Thursday, January 13, 2011

al-Ijabah 83 – “Mesyuarat Dua Sayap Yayasan al-Ijabah dan.. saya menyedari satu perkara…”

6 Januari 2011, dengan izinNya jua, saya memimpin mesyuarat dua kompenan besar Yayasan al-Ijabah iaitu rumah HIV muslim pada jam 9.30 pagi  dan juga rumah anak yatim dan tahfiz al-Ijabah pada jam 4.00 petang.

Bagi perancangan rumah HIV Darul Ukhwah, Alhamdulillah, kepercayaan pihak hospital semakin baik hingga rumah Darul Ukhwah menjadi rujukan kepada pesakit baru.

Kini, Darul Ukhwah telah melangkah setapak kehadapan apabila menerima kehadiran pesakit HIV perempuan. Dan dengan izinNya jua, rumah Darul Ukhwah perempuan telah ada.

Cabaran untuk melangkah bagi tahun 2011 ini ialah tenaga sukarelawan untuk bersama-sama di dalam usaha ini.

Kesedaran masyarakat Islam kita di Malaysia pada isu kebajikan memang tinggi, cuma kita memerlukan cara untuk menyatukan tenaga-tenaga yang terbiar.

Cuba banyangkan, di tempat penjagaan orang bukan Islam, sukarelawan dari bidang perubatan tidak putus sama ada yang datang dari dalam negeri mahupun luar negeri.

Kita ramai dan banyak, tetapi usaha menyatukan tenaga ini masih agak lemah. Semoga tahun 2011 ini, Darul Ukhwah dapat menarik lebih ramai lagi tenaga-tenaga sukarelawan untuk berkhidmat demi agama.

Bagi perancangan rumah anak yatim dan tahfiz pula, mesyuarat telah di adakan di Maahad Sains al-Quran al-Amin di Kompleks 3C Bandar Baru Sunway.

Alhamdulillah, perbezaan rumah anak yatim dan tahfiz kita dengan tempat lain ialah, kita cukup menjaga pelajaran dan pendidikan akhlak mereka. Walaupun usaha terus di maksimakan, cabaran tetap ada kerana usaha mendidik bukan semudah memetik jari dan terus jadi.

Progaram-program terus dirancang, dengan rutin majlis selawat, hafalan al-Quran, hinggalah kepada aktiviti sukan lasak.

Ketika mengendalikan dua institusi pendidikan iaitu rumah al-Ijabah dan Maahad Sains al-Quran al-Amin, saya menyedari satu perkara…

Ramai rupanya anak-anak remaja yang sedang gagal dari sudut pentarbiahan dan akhlak mereka. Tidak sedikit yang ingin masuk ke dalam Maahad Sains al-Quran dan juga rumah Ijabah adalah anak-anak yang telah luar biasa “mazmumahnya”, dengan kes dibuang dari sekolah, kes tak mahu ke sekolah, kes telanjur dan seribu satu kes yang mungkin tidak pernah kita dengar ketika kita kecil dahulu.

Saya rasa, sudah sampai waktunya, kita semua memikirkan untuk mengadakan sebuah institusi pendidikan bagi anak-anak sebegini. Kalau bahasa yang agak lurus ialah rumah pemulihan, atau pun boleh kita namakan rumah pentarbiahan.

Kita tidak boleh biarkan golongan seperti ini, kerana mereka anak bangsa kita, anak muslim kita. Kalau seorang dari mereka rosak bermakna muslim kehilangan satu pemimpin masa depan.

Kalau nak ikutkan hasrat, gunung mahu kita peluk, tetapi apakan daya tangan tak sampai, kalau mahu diikutkan hasrat, semua benda rasa bertanggungjawab nak buat, tapi apa kan daya, kemampuan yang ada setakat ini sahaja.

Tapi kita pohonkan pada Allah agar satu hari nanti Allah berikan kemampuan untuk membuat satu sayap pendidikan bagi anak-anak bermasalah. Semoga niat yang baik terus diperbaiki oleh Allah, amin….

“Al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

8 Safar 1432/13 Januari 2010 jam 1.30 pagi

IMG_4536

Mesyuarat rumah HIV Darul Ukwah di Shah Alam

IMG_4519

Meneliti setiap perancangan yang telah digariskan

IMG_4526

SKT (Sasaran Kerja Tahunan) bagi Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah.

IMG_4538

Adat mesyuarat bagi program kebajikan, ada kalanya tersenyum bersama, adakalanya menangis bersama.

IMG_4543

Pada waktu petang, membincangkan pula mengenai rumah anak Yatim al-Ijabah dan perjalanan Maahad Sains al-Quran al-Amin

IMG_4545

Saya menyedari satu perkara, kita sekarang memerlukan sebuah institusi pendidikan tarbiah kerana terlalu ramai ibu ayah yang memerlukan, doakanlah sama-sama, demi anak-anak umat Islam khususnya di Malaysia ini…

2 comments:

boxhousestudio said...

Salam Ustaz Amin

macam pernah jumpa semua yang berada di sini... :)

faiz said...

salam ustaz...saya ada sebuah rumah di kampung jawa klang dan bercadang untuk diwakafkan. Bagaimana untuk saya berurusan dengan ustaz?. untuk pengetahuan ustaz sekarang saya menetap di pulau pinang