripada lelaki kepada perempuan yang dikahwininya sama ada sebelum, sesudah atau pada waktu akad nikah dilakukan dan ia tidak dapat digantikan dengan pemberian yang lain. Kewajipan ini telah dinyatakan oleh Allah S.W.T yang berbunyi :-[2]
"Dan berikan kepada perempuan-perempuan isi mahar mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan sesuka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya."
Hak Ke Empat : Mengetahui Wali Dan Orang Yang Boleh Mengakad Nikahkan Perkahwinan
Mengetahui perihal wali ini penting kerana tiga sebab :-
- mengetahui orang yang layak menikahkan
- berkaitan dengan sah atau tidak sesuatu pernikahan
- mengetahui sebab-sebab yang menghalang wali untuk menikahkan
Hak kelima : Mengetahui Halangan Pernikahan
Mengetahui keadaan bakal suami penting untuk mengetahui halangan-halangan yang membuatkan seseorang lelaki itu terhalang untuk bernikah dengan seorang perempuan. Halangan pernikahan ada dua sebab iaitu :-
- Haram buat selamanya
i. sebab nasab
ii. sebab susuan
- Haram buat sementara
i. sebab perkahwinan
ii. sebab keadaan
iii. sebab agama
Sebab keadaan antaranya ialah :-
1. Wanita yang bersuami
2. Pernikahan dengan wanita yang dalam iddah sama ada atas sebab perceraian atau kematian suaminya.
3. Pernikahan dengan wanita yang hamil yang bukan anaknya sendiri.
4. Pernikahan dengan bekas isteri selepas gugur tiga talak.
5. Pernikahan waktu sedang melakukan ihram haji atau 'umrah.
InsyaAllah, sambungannya, kita akan bincangkan di dalam IKIM.fm pada hari Isnin 28 Febuari 2011 jam 10.00 pagi.
Dengan mengetahui hak, kita akan lebih menghormati diri kita dan menghormati orang lain. Yang penting ialah rasa untuk menunaikan tanggungjawab pada hal orang lain kerana ia adalah titah dari Allah swt.
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
20 Rabiul Awal 1432/ 23 Febuari 2011 jam 10.40 malam
[1] Hadith riwayat al-Bukhari
[2] Surah an-Nisa ayat 4
Kenangan bersama DJ Fairuz
No comments:
Post a Comment