Wednesday, August 24, 2011

Diari 330 - Madinah Kala Ini....

24 Ogos 2011, cuaca di Madinah mencecah 45 darjah celcius dan walaupun suhu mencecah setinggi itu, tapi ia sebenarnya lebih panas lagi lantaran angin panas yang bertiup dari berbagai arah dan juga bahang dari batu batan kota Madinah dari bawah.

Teringat saya sepotong hadis ketika Nabi SAW melewatkan sedikit solat zohor kerana terlalu panas.

Hotel Diyaf al-Syarq yang saya tinggal betul-betul menghadap Masjid Nabawi. Dari tingkap hotel saya melihat terlalu ramai manusia memenuhi ruang masjid hingga melimpah keluar. Mereka datang dari berbagai negara. Wajah mereka bersih dan tenang menjadi jiran Nabi SAW pada 10 malam akhir.

Pada waktu petang, akan ada agen-agen yang menunggu di pintu hotel. Mereka bukan agen jualan langsung, tetapi agen meraih redha Allah. Mereka akan memberi salam pada kita, dengan senyuman menarik tangan kita dan mengajak kita berbuka puasa pada tempat yang mereka sediakan. Syarikat-syarikat di sini berlumba-lumba menyediakan buka puasa pada para jemaah yang membanjiri kota barokah ini.

Inilah kota yang menduduki senarai teratas sebagai kota paling aman di dunia. Semua terimbau seakan junjungan besar Nabi SAW seolah-olah di sisi.

Bayangkan, keberkatan masih terasa walaupun Nabi SAW sudah tiada, bagaimana ketika Nabi SAW masih bersama penduduk di sini? Aduh, indahnya kala itu..

Ketika pembukaan kota Mekah, Rasullullah memimpin sendiri tentangan yang dilakukan oleh penduduk sekitar kota Mekah. Selesai perang, Nabi SAW mengagihkan harta rampasan pada penduduk Mekah. Perkara ini menjadi bualan sahabat yang dari Madinah seolah-olah Nabi melebihkan saudara mara baginda di Mekah. Apa kata Nabi...

"Wahai sahabat Ansar sekelian, harta ini tidak punyai sedikit pun nilai di sisiku, yang paling aku hargai ialah kamu sekelian, oleh itu, bawalah aku balik ke Madinah kerana aku akan bersama kamu"

Perkataan itu menjadikan para sahabat Ansar memeluk Nabi dengan linangan air mata dan ternyata benar kata Junjungan Besar Nabi SAW, sekembalinya ke Madinah, Nabi SAW tenang bertemu Ilahi di sisi sahabat Ansar.

Melihat kubah hijau makam Nabi, akan mengimbau kisah-kisah kecintaan Nabi kepada ummat, persoalannya, adakah kita juga mencintai baginda sebagai jalan mencintai Allah..?

Semoga Allah rezkikan saya dan pembaca sekelian mencintai Allah dan RasulNya, amin..

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Diyafah al-Syarq
Madinah Al-Munawwarah
24 Ramadhan 1432/ 24 Ogos 2011
Jam 3.15 petang




4 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz, saya Ridzuan Ishak, ingin memohon Ustaz tolong doakan kesihatan anak saya Muhammad Aryan, yg baru lahir pada 13 Ramadhan 1432 (13.08.2011)kerana mengidap jantung berlubang dan injap jantung yang kompleks, kini berada di ICU Pediactric PPUM dan juga kepada sahabat2 yg mmbaca..juga tolong doakan...terima kasih..

Carrie-Ma said...

Berat sungguh dugaan untuk anak sekecil itu. semoga ada hikmah di sebalik setiap kejadianNya.

Anonymous said...

Assalam..En Ridzuan..muga tabah..AlFatihah muga anaknya beransur sembuh..amiin.

Unknown said...

Assalamualaikum ustaz. Saya mengucapkan ribuan terima kasih pada ustaz kerana sanggup berkongsi pengalaman ustaz di madinah/makkah ini. Walaupun saya tidak pernah pergi saya amat terasa seperti saya berada di sana. Dan sangat sedih saya masih tidak mampu pijak kaki di bumi Allah ni. Semoga suatu hari nanti. Dapatlah saya ibu bapa saya pergi ke sana bersama sama. InsyaAllah. Terima kasih atas perkongsian ustaz.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...