Monday, November 28, 2011

Universiti Kehidupan 213 – Pelajaran Dari Terjun Payung

“Ustaz, ada rasa takut tak?” tanya Capt Sidek, juruterbang MAS yang dulunya berkhidmat dengan TUDM.

“Sebagai manusia, memang ada juga, tapi kita boleh cari kekuatan untuk itu” kata saya.

“Kalau ustaz ada rasa takut maknanya ustaz orang normal sebab orang yang tak ada rasa takut hanya orang gila dan orang bodoh sahaja” terangnya pada saya sambil tergelak kecil.

Saya adalah kumpulan kedua yang akan terjun. Bersama saya yang akan terjun adalah penerbit program Usrah TV9, Rozimalini, InsyaAllah, program ini akan kita kongsikan di dalam “Usrah” awal tahun depan nanti.

Saya sudah siap memakai pakaian khas. Kainnya agak tebal, di bahagian lutut dan lengan lebih tebal, mungkin sebagai pertahanan pada kedua sendi ini ketika turun ke bumi.

“Ok ustaz, Rozi, sedia naik kapal” kata En.Idrus, jurulatih saya.

Saya melihat wajah penerbit saya, mulutnya berkumat kamit membaca selawat, wajahnya agak pucat, tapi saya tabik semangatnya, dia nak juga terjun dan akan mengambilkan gambar saya ketika di atas kapal untuk dikongsikan bersama penonton rancangan usrah nanti.

Bagi diri saya pula, saya cuba membayangkan saat saya keluar dari kapal terbang, saat bergayut di ketinggian lebih 3000 kaki, atau dua kali KLCC. Macam mana rasanya ketika mahu melepaskan tangan dari kepak kapal terbang.

Capt. Azim mula memecut kapal Cessna 172, kerusi dalam kapal terbang telah dikosongkan, hanya untuk Pilot sahaja. Pintu sebelah kanan pula telah ditanggalkan untuk memudahkan penerjun keluar.

Saya melihat altimeter yang dipasangkan di dada saya, alat untuk mengukur ketinggian. Sedikit demi sedikit jarum meter itu naik

1000 kaki….

1500 kaki….

2000 kaki…

2500 kaki…

3000 kaki…

3300 kaki…

Saya melihat ke bawah, semuanya kecil, semuanya nampak halus.

En. Idrus mengeluarkan tangannya, kemudian cepat-cepat memasukkannya kembali.

“Alamak, hujan pulak….” Katanya.

Saya cuba merasa hujan dari ketinggian 3000 kaki dengan kapal terbang yang sedang bergerak laju. Memang tajam, macam kena cucuk jarum. Capt. Azim membelok ke kiri, lari dari hujan renyai-renyai tersebut.

“Ok ustaz..ready..” jerit En. Idrus…

Capt. Azim memperlahankan sedikit kapal..

Saya mengeluarkan kaki kiri saya, kaki kanan saya letakkan ke di tayar, tangan saya memegang erat palang pada kepak kapal terbang….

Saat-saat akhir ini saya cuba mengimbau kembali pelajaran yang dipelajari..

“Ingat, jangan lepaskan tangan dulu, nanti kamu akan terpusing, lepaskan kaki dulu..” pesan En. Idrus ketika kursus.

Teringat juga seloroh Lt. Kol. Kamaruddin ketika kursus..

“Kalau dalam tentera, sebelum terjun kami semua akan menyanyi ramai-ramai.. kalau payung tak kembang, berikan isteri pada kawan…”

“Go ustaz…” tiba-tiba En. Idrus memekik.

“Ok..” jerit saya kembali sambil berkata dalam hati..

Lepaskan kaki dulu,, lepaskan kaki dulu..

“Go ustaz..” kata En. Idrus lagi, rupanya saya telah melepaskan kaki tetapi tangan saya masih erat memegang besi pada kepak kapal, saya tergantung seperti Superman,

Saya melihat ke bawah, semuanya nampak kecil, muka saya hampir dengan tayar..

“Go ustaz..” kata En. Idrus lagi..

“Ok..” buat kali ketiga saya mengatakan ok..”

Saya memejamkan mata, hati saya berkata…

“Ya Allah, hanya padamu hambamu ini berserah…”

Saya melepaskan tangan saya, menggelongsor keluar, badan saya terpusing-pusing, saya tidak tahu saya berada di arah mana…

Hati saya tidak putus-putus menyebut nama Allah, kadang kala ternampak bumi, kadang kala ternampak langit.

Dalam lebih kurang 7 saat terjatuh, badan saya terasa diangkat..

Saya melihat ke atas… Alhamdulillah.. payung saya telah terbuka…

hati saya sayu, “Terima Kasih Allah…”

saya sangat- sangat bersyukur pada Allah, teringat firman Allah di dalam surah Muluk ayat 19….

Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu

Ya.., Allahlah yang mengembangkan payung ini dengan makluknya bernama angin, jika udara kosong tanpa angin di langit, maka payung tidak akan kembang.

Suasana sangat sunyi di atas ketinggian lebih 2500 kaki ini. Saya menarik nafas panjang. Mula mengambil “Toggles” (macam stering bagi kereta) saya mengawal payung ke kanan dan ke kiri mencari anak panah, tempat saya kena mendarat.

Memang, secara peribadi, sukan ini sangat bagus untuk melatih hubungan kita dengan Allah. Ia juga sangat bagus untuk melatih kita mengawal emosi takut kita kerana dalam diri manusia ada tiga emosi yang kalau kita matang di dalam mengendalikannya, maka separuh ketenangan telah Allah berikan pada kita. Ia adalah perasaan marah, takut dan sedih. Sebab itu banyak dalam al-Quran Allah menyatakan orang beriman, tidak dia merasa takut dan bersedih.

