15 Mei 2011 jam 2.00 petang, saya memenuhi undangan dari kaum Ibu seksyen 27 Shah Alam di Holiday Villa Subang Jaya.
Majlis ini membicarakan mengenai ibu, mungkin bersempena dengan hari ibu. Saya ingin kongsikan mengenai ibu dan ayah seperti yang tersebut di dalam al-Quran.
1. Allah memerintahkan kita berbuat baik pada ibu dan ayah. Perintah ini disebut di dalam surah al-Nisa ayat 36
Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa
Berbuat baik pada ibu dan ayah bermakna kita mencari keredhaannya dan menyenangkan hatinya.
Tersebut di dalam kitab Durrah an-Nasihin, bahawa satu ketika Nabi Musa a.s bermunajat pada Allah untuk mengetahui siapakah jirannya di dalam syurga. Maka Allah memberikan panduan kepada Nabi Musa sehingga baginda Musa mencari orang ini dan akhirnya menemui bahawa orang ini adalah orang yang sangat memelihara hubungan dengan ibu dan ayahnya.
2. Mendoakan mereka.
Allah berfirman di dalam surah al-Isra ayat yang ke 24 bermaksud:
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika aku kecil.
3. Tidak meninggikan suara kepada ibu dan ayah.
Di dalam al-Quran surah al-Israk ayat 23 Allah menyatakan bahawa :-
Maka sesekali janganlah kamu mengucapkan “ah” (apa-apa perkataan yang memberi maksud aku benci) kepada keduanya.
Selain dari itu, apa yang ada pada seorang ibu?
1. Seorang ibu terdapat keredhaan Allah bermaksud, jika kita mencari keredhaan ibu, maka keredhaan Allah akan bersama kita. Kita boleh telusuri kisah Saidina al-Qamah yang tidak dapat mengucapkan syahadah ketika nazaknya sehinggalah ibunya memaafkannya. Begitu besar kelebihan ibu sehingga syurga itu terletak di bawah telapak kakinya.
2. Pada seorang ibu terdapat keberkatan jika seorang anak itu menjaga adab bersamanya. Terdapat satu kisah di mana seorang hamba Allah telah terperangkap di dalam gua kerana batu-batu bukit runtuh ketika dia berada di dalamnya.
Dia adalah seorang anak yang cukup baik sehingga dia berdoa pada Allah dengan menyandarkan perbuatan baiknya pada ibu bapanya, kemudian dengan keikhlasannya itu, direnggangkan batu yang menutup pintu gua itu dan dia selamat keluar dari runtuhan itu.
3. Pada ibu ada doa yang mustajab untuk seorang anak.
Oleh yang demikian, hendaklah kita sentiasa berusaha menjadi anak yang soleh dan mengajar anak kita untuk menjadi anak yang soleh/ ah.
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdulllah
Shah Alam
12 Jamadil Akhir 1432/ 16 Mei 2011 jam 5.30 petang
Ceramah mengenai ibu dan kekeluargaan
Ia dianjurkan persatuan Mawaddah, kumpulan Yasin Seksyen 27 Shah Alam
Kenangan bersama para ibu…
1 comment:
Salam..terima kasih ustaz atas ceramah ustaz pada kump. mawaddah...memnag hati rasa terusik sangat mendengar ceramah ustaz...saya telah kehilangan ibu tercinta 8 tahun lalu...namun kesannya masih saya rasai hingga ke hari ini...bertuahlah sesiapa yg masih ada ibu...berbakti lah padanya sebaik mungkin....insyaAllah doakan kami moga dpt membimbing anak2 kami menjadi anak2yg soleh dan solehah...moga Allah sentisa melimpahkan rahmatNya pada segala usaha2 murni ustaz...amin.Pn Nora.
Post a Comment