Isnin 14 Febuari 2011 jam 7.00 petang, kalau ikut calendar Islam, malam ini adalah malam 12 Rabiul Awal, tarikh yang dinisbahkan dengan kelahiran Nabi SAW.
Biasanya, malam kebesaran Islam saya tidak akan menerima mana-mana jemputan, saya akan dahulukan dengan murid-murid saya dari anak Yatim dan tahfiz al-Ijabah dan juga murid serta staf dan guru dari Maahad Sains al-Quran al-Amin.
Malam ini selepas Maghrib, di rumah ibu saya di USJ 4 Subang Jaya, kami semua memenuhi ruangan rumah, lebih seratu orang murid bersama-sama mendirikan solat Maghrib. Selepas solat, kami terus berjamuan kerana ramai di antara yang hadir puasa sunat Isnin.
Jam 8.15 malam, kami bersama-sama memimpin selawat, satu amalan yang Allah minta kita buat seperti di dalam firmannya :-
Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya (Surah al-Ahzab ayat 56)
Secara peribadi, apa yang paling menggembirakan saya di dalam majlis seperti ini? Saya sangat terhibur melihat anak-anak kecil melaungkan selawat. Bagi kita yang telah dewasa, kita telah dapat berfikir yang mana baik dan yang mana buruk, tetapi bagi anak-anak di bawah umur, program seperti ini amat perlu untuk membiasakan mereka duduk di dalam lingkungan yang baik. Alhamdulillah, program dapat disempurnakan dengan baik.
Selasa 15 Febuari 2011, jam 5.30 pagi, saya membawa anak-anak Ijabah ke Surau at-Taqwa Seksyen 7 Shah Alam bagi menyertai forum Maulid Rasul bertajuk “Maulid vs Valentine Day’s” rakan forum saya ialah Ustaz Syed Norhisyam, mentor Imam Muda. Solat subuh di sini terus forum bermula.
“Ah…, satu forum yang sangat bagus untuk memahamkan terutamanya anak muda tentang bahayanya Valentine Day’s” kalau baca di dada akhbar, apa penghujung sambutan Valentine Day’s?
“Ya… penzinaan….” ini yang wajib diperangi, dan jika dengan menentang Valentine Day’s, kita dipanggil seperti kolot, satu penghormatan buat kita….
(Gambar : Jika dianjurkan sesuatu majlis, pasti ada sahaja orang yang memenuhinya, sebab itu memang kita perlu selalu menganjurkan majlis yang baik )
Tamat forum jam 10.30 pagi, sekali lagi saya bersama dengan anak-anak Ijabah dan tahfiz di dalam program bacaan Maulid Dibaie di asrama mereka di Puchong, beberapa jemputan juga datang memeriahkan lagi bacaan selawat ini. Bergema surau di asrama Ijabah dengan bacaan selawat dan semoga ia mendapat keberkata…
Tamat bersama anak Ijabah, selepas zohor, perjalanan Maulid diteruskan ke Melaka, lebih tepat lagi di Kampung Air Molek. Program yang bermula selepas Isyak membincangkan sejarah kehidupan Nabi dan secara peribadi, yang paling saya suka apabila melihat keterlibatan anak-anak kecil di dalam majlis seperti ini. Sudah terlalu banyak rancangan hiburan dan maksiat yang mendorong anak kecil terlompat-lompat melupakan Allah….
Dan satu yang menarik bagi orang kampung Air Molek, kawasan perkuburannya sangat bersih. Ditanya dan jawab ahli jawatan kuasa masjid,
“Kami tiap-tiap bulan ada gotong royong memberishkan kubur”
Sangat bagus kerana inilah bunglow kita di masa akan datang jika kita meningkatkan amalan, kalau sebaliknya, ia akan menjadi penjara buat kita…
Masjid Air Molek Melaka
Kenangan bersama AJK masjid
Tamat jam 12 malam, saya terus pulang ke Selangor kerana esok masih banyak program membesarkan Allah dan mengingati Nabi SAW.
16 Febuari 2011, jam 9.00 pagi saya berada di masjid bukit Jelutong dan kemudian ke jam 10.30 pagi di Yayasan Restu di dalam ceramah Multimedia mengingati Nabi SAW, tajuk pagi ini iktibar peperangan Uhud. Sebak mengingati peristiwa tubuh Nabi yang cedera dan 70 para syuhada yang dikhianati jenazah mereka oleh kafir Quraisy.
Sesiapa yang mahu mengikuti ceramah multimedia mengenai Nabi boleh datang ke Yayasan Restu jam 9.00 pagi pada hari Selasa 22 Febuari dan juga Rabu 2 Mac juga jam 9.00 pagi, kita akan menggembara dengan multimedia menghayati sirah junjungan SAW.
Jam 8.00 malam pula, Alhamdulillah, saya bersama dengan masyarakat di Kampung Sri Ceding Banting Selangor.
Apa yang menarik di masjid ini pula, sebelum ceramah, ia dimulakan dengan selawat beramai-ramai oleh penduduk yang diterajui oleh ahli kariah sendiri. Semua melaungkan selawat dan anak-anak kecil duduk di saf hadapan ketika ceramah. Dan pengerusi majlis, seorang yang sangat detail. Ucapan penutup pengerusi program..
“terima kasih diucapkan pada ustaz yang dapat memberikan ceramahnya selama 1 jam 21 minit”
Tersenyum sendiri saya, apa pun semoga kita terus dapat mencintai Nabi dan ajak sama-sama anak, isteri dan keluarga kita juga mencintai Nabi. Semoga kita semua dihujani dengan keberkatan.
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
14 Rabiul Awal 1432/ 17 Febuari 2011 jam 2.30 petang.
No comments:
Post a Comment