Monday, December 13, 2010

Universiti Kehidupan 178 – “Hobi Dan Dakwah Medan…”

10 Disember 2010, saya memerhatikan hutan Gunung Berlumut ini, dari suasana sepi telah bertukar kepada hiruk pikuk bunyi deruman 80 pacuan empat roda, bertanding di dalam jalan-jalan berlecak dan paya.

Ada yang tersangkut dan ada terpaksa ditunda.

Bagi saya dan krew TV9, kami menyiapkan episod program Usrah yang akan ditayangkan pada Januari 2011 ini.

Bagi peserta yang bertanding, mereka tidak menghiraukan keselamatan diri, dengan bermandi lumpur dan luka di sana-sini, semuanya menjadi kecil bagi mereka.

“Orang yang menyertai sukan 4x4 ustaz, semuanya orang kaya ni ustaz” kata Abang Othman, Presiden 4x4 Lipan Bara dari Kelantan.

“Mana tidaknya, masuk ni pun yurannya sudah 1000 USD seorang, lagi pun, lepas keluar dari hutan, kereta mesti kena baiki punya” kata Abang Othman lagi.

“Rain Forest Challenge ni pun, yang menang tidak dapat apa-apa duit, cuma dapat trofi sahaja” beliau menambah lagi.

“Dia orang masuk pun kadang kala nak tenangkan jiwa sebab sibuk business di luar sana” katanya lagi.

Hati saya berbisik….

“Hebatnya ciptaan Allah, dia menjadikan hobi ini sebagai salah satu cara untuk seseorang itu melepaskan rasa tekanan dalam hidup, sebab itu semua orang ada hobinya dan seseorang itu tidak akan rasa penat jika membuat sesuatu yang disukainya ini”.

Saya memerhatikan peserta, ada peserta yang membawa isteri dan anak, kalau suami penat membawa kenderaan, isteri pula akan memandu, anak-anak di belakang memberi sokongan.

Dengan hobi, kita dapat bertemu dengan orang lain, dapat membina persahabatan, kandag kala di luar batasan geografi, dan bagi yang membawa anak dan isterinya ke dalam hutan ini, hobi dapat lagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Saya melihat berbagai peringkat usia, ada dari hujung 20an hinggalah kepada lebih 60 an. Masing-masing berbual mengenai pengalaman masing-masing di dalam pertandingan ini.

Minat boleh menyatukan manusia. Ia boleh mengumpulkan orang yang mempunyai kesamaan terhadap sesuatu perkara itu.

Sebab itu, hobi juga boleh dijadikan salah satu cara untuk berdakwah. Kita akan bertemu dengan orang bukan Islam dan berbual dengan mereka, dan ketika telah mesra berbual, kita akan dapat berbual mengenai Islam.

Ada seorang wartawan berbagsa Cina, dia begitu berminat dengan rombongan krew TV9 yang membuat pengambaran program “Usrah” ini, paling kurang, kita berpeluang membertahunya mengenai program ini dan isinya dan secara tak langsung, dia juga akan dapat mendengar apa itu Islam.

Bagi peserta Islam, ramai yang berkumpul di sekeliling saya bertanyakan berbagai masalah agama. Kebanyakkan mereka orang kaya kurang masa ke masjid dan surau. Kebanyakkan pendakwah pula hanya beruang lingkup di masjid dan surau, jadi mereka tidak pernah berpeluang mendekati orang agama.

Saya juga terasa perlunya para pendakwah turun ke medan masyarakat, kerana memang ada golongan yang mahukan agama, tetapi agak malu nak ke masjid kerana rasa terlalu hina dan bersalah di atas kesalahan yang pernah mereka buat.

Sunan Kalijaga pernah mengumpulkan orang, turun ke tengah masyarkat berdakwah kepada masyarakat melalui persembahan wayang kulit yang amat diminati oleh masyarakat Jawa ketika itu.

“Kalimah Soddo” (Kalimah Syahadah) antara tajuk wayang kulit yang dibawa.

Begitulah indahnya Islam, ia datang kepada masyarakat dengan berbagai cara. dengan kesenian, pendidikan, gaya hidup dan sebagainya.

Matlamatnya adalah satu, iaitu untuk memperkenalkan Allah dan dan juga syariat Nabi saw agar semua manusia selamat di dunia dan di akhirat, juga menjadikan syariat itu hidup di tengah-tengah kehidupan manusia.

Banyak dapat dikongiskan dengan peserta di dalam hutan ini, ia seperti kuliah di masjid, soal jawab terutama isu-isu fiqh di dalam hutan, cara ibadah dan sebagainya.

Akhirnya, mereka dengan jujur berkata kepada saya:-

“Mula-mula dengar ada ustaz nak datang, kami rasa sangsi juga, takut ustaz ni asyik nak marah-marah dan kata, itu dan ini tak betul, penat juga kami”

“Kalau tak betul, tetap tak betul, cuma kita betulkan sama-sama, jom.. mari saya tunjukkan bintang kiblat di langit” kata saya ketika berbincang mengenai isu kiblat di dalam hutan.

Semua yang ada bergitu teruja dengan perkongsian ilmu mengenai bintang kiblat.

“Haaa, barulah tahu ye ustaz, Islam tu mudahkan…” kata mereka.

“Ya, Islam itu mudah, cuma kita perlu tahu sahaja ilmunya, tapi walaupun Islam itu mudah, ia bukan untuk dipermudahkan iaitu dianggap ringan” saya menambah.

Semua begitu gembira dengan kuliah dan soal jawab di dalam hutan ini.

“Inilah universiti kehidupan, pengajiannya sepanjang hayat dan di mana sahaja” kata saya.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hutan Tenee Johor

12 Disember 2010 jam 9.00 malam

***** di post dari The Zon Regency Hotel Johor Bharu 13 Dis 2010 jam 8.00 malam

IMG_3360

Kenderaan 4x4 ini berbagai jenisnya

IMG_3413

Kawasan perkhemahan peserta

IMG_3417

lumpur dan selut menjadi sebahagian kehidupan di sini

IMG_3427

Peserta dari berbagai negara

IMG_3433

Hutan ini menjadi bising dengan deruman 80 kenderaan 4x4 yang berbagai jenis

IMG_3431

Peserta dari China

IMG_3434

Peserta dari Eropah

IMG_3394

Kuliah dapat dibuat di mana-mana

IMG_3356

Asal ada kesempatan, kami menghabiskan masa dengan bersoal jawab

IMG_3416

Abang Ali, Jurugambar TV9

IMG_3440

Rombongan Rain Forest Challenge mulai keluar dari hutan Gunung Berlumut ke hutan Tenee di Tanjung Leman Johor

2 comments:

mama ju, said...

Ustaz

Bersyukur dapat menikmati keindahan.
Bertuahnya dpt tazkirah dr ustaz di alam belantara. Hehe ceritalah sikit pasal kiblat tu...adik saya mengemari sukan lasak ni....

sot said...

Hobi memberi kepuasan pada jasad
Merasai kehebatan ciptaan Allah
Di sana ada dakwah penyeru kebaikan
Walau di mana dan apa jua keadaan
Kembali kepada fitrah Pencipta alam.