Tuesday, May 24, 2011

Universiti Kehidupan 195 – “Melihat Masa Dari Bidang Penerbangan…”

Rasanya lama saya sudah tidak bercerita mengenai “Universiti Kehidupan”, satu catatan yang diakhiri dengan pengajaran di bawah lembayung syarak.

Dalam kesibukan pengurusan rumah anak Yatim dan HIV, saya memulakan kembali kelas yang lama ditinggalkan. Iaitu kelas mengenai penerbangan.

24 Mei 2011, saya menghadiri kelas “Navigation”, bagaimana ingin mencari arah di dalam penerbangan.

“Ah.. kena ulang kaji pelajaran Sains tingkatan lima yang telah berbelas tahun ditinggalkan” bisik hati saya ketika melihat sukatan mengenai membaca peta dari sudut Longitude dan Latitude.

“Ok, Muhamad, sekarang cari bacaan bagi Ipoh? kata pengajar malam ini, Captain Kumar. Dia membentangkan peta Malaysia kepada saya.

Agak terkial-kial juga mencari bacaan bagi Ipoh.

“Ok Capt, bacaan Ipoh Latitude 04’34 N dan Longitude 101,05 E…” kata saya tersengeh kerana tidak pasti akan jawapan yang diberikan.

“Ha.. betul lah tu… kata Captain.

“Alhamdulillah, betul pun”. kata saya. Barulah saya dapat peka dengan nombor yang diberikan oleh mesin GPS  jika kita menekankan kedudukan kita di sesebuah tempat.

Setelah lebih sejam mempelajari mengenainya, kami meneruskan ke tajuk lain..

“Ok, sekarang kita belajar “Navigation Log” kata Captain Kumar.

Kami diminta untuk memenuhkan “Navigation Log”. Di antara yang penting di isi ialah ruangan ETE (Estimated Time En Route) iaitu jangkaan masa penerbangan dari tempat bertolak hingga ke tempat sampai.

Kami mula mengira. Kalau dari lapangan terbang Subang ke Melaka, penerbangannya dalam jangkaan 40 minit. Dan ia tidak boleh suka-suka terbang. Sudah ada jalan yang perlu diikut. Dari Subang perlu melalui Petaling Jaya, kemudian ke Kajang, dari Kajang akan ke Mantin kemudian ke Seremban, kemudian melalui ruangan udara Pedas, kemudian Alor Gajah dan barulah sampai ke Melaka.

Dan setiap laluan ada anggaran masa yang perlu diisi oleh seorang juruterbang.

“Habis, kalau tower di Melaka tidak menerima isyarat diri kami dalam 40 minit penerbangan, macam mana? Tanya saya pada Captain Kumar.

“Ha.. dia akan hantar orang pergi cari you le..” kata Captain Kumar sambal tertawa kecil.

Bermakna, akan ada satu pasukan penyelamat diutus jika masa sepatutnya sampai kita tidak tiba.

Begitu pentingnya masa di dalam sesuatu penerbangan.

Kenapa begitu penting? kerana ia berkaitan dengan keselamatan…..

Bagaimana dengan kehidupan kita?.....

Kenapa masa begitu penting?...

Ya… kerana ia berkaitan dengan keselamatan juga.., keselamatan hidup di dunia dan keselamatan hidup di akhirat.

Kita telah diberikan satu masa sunnah untuk sampai. Jika dari lapangan terbang Subang ke Melaka 40 minit, maka dari kelahiran kita ke masa sampai perpindahan alam adalah 63 tahun, umur sunnah seperti yang diberikan kepada baginda Rasullullah SAW.

Jadi setiap tahap, kita perlu mengukur diri kita bahawa kita semakin hampir dengan tempat ketibaan. Mungkin sekarang kita berumur 30 tahun, bermakna masa ketibaan untuk ke akhirat dari segi sunnahnya tinggal 33 tahun. Kalau 40 tahun? Maka hanya tinggal 23 tahun, kalau 50? Tinggal 13 tahun. Kalau 60? Tinggal 3 tahun.

Mungkin kita punyai lebihan masa kerana penerbangan kita agak perlahan, atau kita mungkin tidak sampai pada masa sunnah yang diberikan kerana terhempas ditengah jalan atau terpaksa mendarat secara kecemasan di tempat lain. Maka kita perlukan panggilan kecemasan untuk membantu kita agar selamat.

Itu di dalam penerbangan, bagaimana di dalam kehidupan?

Ya.. dalam kehidupan, kita juga pasti akan mendarat sama ada pada umur sunnah 63 tahun, atau lebih dari itu atau kurang dari itu. Yang pasti kita kena mendarat dan memang akan mendarat.

Apakah yang boleh menyelamatkan kita jika tiba-tiba kita terpaksa mendarat sedangkan pada umur yang tidak sampai 63 tahun?

Ya.. Nabi SAW selalu mengingatkan kita tentang perkara boleh menyelamatkan kita. Antara yang terpenting adalah kita berusaha membuat amalan yang kekal pahalanya.

Di dalam hadis Nabi SAW menyatakan bahawa:-

“Ketika mati anak Adam, terputuslah amalannya keculai tiga perkara, ilmu yang bermanfaat, sedekah Jariah, dan doa anak yang soleh”

Persoalannya, berapa ramai yang sedar kepentingan masa penerbangan dalam hidup dan berapa ramai orang yang telah membuat persediaan untuk selamat jika tiba-tiba terpaksa mendarat?

Semoga Allah rezkikan kita menjadi orang yang bijaksana iaitu orang yang sentiasa membuat persediaan untuk hari mendaratnya. Dan semoga Allah hindarkan kita dari menjadi orang yang rugi, iaitu orang yang lalai dari membuat persediaan hidupnya, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

20 Jamdil Akhir 1432/ 24 Mei 2011 jam 2.00 pagi

IMG_0272

Bersama Captain Kumar, ada iktibar dari setiap ilmu yang Allah berikan pada kita…

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...