Wednesday, June 16, 2010

Universiti Kehidupan 155 – Malam Di Perkhemahan Badwi

“Macam mana? Jadi atau tidak nak tidur di khemah dekat padang pasir ni?” kata Imam Yusuf pada saya.

“Kalau ikut saya, boleh saja, tapi macam mana dengan makan malam ni?” tanya saya sebab teringatkan ahli rombongan yang lain.

“Ah, itu jangan risau, nanti saya uruskan, saya tahu orang Malaysia makan nasi, nanti saya uruskan nasi lauk ayam panggang cara Arab” kata Imam Yusuf lagi.

“Tandas macam mana? Ada tandas tak, atau tandas di padang luas?” tanya saya lagi sambil tersenyum.

“Oh, yang ini ada tandas khas, jangan risau, tapi kalau nak tandas di padang luas pun boleh” kata Imam Yusuf menyakat.

“Oklah, kalau semua perkara asas ada, saya ikut saja” kata saya pada Imam Yusuf.

Jam 7.30 petang, 1 Jun 2010, kami semua merentasi padang pasir ke perkhemahan Badwi di Siwa.

Kami sampai di satu tempat. Ada khemah besar dan ada khemah kecil. Khemah mereka dibuat dari kain tebal seakan khemah ketika di Padang Arafah sewaktu musim haji.

Di satu sudut ada bangunan kecil untuk memasak dan ada tandas.

Di kawasan perkhemahan ini ada kolam air panas.

Waktu maghrib kala ini agak lambat, sampai sahaja di kawasan perkhemahan Badwi ini, saya dan anak murid saya terus mandi di kolam air panas. Angin padang pasir waktu petang sangat sejuk. Berbeza sekali pada waktu siang.

Ketika masuk ke dalam kolam, kami rasa sangat hangat. Rasa tak mahu bangun kerana kalau bangun, maka tiupan angin padang pasir seolah-olah menyelimutkan kami dengan ais.

Setelah mandi, kami pun naik dan bersiap untuk solat Maghrib berjemaah. Malam ini, bulan tidak besar, tetapi cukuplah cahayanya menemani kami di tengah padang pasir ini.

Para Badwi mula menghidupakan unggun api, dan kami semua berhimpun di kawasan unggun api tersebut.

Kami hanya ditemani dengan api lilin dan juga lampu minyak tanah.

Angin malam ini agak menyucuk kulit dan tulang, tetapi ia nyaman.

Saya melihat ke langit. Bintang-bintang menghiasi langit, tetapi ia tidak secantik bintang di padang pasir Kavir-e-lut di Iran.

Kalau di padang pasir Kavir-e-lut di Iran, dari dinding langit lagi sudah kelihatan bintang. Di sini, hanya di atas sahaja, dinding langit gelap dan tidak kelihatan apa-apa.

Patut pun dahulu selalu orang cakap, kalau nak tengok langit yang paling cantik di Iran.

Perkataan itu mempunyai dua maksud, yang tersurat dan yang tersirat.

Saya pernah melalui padang pasir Kavir-e-lut tahun lepas dan saya mengakui kebenaran kata-kata ini.

Dalam keadaan penat dan menahan kesejukan dengan selimut kain tebal, hidangan makan malam telah siap dan Arab Badwi ini membawanya ke dalam khemah besar.

Kami seakan-akan kaum Badwi sungguh. Lagaknya seperti kaum Badwi yang makan bersama-sama di dalam khemah dan membincangkan ke mana tapak perkhemahan selanjutnya.

Orang Badwi mempunyai gaya hidup berpindah-randah. Dari satu tempat ke satu tempat.

Kami makan nasi, ayam dan sayur-sayuran. Hidangan teh di tuang selesai makan.

Kami dirai macam raja. Inilah kelebihan orang Arab. Kalau kita telah menjadi tetamunya, maka kita akan dilayan dengan sungguh-sungguh.

Malam telah larut. Kami mula masuk ke dalam khemah untuk berehat. Kawasan perkhemahan Badwi ini dijaga oleh anjing-anjing pemburu. Dia berkawal di luar kawasan pagar perkhemahan.

Saya tidak memasang lampu di dalam khemah. Ini kerana, binatang-binatang kecil padang pasir akan tertarik dengan lampu.

Alangkan memasangnya di luar khemah pun telah ada kumbang berbagai jenis yang datang ke lampu pelita tersebut.

Saya membayangkan bagaimana jika ular-ular padang pasir tiba-tiba sama-sama berehat di dalam khemah.

Teringat pula kala jengking padang pasir, atau labah-labah besar yang merangkak. Atau entah apa-apa binatang yang kita tidak tahu.

Tapi itu semua kisah dalam filem, kalau memang ada, sudah tentu Pak Arab Badwi ini lama telah tiada.

