Monday, December 13, 2010

Universiti Kehidupan 177 - “Wahai Allah Yang Memberi Keselamatan, Selamatkanlah Kami..”

“Ustaz bangun ustaz, ular… ular besar” kata Abg Ali, jurugambar TV 9.

Hari ini, Jumaat 10 Disember 2010, jam 4.00 petang, Kala itu saya baru melelapkan mata kerana keletihan menyiapkan satu episode program usrah.

Ular berwarna hijau itu sebesar suku lengan saya, nisbah bagi seekor ular, ia sudah agak besar.

Saya melompat bangun kerana ular itu hanya dua meter sahaja dari tempat saya, badannya hijau bersisik, ekornya berwarna coklat lurus kecil. Ia baru sahaja mematuk kaki Sidek Abdullah Majin, Penerbit Majalah Tiga.

Semua yang ada di sekeliling menjadi riuh, “ular..ular…”

“Pukul cepat, pukul cepat…” kata seorang dari yang berada di situ.

“Bunuh aje.., bahaya ni..” ada yang mencadangkan

Abang Ali terus megambil kayu dan beberapa kali kepada ular ini dipukul, ia terus melawan.

Akhirnya, ular ini menjadi lemah, tidak mati tetapi mematikan dirinya.

Ular ini diusung ke tepi sungai. Kaki Sidek Abdullah Majin mulai bengkak sedikit. Kami semua memeriksa ular ini, sekali sekala badanya digerakkan.

“Nak buat macam mana ni?” kata Abang Ali.

Ular ini dilempar ke tanah, dan sedikit demi sedikit mula bergerak kembali. Kemudian, datang polis-polis yang bersama rombongan Rain Forest Challenge ini, diambilnya cangkul dan diceraikan kepala sang Ular dari badan.

“Eiiiii….” ramai yang memalingkan muka tidak sanggup melihat hukuman mati bagi sang Ular.

Satu lubang dibuat untuk dijadikan tempat semadi ular hutan ini.

“Ustaz, kalau dia tak datang tempat kita dan tak serang, mungkin kita halau sahaja” kata salah seorang dari kami.

Memang benar perkataannya, Rasullullah sendiri pernah berpesan, kalau jin menyerupai ular sekalipun, dia tidak boleh berada di kalangan manusia, kalau dia berada juga, maka manusia boleh membunuhnya.

Sidek Abdullah Majin menggosok kakinya yang sedikit bengkak. Tidak terasa pening atau sakit. Ada tiga perkara rasanya, sama ada memang ular itu tidak berbisa, atau ular itu hanya gigit untuk menghalau, bukan untuk menyerang, atau abang Sidek Abdullah Majin ada ilmu pertahanannya sendiri.

Tak kisah apa pun, yang pasti, kuasa Allah menghendaki beliau selamat.

Beginilah di hutan, pada pagi berikutnya pula, kami dikejutkan dengan kala jengking besar yang merayau sekitar khemah.

“Dah memang tempat dia, kita datang, kita kena ambil resikolah…” kata saya.

Malam itu, Abang Sidek Abdullah Majin, meminta jarum peniti atau pemotong kuku, jarinya telah ditusuk dengan duri hutan. Dia berusaha mengeluarkan duri yang menyakitkan itu.

Abang Shahril Rani, jurugambar bagi program Majalah Tiga mengusik Abang Sidek..

“Hebat Sidek, apa ilmu dia pakai, kena patuk ular pun tak de apa-apa, tapi kita dah tahu dah kelemahan dia”

“Apa dia?”, kata Abang Sidek.

“Dia tak boleh kena duri, kena duri baru tembus..” kata Abang Shahril sambil tertawa kecil.

Beginilah keadaan dalam hutan, selain usaha yang kita maksimakan, hendaklah kita sentiasa memohon pada Allah agar Allah memberi perlindungan kepada kita. Ada satu hadis mengenai satu peristiwa. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:-

Satu ketika, datang seorang lelaki kepada Nabi saw, dan dia berkata, “Wahai Rasullullah, aku telah bertemu dengan seekor kala jengkin dan ia telah menyegatkku, maka Rasullullah saw bersabda, jika engkau membaca ayat ini, maka ia tidak akan dapat memudharatkanmu :-

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya : Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan apa yang telah dia ciptakan.

(Hadis riwayat Muslim di dalam kitab al-Zikr, Wa al-Dua wa al-Taubah Wa al-Istighfar)

Inilah di antara amalan yang diwariskan kepada kita dari Nabi SAW, semoga kita akan terus di selamatkan Allah dari kemudharatan di mana sahaja kita berada, amin…


“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”


al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hutan Gunung Berlumut Johor

11 Disember 2010 jam 7.00 pagi

*** di post dari The Zon Regency Hotel Johor Bharu 13 Dis 2010 jam 6.35 petang

IMG_3356

Baru saya faham, kenapa bentuk khemah tentera atau pengembara hutan kebanyakkannya adalah menggunakan katil. Ia untuk mengelakkan binatang merayap menyelinap masuk ke khemah

IMG_3361

Saya dikejutkan dengan jeritan “Ustaz, ular besar” tempat baring saya hanya dua meter dari ular itu berada.

IMG_3362

Bagi badan seekor ular, sebenar suku dari lengan itu sudah dikira besar

IMG_3368

Mulut ular ini, kami menunjukkan gambar ini kepada pegawai perubatan yang bersama kami, dan dia pun tidak dapat mengenal pasti jenis ular ini.

IMG_3375

Ia sudah berada di kalangan manusia dan membahayakan

IMG_3410

Kala jengking yang di sekitar kami

IMG_3420

Abang Sidek Abdullah Majin, penerbit Majalah Tiga TV3

3 comments:

Irdina said...

Alhamdulillah kerana semuanya selamat.

hanie said...

terima kasih utk perkongsian doa dari ustaz...saya kerap membacanya bahkan menghafalnya dalam amalan doa2 matsurat tapi tak tau antara fadhilatnya pula...terima kasih sekali lagi.

amnikhassim said...

macam ulaq daun saja? insya ALLAH tak kuat bisa tu