Friday, January 28, 2011

Sekilas 39 - Sekilas 39 - “Isu Bersalaman Dr. Chua Soi Lek…”

1. Saya ingin membahaskan mengenai isu Dr. Chua Soi Lek yang memperendahkan sikap Puan Normala mengenai prinsipnya yang selaras dengan hadis Nabi SAW bahawa “aku tidak pernah bersalam dengan wanita, pendekatanku pada seratus orang wanita sama dengan pendekatanku kepada satu orang wanita” (HR Malik)

2. Walaupun bersalaman ada perbahasannya, ada pendapat yang membolehkan dan ada pendapat yang mengharamkan, tetapi seseorang tidak boleh merendahkan pendirian agama yang diamalkan oleh seseorang. Saya ingin bahaskan dari sudut mengapa seseorang bukan Islam boleh menghina Islam. Ini berikutan pendirian Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang berpendapat Dr. Chua Soi Lek telah menghina Islam. Ia sebagai koreksi diri kita bagi isu-isu yang mungkin akan terjadi pada masa akan datang.

3. Orang yang menghina Islam ada dua kategori. 1. Kategori Jahil dan memang tidak tahu. 2. Kategori menghina dengan niat memang mahu merendahkan atau bahasa kasar orang Melayu adalah dengan tujuan kurang ajar.

4. Dua sebab ini pernah berlaku pada zaman Nabi. Sebab pertama iaitu jahil. Ini banyak berlaku. Ramai para sahabat pada peringkat awal menghina Islam tetapi setelah tahu kebenaran dan keindahan Islam, mereka menjadi orang yang sangat membela Islam.

5. Kategori kedua adalah sebab pertentangan atau kurang ajar. Dalam kategori ini, kita boleh membahagiakanya dengan dua sebab, iaitu (i) kurang ajar sebab dia tahu sangat kebenaran itu, tapi memang saja nak tunjuk pertentangan. Ini terjadi di kalangan ahli kitab, yang Nabi tidak banyak berdebat dengan mereka dan akhirnya ada ahli kitab diperangi dan keluar dari Madinah menuju ke Khaibar.

6. Sebab kedua dalam kategori ini ialah (ii) dia tahu kebenaran, tetapi menentang kebenaran kerana orang yang lebih tahu kebenaran itu turut membenarkan perilakunya. Dia jadi berani kerana bersandar pada orang lain yang tahu kebenaran dan menentang kebenaran itu.

7. Golongan seperti ini ialah golongan pembesar Quraisy yang bermatian memusuhi Nabi kerana mereka melihat ahli kitab sendiri menghina-hina Nabi. Golongan ini pernah didampingi oleh Nabi dan nabi selalu menyampaikan Islam pada mereka sehingga pernah ketika Nabi mendampingi mereka, datang seorang buta ingin tahu pasal Islam dan Nabi berpaling kerana rasa terganggu dan Allah menurunkan surah Abasa kepada Nabi SAW.

8. Berbalik pada Dr. Chua Soi Lek. Kita boleh lihat reaksi dia, adakah dia terkategori orang yang menghina Islam dari kalangan orang jahil atau dengan niat untuk berkurang ajar.

9. Kalau dia tergolong dari kalangan orang yang jahil, maka sudah menjadi tanggungjawab orang Islam menyuarakan kebenaran padanya hingga dia faham dan dapat menghormati Islam itu.

10. Kalau dia tergolongan dari kategori kedua, jika sebab pertama, maka dia perlu diperbetulkannya dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan tindakan mahkamah kerana menghina Islam, tindakan disiplin dan sebagainya. Kalau dia tergolong dari sebab kedua, maka dia perlu diperbetulkan, orang yang dicontohi itu juga perlu diperbetulkan.

11. Bagaimana ingin memperbetulkan? Bagi saya semua pihak perlu bangun berusaha, para mufti perlu memberikan pandangan, para agamawan yang  tidak berjawatan perlu berusaha, para agamawan dari badan-badan kerajaan juga perlu membetulkan perkara ini, begitu juga agamawan dari mana-mana parti juga perlu bangun mempertahankan agama ini. Negara kita ada persatuan Ulama, ada Ulama Muda dari parti Politik, ada berbagai persatuan cendekiawan muslim di negara ini dan berbagai-bagai lagi. Bangunlah semua dan pertahankanlah Islam.

12. Percayalah, akhirnya orang kafir akan bersatu, kenapa kita tidak berusaha untuk bersatu walau apa platform kita.

13. Saya secara peribadi menyokong pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Dr Chua perlu meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

14. Sesungguhnya, agama bukan alat untuk menang politik tetapi politiklah salah satu alat untuk agama kerana kita mati akan meninggalkan politik, tetapi kita tidak akan meninggalkan agama hinggalah ke saat hembusan nafas terakhir kita. Allah yang memerintahkan kita memegang Islam hingga mati, firman Allah

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam (Surah Ali Imran ayat 102)

Semoga kita sentiasa dilindungi oleh Allah dan semoga Islam terus terpelihara di negara tercinta ini, amin….

“Sekilas Mewarkan Peristiwa”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Bukit Jelutong

23 Safar 1432/28 Januari 2011 jam 5.00 petang

3 comments:

Cetusan said...

as-salam Ustaz,
izinkan copy paste link entry ini

Shadiya Abbas said...

suatu pandangan yang bagus ustaz. inilah jawapan seorang pemikir dan ulama'. barulah hau liau!

Anonymous said...

salam, saya pun tak faham kenapa jadi macam ni masa dia jadi menteri kesihatan apa2 acara yang membabitkan wanita muslim dipejabat tak pernah diisukan bab salam ni..dan kami pun tak menghulurkan tangan kepada dia..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...