Berbagai perkara bermain di benak pemikiran saya. Tapi, tak perlu layan. Jika di layan kita akan rungsing dan sudah tentu tidak dapat merasakan nyenyaknya tidur di tengah padang pasir ini.

Begitulah kehidupan…..

Jika kita mengingati dunia. Kita akan menjadi orang yang sentiasa risau. Takut itu, takut ini.

Kalau macam tu nanti, jadi macam ni, kalau macam ni nanti jadi macam tu. Akhirnya, kita akan hilang ketenangan diri dan sentiasa diselubungi perasaan takut dan cemas.

Tapi, mari kita ingat Allah. Allah yang Maha berkuasa. Tidak akan berlaku apa perkara di dunia ini melainkan sudah di dalam ketentuannya. Dan ketentuan Allah, pastinya tidak akan menzalimi hamba. Ketentuan Allah adalah yang terbaik buat kita.

Malam ini, saya melelapkan mata dengan membaca nama Allah “Ya Hafiz” (Wahai Yang Memelihara) berulang kali.

Allah menyatakan di dalam Al-Quran:-

Hanya milik Allah asmaa-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu (Surah al-A’raf ayat 180)

Kita boleh menyebut apa-apa nama Allah di dalam senarai Asmaul Husna untuk di jadikan doa. Dengan menyeru Allah, menjadikan kita sentiasa tenang dan bahagia. Di dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa:-

Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenang (surah al-Ra’du ayat 28)

Semoga, Allah menjadikan saya dan pembaca sekalian orang yang sentiasa mengingati Allah walau apa keadaan sekalipun. Kerana , semakin banyak kita mengingatiNya, semakin hati kita tenang dan bahagia bersama rahmatnya.

Sesungguhnya, merungsingkan dunia tidak akan menjadikan kita bahagia di dalam hidup. Jadi, amat rugi orang yang sentiasa rungsing di dalam hidupnya. Hidup yang sepatutnya menjadi taman bahagia dirubah menjadi ladang ketakutan.

Untuk itu, berimanlah, bertaqwalah dan beramallah. Dengan iman kita tenang, dengan taqwa kita bahagia dan dengan amal kita berjaya.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

4Rejab 1431/16Jun 2010 jam 12.15 tengah malam

Perkhemahan Badwi di Siwa Mesir

Terdapat beberap khemah untu kam tinggal malam ini.

Ini dia, peserta paling kecil, Abdullah Faiz Farhan, 3 bulan

Gelagat murid-murid saya, semoga nanti menjadi para ustaz yang tawadhuk dengan ilmunya, amin….

Hidangan makan malam di perkhemahan Badwi

Mencatit yang tersurat dan yang tersirat malam ini

Memanaskan badan dengan unggun api

Kalau nak rungsing, banyak perkara boleh dirungsingkan dan kita tidak akan tidur di sini.

Angin dingin waktu pagi

Peserta cilik

Pagi di perkhemahan Badwi di Siwa

8 comments:

mimie mohd sam said...

macam nak join
tp xkan berani...
huhu...masih banyak pikir dunia lagi agaknya ;-P

boxhousestudio said...

salam ustaz amin

BHS membayangkan BHS ada bersama dalam rombongan ini...ALLAH...

boxhousestudio said...

syukran ustaz

seronok BHS dengar tazkirah, yang paling best peserta cilik dah sampai...Masya ALLAH...rasanya ini anak Ustaz ya...Ustaz bersama anak-anak dan isteri...Alhamdulillah...percutian yang happening...selalu baca cerita pasal badwi...ini ustaz dapat merealisasikan dengan tinggal bersama mereka...ustaz kalau pi lagi ...BHS nak ikut boleh?...bawa E1

NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

salam ustaz,

cukup terhibur membaca n3 ustaz.
Memberi makna tersendiri pengertian hidup dan mati.Terima kasih.

Wassalam

MYY said...

Salam Ustaz,
Semoga perjalanan ustaz sentiasa diberkati dan dilindungi Allah.

boxhousestudio said...

mmm...tq FAKEH...syukran ustaz amin

maklang said...

Assalamualaikum..

baru habis dengar hak-hak wanita...seronok ustaz pagi2 membuka minda..cuma selalu tak dapat ikut serta sampai ke akhir sebab kena siap pergi ofis...tapi Alhamdulillah...start pagi2 dengan mendengar kuliah...moga hidup kita diberkati Allah ye Ustaz..

azah said...

Alhamdulillah, seorang bayi kecil yang hebat. Kecil-kecil lagi berpeluang menimba pengalaman yang menakjubkan. Wlaupum sikecil masih tidak mengerti apa-apa, tetapi pada satu saat nanti dia akan tahu bahawa dia telah dipilih oleh Allah untuk menjadi seorang yang hebat, Insyallah..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...