Terlalu banyak orang bercerita mengenai pyramid. Ini kerana, sejarahnya mendahulu jutaan sejarah bumi yang lain. Ia ditulis kerana wujudnya sebelum wujud sejarah lain, mitosnya mendahului mitos sejarah lain dan lagendanya mendahului lagenda lain. Tetapi, yang menariknya, al-Quran menceritakan kembali sejarah itu.
Kala ini, saya ingin berbicara mengenai tuan punya pyramid ini yang sekarang berada di Egypt Museum di Tahrir Kaherah. Ia adalah firaun.
Di dalam muzium ini terdapat barang-barang firaun, patung-patungnya dan berbagai peralatan diraja.
Nampaknya, mitos sumpahan binasa atau celaka kepada sesiapa yang melihat barang kepunyaannya hanya dapat ditebus dengan harga tiket 60 pound Mesir (RM 45) untuk masuk.
Semua kamera tidak dibenarkan dibawa masuk. Ia perlu ditinggalkan di satu kawasan khas. Masuk sahaja ke dalam muzium ini, banyak barang-barang lama berumur ribuan tahun.
Di dalam Muzium di Tahrir ini juga, terdapat mumia-mumia termasuk Ramsis (ii), firaun di zaman Nabi Musa a.s.
Masuk sahaja pintu bangunan Muzium, kita pergi ke arah kanan dan ada tangga ke tingkat satu.
Nak bertemu pula dengan raja-raja Mesir termasuk firaun di zaman Nabi Musa a.s yang dikenali dengan Ramsis (ii) itu, sekali lagi kita akan dikenakan bayaran sebanyak 100 pound Mesir (RM 75).
Tapi berbaloi untuk melihatnya bagi membenarkan kebenaran ayat al-Quran.
Saya hanya mengetahui kewujudan jasad firaun ini ketika pameran Mumia yang dianjurkan oleh Muzium negara pada tahun 80an di Kuala Lumpur. Masa itu saya masih anak kecil dari sekolah rendah yang berebut-rebut untuk masuk ke Muzium.
Rupanya, sang Firaun telah berlayar merata dunia, dijadikan bahan pameran untuk tatapan umum. Ia membenarkan ayat al-Quran Surah Yunus ayat 92
92. Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu upaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.
Yang diselamatkan Allah ialah tubuh kasarnya, menurut sejarah, setelah Fir'aun itu tenggelam mayatnya terdampar di pantai diketemukan oleh orang-orang Mesir lalu diawetkan sehingga utuh sampai sekarang dan dapat dilihat di musium Mesir ini.
Ketika berada di keranda lutsina dengan penjagaan suhu, saya memegang tepi keranda ini dan berkata:-
“Aku saksikan bahawa Nabi Musa a.s telah menyampaikan risalahnya pada engkau seperti yang diceritakan al-Quran dan engkau adalah orang terlaknat di atas penentangan dan kezalimanmu”
Memerhatikan mata orang yang pernah mengaku dirinya tuhan ini, saya cuba membayangkan jika tiba-tiba dia membuka matanya bangun dan meluru ke atas saya dan mengatakan sekuat-kuatnya:-
“Aku beriman dengan tuhan Musa, aku beriman dengan tuhan Musa” seperti yang dijeritkan sebelum ajalnya tiba di laut merah.
Tapi kala itu, keimanan firaun tidak diterima kerana ia telah sampai ke sakaratul maut dan telah dilihatkan azab mengenai keingkarannya.
Begitulah syarat penerimaan taubat, ia sentiasa terbuka melainkan setelah sakaratul maut tiba. Kerana pada ketika itu, taubat bukan datang dari penyesalan diri, tetapi dari ketakutan pada kebinasaan dan minta agar diri diselamatkan. Bukan kerana nak perbaiki diri atau kerana menyesal di atas segala apa yang berlaku.
Bicara mengenai firaun, ia telah berlalu. Bagaimana diri kita? Sudahkah kita menyempurnakan taubat, meminta maaf sesama manusia, pada suami, pada ibu ayah, pada orang yang kita hina dan zalimi?
Atau kita masih selesa untuk menangguhkan taubat itu hingga akhirnya kita tidak pernah sama sekali sempat untuk bertaubat atau meminta maaf sesama manusia.
Semoga kita tergolong orang yang sentiasa menyesali dosa dan kesalahan lantas terus memperbaiki diri, kerana sesungguhnya, Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri (Surah al-Baqarah ayat 222)
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Kuwait International Airport
20 Jamadil Akhir 1431/ 3 Jun 2010 jam 11.00 malam
*** Di post dari Putra Heights 24 Jamadil Akhir 1431/ 7 Jun 2010 jam 6.40 petang
Piramid di hujung jari
Spinx
kafe ditepi piramid
Muzium Mesir di Tahrir yang menyimpan jasad firaun
No comments:
Post a Comment