Saya melihat altimeter, saya semakin hampir dengan bumi, lagi 500 kaki…

Saya sudah mula menghampiri tempat pendaratan…

Ok 10 kaki.. saya menarik habis “toggles” sebagai brek pada payung.

Kaki saya mula menjejaki rumput di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Subang ini. Teringat kata jurulatih saya, tak ramai orang berpeluang untuk berada di tengah-tengah landasan kapal terbang ini kerana ia kawasan larangan bagi orang awam.

Jurulatih yang berada di bawah bersama krew TV9 berlari mendapatkan saya, merakamkan perasaan saya ketika mendarat.

Mereka semua memeluk saya tanda syukur, saya mengangkat tangan sekali lagi mengucapkan syukur pada Allah..

Saya memandangkan ke langit, melihat Penerbit Usrah juga sudah menghampiri bumi, semua kami mendapatkannya..

Alhamdulillah, beliau juga selamat mendarat….

Semua jurulatih gembira kerana kumpulan sebelum kami turun tidak pada tempatnya, dan seorang dari mereka telah mengalami kecederaan, kalau kurang ambil perhatian pada semua pelajaran yang diajar, memang boleh mengalami kecederaan dan jika cedera, orang ramai akan takut pada sukan ini, kebetulan pula kami terjun di hadapan ribuan pengunjung pameran kapal terbang sempena 100 tahun DCA (Jabatan Penerbangan Awam Malaysia), jadi kalau cedera ramai yang akan takut nanti.

Saya mengambil payung, meletakkannya ke dalam beg yang khas. Meneguk sebotol kecil air mineral, saya menulis ke dalam buku log terjun payung..

Jump. No (1)

Date : 26 Nov 2011

Place : Sky Park Subang

Aircraft : C-172

Equipment : Static Line

Altitude : 3000 ft

En. Idrus menandatangani bukulog saya.. “Idrus.. Parajump Instructur”

Sambil memandang saya En. Idrus berkata..

“Jom ustaz, kita terjun pulak dari 10 000 kaki..”

Jom, boleh aja… kata saya sambil saya memandang penerbit saya pula, amacam..?

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

2 Muharram 1433/ 28 November 2011 jam 8.15 pagi

IMG_7762

Bersama isteri, anak, anak angat dan anak yatim saya.

IMG_7773

Bersama saudara saya Darul Ukhwah

IMG_7813

mengingati kembali latihan sebelum terjun

IMG_7818

Bersiap sedia untuk terjun

IMG_7792

Sebenarnya, boleh saya namakan terjun ini sebagai “jump for dakwah” kerana saya dapat bergaul dengan berbagai golongan di dalam sukan ini.

IMG_7807

Paling kurang yang Islam dapat sama-sama saya ajak untuk solat dan berdoa, yang bukan Islam dapat melihat bagaimana adab hamba pada Penciptanya

IMG_7897

Pesanan terakhir dari Jurulatih saya, En. Idrus

IMG_7899

Siap sedia untuk terjun

319250_313420665351966_100000521060856_1223829_287230102_n

Pada ketinggian lebih 3000 kaki, semuanya nampak kecil

IMG_7917

Jurulatih di bawah dan krew TV9

IMG_7918

Dalam 7 saat, payung mula berkembang..

IMG_7924

Sunyi sekali di atas ini, hanya kita dan Allah sahaja..

IMG_7925

Sukan ini selamat jika kita mengikuti segala peraturannya dan ia sangat bagus sebagai latihan jiwa kepada kita untuk merasakan pergantungan Allah

IMG_7932

Menghampiri bumi

IMG_7933

Alhamdulillah, terima kasih Allah….

IMG_7935

Krew TV 9 menghampiri saya

IMG_7941

Jurulatih gembira dengan kejayaan mendarat dengan selamat

IMG_7947

Penerbit Usrah TV9

IMG_7967

Kembali bertemu ahli keluarga

IMG_8002

Bersama jurulatih saya, En. Idrus..

5 comments:

Ayub As-Salori said...

Ya Allah, ni lah benda yg sangat kawe cita cita kan. Nanti ustaz dah expert boleh lah jd instructer kawe.. hehe

Zakiyah Zainon said...

Tahniah ustaz!

hatimukmin.com said...

Subhanallah. . .saya juga terasa berdebar-debar, takut juga rasanya seolah2x berada di tempat ustaz utk melakukan sukan ini. . .fuh, nasib baik selamat. . .

Teringin hendak merasakan sukan ekstrem ini :)))

Anonymous said...

Dakwah, jangan tak dakwah ustaz..
Nampaknya TV9 dah suka anjur prog2 agama ni .. program2 laro takkan nak biarkan? .. Contohnya iklan2 seksi tu kena tapis2 le.. masih lagi terdapat bila iklan atau habis aje rancangan agama, program dedah2 menyusul..

Saranan ni mungkin agak kasar, kalau boleh terima & positif, alangkah baiknya. ALLAH & Rasul saw matlamat kita semua org ISLAM beriMAN.

Anonymous said...

salam..tahniah ustaz..ustaz,sy tertarik dgn tulisan ustaz.. "dalam diri manusia ada tiga emosi yang kalau kita matang di dalam mengendalikannya, maka separuh ketenangan telah Allah berikan pada kita...",andai ada kelapangan,leh ustaz jelaskan lagi detail apa maksudnya?...syukran..