30 Mei 2010, kala ini, seperti orang lain di dunia, semua orang sedang membicarakan mengenai kebiadaban Israel terhadap Gaza. Orang Mesir juga sibuk membicarakannya dari penjual surat khabar, pemandu teksi hingga pelajar Universiti.
Jam 2.00 petang, kala itu, saya melangkah masuk ke dalam muzium Mesir di Tahrir Kaherah. Ramai polis dan tentera berada di sini dan mengawal pengunjung yang keluar masuk.
Untuk masuk ke dalam pintu pagar sahaja, kita perlu melalui mesin pengimbas beg dan mesin pengesan logam. Barangkali, oleh kerana banyak pengunjung luar, maka tempat ini dikawal ketat agar tidak menjadi sasaran pengebom berani mati.
Setelah membeli tiket, sekali lagi kita terpaksa melalui dua mesin macam mula-mula iaitu mesin pengimbas beg dan mesin pengesan logam.
Kamera tidak boleh dibawa masuk sama sekali.
Setelah masuk ke dalam bangunan muzium, jika kita ke kiri dan naik tingkat satu, kita akan dapat menemui mayat firaun.
Jika kita berjalan terus, kita akan melalui patung-patung firaun dan tulisan-tulisan purba.
Saya berjalan terus dan di tepi patung yang besar terdapat penjaga muzium yang mempamirkan muka agak boring mengawasi orang ramai.
Melihat saya, dia menyapa saya.
Min nennnn? (awak dari mana?)
“Maliziya (Malaysia)”, jawab saya ringkas.
“Ummu dunya ha….” (ibu pusat dunia kan..”) kata penjaga ini lagi. Orang Mesir memang selalu berbangga dengan bangsanya dan menggelarkan Mesir adalah ibu pusat tamadun dunia.
Ada banyak sebab mereka boleh berbangga.
1. Memang Mesir banyak sejarah tamadun dunia yang awal.
2. Antara Isteri Nabi saw, hanya dua orang sahaja yang melahirkan anak. Pertama Khadijah r.a, kedua Maria al- Qibtiyyah r.a yang berasal dari Mesir walaupun kemudian Ibrahim, anak lelaki Nabi itu meninggal dunia.
3. Ketika zaman fitnah dan keturunan Nabi saw diburu, hingga kepada pembunuhan Saidina Hussain (cucu Nabi di Karbala), ketika itu, gabenor Umayyah semuanya tidak menerima keturunan Nabi untuk berada di tempat mereka (termasuk gabenor Madinah juga menolak menerima keturunan Nabi saw), orang Mesir menjemput keturunan Nabi saw ini untuk tinggal di Mesir. Dan sebab itulah banyak keturunan Nabi saw berada di Mesir sehinggakan ada pandangan yang mengatakan kepala Saidina Hussain yang dikembumikan di Damsyiq telah dipindahkan ke Kaherah (kini kawasan itu dinamakan Hussain).
Dan bangsa Mesir mempunyai satu sejarah iaitu amat jarang kalah di dalam peperangan.
Di dalam siri-siri perang Salib, Muslim Mesir menghambat keluar tentera Salib di dalam Perang Mansurah (salah satu siri perang Salib) pada tahun 648 H. Salahuddin al-Ayubi juga menjadikan Mesir sebagai salah satu benteng pertahanan ketika perang Salib.
Ketika bangsa Monggol menjarah negara-negara Islam dan membunuh pejuang-pejuangnya, umat Islam seperti tidak berdaya dan maruah kehebatan mereka hilang kerana tidak pernah mampu menandingi tentera Tatar.
Harga diri ini pulih ketika tentera Muslim Mesir berjaya mengalah tentera Tatar di dalam peperangan Ain Jalut.
Muslim Mesir juga antara yang membongkarkan penyamaran intelligent Israel Eli Cohen yang telah menyelinap masuk ke dalam pentadbiran Syria hinggakan banyak maklumat rahsia Syria bocor ke Tel Aviv pada tahun 60 an.
Dan peperangan Yom Kippur pada tahun 1973 antara Mesir dan Israel, ia mencatatkan sejarah akhirnya Israel terpaksa berundur dari bumi Sinai.
“Israel memang hanya takut pada Mesir sahaja” kata penjaga ini lagi.
“Dan Firaun dari Mesir ini, orang yang pernah menginjak Israel” kata penjaga ini sambil membuka kasutnya dan diketukkan pada batu-batu tulisan Mesir kuno.
Ia cuba menggambarkan seperti mengetuk kasutnya pada orang Israel.
“Di sinilah ceritanya” kata jaga Muzium ini sambil menunjukkan pada sayasebuah batu bersurat yang terdapat di Muzium ini.
Entah ye, entah tidak cerita batu tu cerita pasal Israel pada zaman Firaun saya pun tak tahu.
“Kalaulah Firaun ini masih ada…….?” kata mereka lagi.
Aik, macam perkataan Sultan Melaka sahaja setelah Jebat menjadi derhaka…
“Kalaulah Hang Tuah masih hidup……..” bisik hati saya.
Rupanya, ada juga orang berfikir, mereka memerlukan firaun untuk mengalahkan Israel, kerana dalam sejarah memang Firaun pernah menyembelih orang Israel.
Tapi pada saya, kita tidak memerlukan firaun. Kalau dia hidup balik pun, kita akan ikat di dalam muzium ini. Kita tak perlukan orang yang pernah dilaknat oleh al-Quran.
Firuan bukan hebat, dia hanyalah mewarisi tentera dari ayahnya. Kalau dia lahir sebagai anak tukang kebun, mungkin dia tidak tercatat dalam sejarah.
Saya berkeyakinan, yang hebat adalah orang beriman. Lihat sahaja kisah al-Quran mengenai orang yang bertaqwa, sentiasa menang walaupun hanya seorang petani seperti di dalam kisah Jalut dan Talut.
Jadi, untuk mengalahkan Israel, kita tidak perlukan firaun, kita perlukan lebih ramai orang yang beriman dan bertaqwa, yang hidupnya tidak pernah gentar dengan urusan dunia.
Mana golongan ini?....
Golongan bertaqwa perlu dilahirkan dengan ilmu dan tarbiah. Kerana, dengan ilmu, ia membentuk cara berfikir dan dengan iman ia membentuk cara bertindak.
Di dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa:-
Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati (surah Yunus ayat 62)
Bercita-citalah menjadi orang bertaqwa, dan usahakanlah agar generasi anak anak kita menjadi generasi bertaqwa, amin…
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
25 Jamadil Akhir 1431/ 8 Jun 2010 jam 10.30 malam
Muzium Mesir di Tahrir Kaherah, menyimpan mayat firaun…
4 comments:
amin amin amin Yarabbal 'allamin
yang hebat adalah orang beriman...ALLAH..
syukran Ustaz Amin...sentiasa membakar semangat BHS...Alhamdulillah...
salam..saya mmg tringin nk bwk fmily melwt mesir..doakn kami agr dimudhkan utk kesna..azma
Salam Ustaz
berair mata saya...
Ya Allah ramaikanlah dari kalangan kami ummat Muhammad kekasihMU; dari kalangan mereka Yang bertakwa; terutama diriku, dan diri penulis Blog ini; ameen ya rabbal a' lameen
Salam ustaz.. rasanya bukan semua firaun jahat kan? ada gak dengar kisah tentang firaun yang diberi hidayah. Betul tak? Wallahualam.
Post a Comment