Tuesday, November 23, 2010

Diari 258 – Perjalanan Cambodia - Vietnam

19 November 2010, pagi ini kami telah berada di kota Phnom Penh.Kami melawat sekitar kota Phnom Penh dan destinasi akhir ialah Central Market.

Petang ini, jam 2.45 petang, kami mula bergerak menuju ke Ho Chi Minh City Vietnam. Kota ini sebelumnya dikenali sebagai nama kota Saigon dan pada 1 May 1975,ini telah ditukar kepada Ho Chi Minh City mengambil sempena nama tokoh revolusi dan negarawan Vietnam.

Perjalanan ke Vietnam ini ditemankan oleh sahabat saya Faizin, warganegara Cambodia yang pernah belajar di Malaysia. Kami ke Vietnam untuk menyempurnakan beberapa bahagian aqiqah yang akan dibuat bersama saudara seIslam kita di Vietnam ini.

Jam 4.00 petang, bas kami melintasi sungai Mekong yang luas dengan menaiki feri besar. Air sungai Mekong di sini tidak beberapa bersih dan arusnya agak laju, mungkin disebabkan aliran air dari hulunya yang bertambah kerana hujan yang kerap turun di Cambodia.

Dalam 10 minit, kami semua telah selamat melintas, terlintas juga di dalam benak ini akan bahayanya keadaan ini tanpa jaket keselamatan diberikan.

Kita selalu mendengar kes feri berlanggar dan banyak orang terkorban, saya dapat bayangkan kini jika kita memang hanya berada di dalam bas dengan pintu tertutup, tiba-tiba perkara sebegini berlaku, jika tanpa bantuan Allah as-Salam, Allah yang maha memberi keselamatan, sudah tentu tiada yang dapat menghindarinya.

Jam 5.15 petang, keadaan di Cambodia ini telah gelap, siang telah melabuhkan tirainya dan hujan turun membasahi jalan. Di luar, kami hanya dapat menatap pandangan sawah padi yang baru sahaja di tanam. Di dalam bas, pemandu menayangkan VCD cerita Tom Rider, tetapi semuanya telah dialih bahasa di dalam bahasa Khmer.

Jam 6.30 petang, kami sampai di sempadan Cambodia- Vietnam, dan jam 7.15 semua urusan kedua-dua imigresen telah selesai dengan tanpa apa-apa masalah.

Di hujung perjalanan, saya sudah agak letih, walaupun mata cuba ditahan, tetapi keletihan mengatasi semangat berjaga. Saya meletakkan kepala ke kerusi bas yang sudah terkopek kulitnya.

Saya hanya sedar ketika bas betul-betul berhenti di district 1 Ho Chi Minh City. Saya membelek jam di tangan,

“Hmmm, dah pukul 10 dah..” bisik hati saya yang melihat jam yang telah diselaraskan dengan waktu di Vietnam, ia berbeza sejam dengan Malaysia.

Kami telah ditunggu oleh Ustaz Alim, seorang lulusan Universiti Madinah yang bekerja di kedutaan Kuwait. Bapa kepada dua anak ini tidak boleh berbahasa Melayu dan hanya berkomunikasi dengan bahasa Arab. Umur beliau kini 28 tahun.

“Ana dah carikan hotel, tapi hari ini penuh, ramai orang datang sini termasuk orang dari Malaysia, mungkin sebab cuti” kata Ustaz Halim kepada kami mengenai hotel yang susah untuk membuat tempahan bagi enam bilik sekaligus.

Kami di bawa ke Universe Hotel, dan kemudian kami semua diajak untuk makan di kedai makan muslim tidak jauh dari hotel ini.

“InsyaAllah, rehat dulu ye, ana akan bertolak ke Chou Doc malam ini juga dan anak telah susunkan program dengan masyarakat Islam di Chou Doc” kata ustaz Alim pada kami.

Esok jam 11.00 pagi, kami akan terus ke Chou Doc pula, untuk bertemu dengan saudara seIslam di sana. Beberapa bahagian aqiqah telah diserahkan dan akan dibuatkan jamuan kepada saudara seIslam kita di sana.

Perjalanan ke Chou Doc mengambil masa lebih kurang 6-7 jam melihat keadaan jalan. Jadi, kami perlu berehat untuk meneruskan perjalanan pada hari esok.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Ho Chi Minh City Vietnam

16 Zulhijah 1431/23 November 2010 jam 10.00 malam

IMG_1454

Central Market Phom Penh

IMG_1493

Menaiki feri untuk melintasi sungai Mekong

IMG_1495

Sungai Mekong yang agak luas

IMG_1527

Ho Chi Minh City dulu dikenali sebagai nama Saigon

IMG_1505

Makan malam di Ho Chi Minh, malam ini hanya tinggal mee sup sahaja, semua makanan dah habis

IMG_1518

Hotel kami tinggal berdekatan dengan masjid

IMG_1991

Ustaz Alim dari Vietnam, beliau tidak boleh berbahasa Melayu.

Sesungguhnya, Islam menyatukan manusia dengan kesatuan akidah walau berlain bahasa dan bangsa….

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...