Wednesday, February 8, 2012

Universiti Kehidupan 217 – “Pengajaran Dari Antara Halal Dan Kosher..”

5 Febuari 2012, saya mengajak beberapa orang ahli rombongan perjalanan al-Quds ke Jaffa St dan Ben Yahud St.

Tujuan saya mengajak ke sini adalah untuk mereka membetulkan cara berfikir bahawa bangsa Yahudi seperti bangsa lain juga, tidaklah hebat seperti yang kita rasa.

Perasaan ini sesetengahnya  datang dari para ustaz kita juga yang mengajak membenci Yahudi sedangkan dalam secara tak langsung mereka menjadi agen untuk mengempen seolah-olah bangsa ini terlalu hebat. Seolah-olah bangsa “untouchable” dan tak ada kelemahan.

Doktrin, sikit-sikit “ini adalah agenda Yahudi” sebenarnya satu doktrin yang berbahaya kerana secara tak langsung kita merasa sentiasa rendah diri dan tidak mampu untuk berdiri gagah atas nama Islam.

Kalau ada kelemahan, itu memang kelemahan diri kita yang perlu kita baiki dan bukannya sikit-sikit “ini adalah agenda Yahudi”, kita seolah-olah mencari sesuatu untuk dipersalahkan dan bukan menumpukan untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Saya nak ajak mereka melihat bahawa di Palestin atau di Israel ini juga ada peminta sedekah, ada orang yang tidur tepi jalan (homeless) dari bangsa Yahudi sendiri.

Tujuannya untuk kita rasakan bahawa kita semua adalah sama dan tidak perlu ada  perasan lemah sehingga hilang jati diri bergelar orang Melayu Islam. Yang mulia adalah yang beriman pada Allah.

Ketika saya mengajak ahli rombongan minum di satu kedai kopi, kami dapat melihat gelagat dan gaya hidup orang Yahudi, tiada beza, tetap ada yang kaya dan ada yang miskin, ada yang pandai dan ada yang bodoh, tetapi seperti orang lain ada yang kena bekerja sehingga tengah malam.

Kak Noraina, seorang ahli rombongan kami mengeluarkan kerepek ubi pedas yang dibawanya dari Malaysia. Seorang pelayan Yahudi, setelah mengambil order kami melihat Kak Noraina mengeluarkan kerepek ini.

“Kamu nak pinggan tak? nanti saya bawakan” katanya dengan senyuman.

“Ok ambil lebih sikit ye..” kata saya.

“Bukan senang anak Melayu nak memerintah orang Yahudi” kata saya pada ahli rombongan dengan bergurau, semua yang ada bersama saya tertawa kecil.

Pinggan telah dibawa. Pelayan Yahudi ini bertanya kepada kami..

“Apa ni?”

Salah seorang ahli rombongan memberitahu bahawa ini adalah kerepek ubi dicampur dengan lada. Pelayan muda ini nampak berminat dengan bentuk dan warna kerepek ubi ini.

“Sila rasa sikit” kata seorang kakak sambil mengangkatkan bekas kerepek padanya.

“Saya nak sangat cuba, tapi saya tak tahu ini “kosher” atau tidak..” kata pelayan Yahudi ini.

Bagi kita orang Islam, kita ada piawaian makanan disebut sebagai halal. Bagi Yahudi, mereka juga ada piawaian halal  mereka dan ia disebut sebagi “kosher”. Dan piawaian “kosher” lagi berat.

Sesetengah ulama’ Islam di Eropah mengeluarkan fatwa jika kita tidak dapat makanan halal, maka kita dibolehkan makan bertanda “kosher” kerana orang Yahudi dari sudut makanan seperti orang Islam, mereka tak makan daging babi dan mereka menyembelih dengan menyebut nama Allah iaitu “Shem–e-Shem”.

Saya melihat perempuan Yahudi ini, dia seorang pelayan, tapi tetap menjaga bab halal dan haram dalam bab makanan.

Berapa ramai orang Islam kita menjaga soal halal dan haram sedangkan mencari yang halal itu adalah perintah dari Allah.

Macam mana umat Islam tidak lemah kerana disiplin beragama tidak dipegang dengan betul.

Baru bab makanan, bagaimana batasan kita dengan perkara lain? Sehingga batasan bergaul dengan orang kafir?

Dalam hidup kita, kalau masing-masing kita tahu apa tanggungjawab kita dan apa batasan diri kita pada orang lain menjadikan kita mempunyai kematangan di dalam bertindak.

Masalahnya, tanggungjawab tidak tahu, batasan tidak tahu, bagaimana ingin hidup dengan kematangan di dalam bertindak?

Seorang suami tidak tahu tanggungjawab dan batasannya sebagai suami, seorang isteri tidak tahu batasannya sebagai seorang isteri dan juga pada semua lapisan-lapisan yang lain di dalam masyarakat.

Antara Halal dan Kosher, satu pengajaran yang kita dapat bahawa orang Islam perlu faham dan hayati apa itu tanggungjawab dan apa itu batasan di dalam hidup mereka.

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hotel Toledo Amman Jordan

Rabu  15 Rabiul Awal 1433/8 Febuari 2012 jam 3.20 petang

IMG_9090

Kisah ini bermula dengan satu bekas kerepek ubi pedas yang dibawa ke Jaffa St.

IMG_9091

Banyak yang boleh kita betulkan cara kita berfikir untuk menjadikan kita lebih berjati diri sebagai seorang muslim.

IMG_9092

Mereka cukup menjaga bab “Kosher” setiap kedai makanan perlu memohom Kosher sehingga kalau kedai orang Arab yang ingin berniaga di tempat Yahudi juga perlu memohon. Sijil diberikan pada orang Yahudi sahaja. Adakah sijil halal kita di Malaysia diberikan pada orang Islam sahaja? Atau paling kurang syaratkan mana-mana orang kafir yang ingin memohon sijil halal, orang Islam perlu berada di dalam syarikat itu untuk memastikannya tidak disalah gunakan.

IMG_9093

Kesimpulan yang dapat kita pelajari ialah setiap kita perlu tahu apa itu batasan di dalam hidup kita. Setiap perkara ada batasannya. Dan batasan di dalam bahasa Arab adalah hudud. Hudud diperingkat diri, peringkat keluarga, peringkat masyarakat, peringkat negara dan peringakat Ummah. 

Perkara kedua adalah tanggungjawab, tanggungjawab di dalam bahasa Arab disebut sebagai “taklif” dan setiap orang ada taklifan yang perlu dilaksanakan diperingkat diri, peringkat keluarga, peringkat masyarakat, peringkat negara dan peringkat Ummah.

IMG_9094

Sijil “Kosher” yang perlu dipohon dan ia hanya diberi pada orang Yahudi atau mesti di dalam syarikat itu ada orang yahudi, adakah sijil halal kita begitu di Malaysia? Sebab itulah orang kafir banyak menyalahgunakan tanda halal..

3 comments:

cikmilah said...

salam ustaz,
very very interesting la ustaz. dan saya mmg suka dgr ustaz 'bersyarah' dlm tanyalah ustaz sbb very spot on. more on the jews pls. assalamualaikum.

Anonymous said...

salm ustaz,sangat teruja dgn lawatan , teringin pula nak ikut serta boleh ke ustaz dan bagaimana kalau nak ikut rombongan ustaz.

tkasih, wassalam
insan kerdil

Anonymous said...

setuju dgn pandangan ustaz...kerajaan kita terlalu berlembut dalam isu logo halal..sebab tu orang kafir berani salah guna..contohnya aada syarkat buat pau, tidak ada kena mengena dgn orang islam tapi guna nama org islam