Sabtu 29 Mei 2010 jam 10.00 pagi, untuk hari pertama di sini, saya membawa murid al-Ijabah melawat Maqam Imam as-Syafie, Makam Imam Waqie dan Pyramid.
Melawat makam imam-imam besar mengingatkan kita mengenai sejarah mereka ketika hidup. Insan-insan yang pernah mempertahankan agama mengikut bidang mereka.
Ada juga orang yang menziarahi makam untuk memuja sesebuah makam. Ada juga yang meminta hajat dari tuan makam. Jika ini berlaku, ia salah di sisi syarak. Ini kerana, meminta hanyalah pada Allah.
Lebih-lebih lagi, ada yang meminta agar dihidupkan kembali orang yang telah mati. Kita pohon agar Allah memelihara kita dari kesalahan akidah.
Ketika sampai di makam Imam Waqi’, saya melihat makam ini melalu jeriji besi. Kala ini, makam ini tidak dibuka. Kami hanya boleh melihatnya dari luar sahaja.
Ada beberapa ekor kucing di makam ini. Mungkin ia menjadikan tempat ini sebagai rumahnya.
Makam ini ditutup dengan kain berwarna hijau. Makam yang ditutup dengan warna hijau mencontohi makam Rasullullah saw.
Mana-mana makam para Ulama, para Nabi dan Rasul yang berada di bawah jagaan Islam, akan ditutup dengan warna hijau.
Bagi agama lain seperti Yahudi dan Kristian, mereka tidak menggunakan warna hijau.
Saya pernah melihat makam Nabi Daud yang berada di bawah jagaan orang Yahudi di Mt. of Zion di Jerusalem, ia ditutup dengan kain berwarna Merah.
Begitu juga satu tempat di Jerusalem yang kononnya makam Nabi Isa (bagi fahaman Kristian Nabi Isa mati di salib sedangkan bagi Islam, yang disalib adalah orang lain, Nabi Isa diangkat ke langit) ia ditutup dengan kain berwarna kuning keemasan.
Hijau menjadi lambang Islam apabila kubah Nabi saw diwarnakan dengan warna hijau sejak awal lagi.
Berbalik pada Imam Waqi’. Beliau adalah guru kepada Imam as-Syafie. Imam as-Syafie adalah ulama hebat yang menyusun ilmu memahami fiqh dan usul fiqh.
Satu teori hebat ialah, di belakang orang yang hebat, pasti ada guru yang hebat. Begitu juga dengan Imam as-Syafie ini. Di belakang Imam Syafie, terdapat imam Waqi’. Beliau sering berpesan dan membimbing Imam as-Syafie mengenai adab ilmu dan mengajarkan kepada Imam as-Syafie mengenai persoalan hidup.
Satu ketika Imam as-Syafie merasa agak susah menghafal sedangkan beliau terkenal dengan orang yang kuat ingatannya.
Imam Syafie bertemu dengan gurunya ini dan mengadu pada Imam Waqi’.
Imam Syafie berkata di dalam Syairnya:-
“Aku mengadu pada guruku Waqi, mengenai susahnya menghafal. Beliau memperingatkanku agar membersihkan diri dari maksiat, kerana sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya yang Allah berikan. Dan cahaya itu tidak akan diberikan kepada orang yang ahli maksiat”
Seorang guru, akan sentiasa memberi tunjuk ajar pada muridnya. Sebab itulah, para guru tidak boleh berputus asa di dalam mendidik.
Dan ingatlah, ada kalanya, kita menegur seseorang bukan untuk dia merubah sikapnya kala ini, adakalanya, kita menegur dan teguran itu hanya akan berguna ketika seorang guru itu telah tiada.
Alangkah beruntungnya seorang guru, jika nasihatnya memberi perubahaan pada hidup seseorang. Selagi mana orang yang ditegurnya itu membuat kebajikan, selagi itulah pahalanya akan mengalir kepadanya.
Nabi saw telah bersabda:-
“Jika mati seseorang kamu, terputuslah amalannya melainkan tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan”
Jadilah seorang guru, paling kurang untuk anak dan isteri sendiri, sekalipun anak dan Isteri kita begitu memeningkan kita, insyaAllah, kala kita tiada, mereka akan mengingati apa yang kita sampaikan, dan kala dia berubah, kala itulah kita mendapat kelebihan membuat amalan yang kekal pahalanya.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Kuwait International Airport
Khamis 20 Jamadil Akhir 1431/ 3 Jun 2010 jam 8.30 malam
Di hadapan pintu makam Imam Waqi’
Menerobos pandangan dari tingkap
Makam guru Imam as-Syafie
Di belakang orang yang hebat pasti ada guru yang hebat
Warna hijau, mencontohi makam Nabi saw
1 comment:
Ustaz Amin
mmm.makan imam-imam besar..memudahan suatu hari nanti saya dapat kemari..amin
Post a Comment