Wednesday, December 29, 2010

al-Ijabah 81 – “Kenderaan Ini Sedang Diusahakan….”

Isnin 27 Disember 2010, hari ini merupakan hari yang agak sibuk, dari pagi hingga ke malam. Setelah habis rakaman bersama Chef Wan jam 12.30 tengah hari, saya terus ke Jalan Ipoh Kuala Lumpur untuk melihat kenderaan bagi anak yatim dan tahfiz al-Ijabah.

Bagi tahun 2011, seluruh anak perempuan al-Ijabah akan berpindah ke Puchong, ke mini kompleks yang telah siap. Masalahnya ialah, di sana bas besar tidak boleh masuk. Ia hanya boleh dilalui dengan kenderaan kecil.

Jadi, anak-anak Ijabah memang memerlukan van atau bas kecil untuk ke sekolah.

“Ustaz, mana nak dapat kewangan ni?” soalan biasa yang akan ditanya pada saya ketika menguruskan perkara seperti ini.

Dan jawapan yang biasa saya akan berikan:-

“Kalau Allah kehendaki kita mempunyai kemampuan, maka insyaAllah, kewangan itu akan ada” jawab saya.

Secara jujur, keperluan al-ijabah sekarang memang banyak dan saya pula sering ditegur oleh sahabat-sahabat yang bersama-sama membahu al-ijabah.

“Ustaz, kalau dalam ceramah tu, sebutlah sikit untuk orang menderma”

Tetapi, sejak dahulu lagi, setakat ini, saya memang tidak pandai menyebut untuk itu. Yang tahu, akan bersama, tetapi yang tidak tahu, saya tidak akan menyebut melainkan mereka dahulu bertanyakan mengenainya.

Saya melihat sebuah coaster yang mempunyai 21 tempat duduk. Sesuai untuk jalan kampung tempat asrama anak-anak perempuan ini.

Harganya, RM 93 000, itu pun dah sehabis tawar, harga asal RM 98 000. Duit mukanya RM 30 000.

“Mmmm, mana nak cari ni, entahlah...” bisik hati saya.

“Haa”, saya teringat, ada sedikit kewangan hasil program bersama MBSA yang baru sahaja mendapat bayaran, bersih dalam RM 10 000, saya memejamkan mata berfikir, meletakkan kedua jari telunjuk antara mata, menghela nafas panjang, menguatkan hati.

“Tak apalah, insyaAllah, rezki anak-anak ini bukan usaha kita, Allah yang akan beri” bisikan hati berbual sendiri.

“Oklah, tolong uruskan, saya bayar RM 10 000 sekarang, baki nanti saya usahakan” kata saya pada taukey syarikat menjual bas terpakai ini dengan yakin sambil menulis cek kepadanya.

Petang ini juga, beberapa dokumen telah ditanda tangani, apa pun, semoga semua perkara dipermudahkan oleh Allah. Kadang kala, kita tidak tahu bagaimana caranya, kita hanya perlu mengusahakannya semaksima yang kita boleh, bakinya… serahkan pada Allah dan Allah yang akan menyempurnakannya.

Semoga usaha ini terus dipermudahkan, mudah-mudahan menjadi amalan yang berkekalan, amin…

“Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

23 Muharram 1432/ 29 Disember 2010 jam 11.30 malam

IMG_4226

Depoh bas di Jalan Ipoh

IMG_4231

Coster yang dirancang untuk dibeli

IMG_4239

Semoga dipermudahkan Allah, amin….

2 comments:

Anonymous said...

Semoga Allah mempermudahankan usaha ustaz.

joefizi

PINATBATE said...

Insyaallah,Mudah-mudahan akan ada rezeki yg datang dari arah yg tidak disangka ..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...