Saturday, February 4, 2012

Diari 352 - “Al-Aqsa Di Hati..”

“Ustaz, alang-alang dah ke Jordan, marilah masuk ke Petra” kata salah seorang ahli jemaah yang saya bawa mencadangkan agar saya membawa jemaah ke kota tinggalan Kaum Nabatien.

Sebenarnya, kalau perjalanan ke Palestin ini, walaupun melalui Jordan, saya lebih suka menghabiskan masa di Palestin terutamanya masjid al-Aqsa. Tiga alasannya.

Pertama kerana ia berkaitan langsung dengan ibadah kita, Nabi mengatakan bahawa solat di al-Aqsa bersamaan dengan 500 kali solat.

Kedua, saya mahu kita rasakan al-Aqsa sebagai kampung kita sendiri. Kalau hanya dua atau tiga hari di sini, tidak mencukupi. Apabila kita duduk betul-betul di kota Jerusalem, pagi-pagi boleh berqiamullail di sini, berjalan dilorong-lorong “Old City Of Jerusalem”, kemudian menerokai sejarah-sejarah Jerusalem dan kota sekitarnya yang berkaitan dengan Islam, kita akan dapat meningkatkan penghayatan sejarah Islam lebih 40% lagi. Itu yang berlaku pada diri saya sendiri.

Ketiga, masuk ke Palestin memang susah. Ia berada di bawah kawalan Israel. Belum tentu masa akan datang kita berpeluang untuk ke sini. Jadi, sementara boleh masuk. Habiskan masa betul-betul di sini. Tempat lain kita tiada halangan untuk pergi, tetapi ke sini memang agak terhad.

2 Febuari 2012, saya dan rombongan telah sampai di Jordan. Selepas sarapan pagi, kami bertolak ke King Hussain Bridge. Jam 10.10 pagi, kami melintasi border. Di border ini adalah satu tempat yang agak memberi tekanan. Seorang dari kami tertahan hampir 3 jam. Alhamdulillah, semuanya selamat.

Kami terus ke kota Jericho, kota tertua dan terendah di dunia, ia terletak berhampiran dengan laut mati. Menikmati makan tengah hari di sini sungguh menyelerakan lebih-lebih lagi sekarang tengah musim sejuk. Suhu kala ini sekitar 4 darjah celcius.

Selesai makan kami terus ke kota Jerusalem. Satu pemandangan yang pasti menitiskan air mata ialah ketika kami melintasi terowong. Saya mengambil pembesar suara dan mengajak jemaah sama-sama bertakbir seakan takbir hari raya. Habis sahaja terowong saya meminta para jemaah memandang di sebelah kiri dan ketika itulah, satu pemandangan yang akan menyebabkan hati kita tersentuh, itulah al-Aqsa yang lama dirindui oleh setiap hati-hati umat Islam. Satu bumi barakah yang disebut di dalam al-Quran dan bumi Syahid hingga hari kiamat.

“Saya suka mengajak kita semua ke sini kerana saya suka kongsikan perasaan pertama menatap masjid al-Aqsa yang berkat ini…”

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Jumaat 10 Rabiul Awal 1433/3 Febuari 2012 jam 11.00 malam

1 comment:

Anonymous said...

Assalam ustaz,

Masya Allah. Walau tak ada gambar, tapi hati terkesan catatan ustaz.

Semuga dapat kesempatan ke sana juga, insya Allah.

Semuga dalam redha Allah.

Barakaullah

AJ

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...