Sunday, August 28, 2011

Universiti Kehidupan 205 - Pelajaran Masjid Nabawi "Islam Tidak Menafikan Kemanusiaan.."

Saya berada di Madinah untuk Ramadhan 1432 ini agak lama. Hari raya barulah bertolak ke Mekah.

Ketika di Madinah, saya banyak bertemu dengan jemaah Malaysia yang menunaikan Umrah. Ada yang sudah pulang, ada yang baru sampai, ada yang sudah bertolak ke Mekah.

"Ustaz, kenapa kalau sembahyang tarawikh di Masjdi Nabawi, saya rasa mengantuk sangat, agaknya banyak dosa saya ni.." kata seorang jemaah.

Saya melihat wajahnya..

"InsyaAllah, lepas tiga hari nanti oklah tu.."

Selepas tiga hari, dia mula selesa bertarawikh, barang kali dosanya sudah mula di ampun Allah atau jam biologynya sudah dapat menserasikan diri dengan waktu Mekah.

Sebenarnya, Islam tidak menafikan soal kemanusiaan. Kita datang dari Malaysia yang beza waktunya 5 jam, kalau Mekah jam 9 malam, maka di Malaysia sudah jam 2 pagi. Memang mata kita akan mengantuk kala itu. Kita perlukan beberapa hari untuk mensesuaikan diri.

Saya melangkah masuk ke masjid Nabawi, jemaah pada 10 malam akhir ini penuh, berbagai bentuk wajah ada, Arab, China, Pakistan, Melayu, Eropah dan berbagai-bagai lagi. Mereka sama-sama merebahkan dahi menyembah Allah.

Kita tidak menafikan soal berkat yang ada di Masjid Nabawi sehingga menyebabkan orang suka untuk beribadah di sini, Jasad Rasullullah hanya beberapa meter dengan para jemaah di sini. Sudah tentu keberkatan itu melimpah pada para Jemaah. Cuma kesempatan kali ini, saya ingin membahaskan soal Islam yang tidak menafikan soal kemanusiaan dan ini yang amat difahami oleh pentadbir kota Madinah.

Di kala musim panas yang terik, bahang panas datang dari semua arah, dari atas, dari tepi, dari bawah dan sekeliling kita, kita ibarat duduk di dalam oven yang sedang dihangatkan, ketika itu Masjid Nabawi disejukkan dengan penghawa dingin yang amat sesuai suhunya, tidak terlalu sejuk dan tidak juga panas.

Kita tidak memerlukan baju sejuk di dalam Masjid Nabawi, dan kita tidak pula memerlukan kipas kertas yang terpaksa di lenggokkan ke kanan dan ke kiri untuk mendapatkan angin. Kedinginan ini menjadikan jemaah selesa untuk beribadah.

Dari sudut lampu dan pencahayaan pula, di dalam Masjid Nabawi, lampu-lampunya tidak terlalu terang hingga menyilaukan mata atau tidak terlalu malap hingga menjadikan para jemaah mengantuk.

Pencahayaan di dalam Masjid Nabawi datangnya dari lampu-lampu kecil yang banyak, cahayanya mencapah sempurna ke segenap arah. Mata kita akan berasa lega di dalam Masjid Nabawi.

Pembesar suaranya juga amat bagus, tidak berdengung, tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan.

Serak basah suara Imam menerobis sempurna ke gegendang telinga. Pemilihan orang yang bersuara lunak juga penting di dalam pemilihan seorang Imam.

Cuba kita bandingkan dengan sesetengah masjid di Malaysia, kadang kala faktor panas, faktor pembesar suara yang kurang bagus, faktor lampu yang malap dan faktor orang Malaysia yang juga perlu ditingkatkan budaya menghidupkan masjid.

Ke masjid kandang kala terasa beban, kuliah maghrib dan subuh yang tidak berbutir suara ustaz, khutbah jumaat yang panas dan suara imam yang berdengung tanpa difahami.

Ini antara faktor lahiriah yang perlu ditingkatkan selain dari faktor rohani.

Sesungguhnya Islam tidak menafikan soal kemanusiaan, faktor kemanusiaan adalah antara timbang tara yang besar di dalam menentukan hukum.

Baiki faktor zahir, ia akan lebih sempurna hasilnya lebih-lebih lagi jika seiring peningkatan antara faktor zahir dan faktor batin.

Sesungguhnya, manusia itu ada zahir dan ada batin. Kedua-dua faktor ini penting bagi menjadikan hidup manusia seimbang di dalam perjalanan mereka menuju akhirat.

“Univerisiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Diyafah al-Syarq

Madinah Al-Munawwarah

28 Ramadhan 1432/ 28 Ogos 2011 jam 3.30 petang

1 comment:

Anonymous said...

ada satu mesjid pembesar suaranya sangat bagus iaitu namanya mesjid batu d permatang pauh.kawasan muslimat d belakang terdengar dgn jelas sangat.ini tak mampu d tiru oleh mesjid al falah usj 9 walau telah belanja beribu2 ringgit utk sistem audionya.tahniah mesjid batu.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...