Saturday, August 27, 2011

Universiti Kehidupan 204 - "Dakwah Lapangan Yang Semakin Popular.."

Kesedaran mengenai pentingnya dakwah lapangan telah mula ada di kalangan AJK masjid. Ini kerana sebenarnya, dakwah itu bukan sahaja di datangi tetapi sebenarnya ia mendatangi.

Kalau nak harap anak muda turun ke masjid mendengar kuliah memang jaranglah berlaku kerana kebanyakkan anak muda di Malaysia lebih gemar ke tempat yang lebih santai dan ada hiburan.

13 Ogos 2011, saya telah memenuhi undangan dari Masjid Kota Damansara untuk memberikan kuliah kepada pengunjung di Uptown Damansara, kawasan hanya hidup di waktu malam. Pengunjung malam ini memang ramai lebih-lebih lagi pada malam minggu seperti ini.

Program ini bermula jam 12.30 tengah malam.

Saya telah sampai sejak jam 12.00 tengah malam lagi, melawat beberapa kedai dan gerai-gerai serta beramah mesra dengan peniaga kecil di sini. Yang menggembirakan kebanyakkannya adalah orang Melayu Islam kita.

Inilah semangat yang harus terus disuburkan, budaya berniaga di kalangan orang Melayu Islam kita kerana kekuatan ekonomi antara cabang penting di dalam perjuangan Islam.

Lihat sahaja ketika Nabi SAW sampai ke Madinah, barang pertama yang diusahkan adalah dengan mewujudkan Suuq Ansar (pasar Ansar) dan kesungguhan para sahabat berniaga sehingga menggulung tikarkan ekonomi Yahudi yang telah berakar sejak 200 tahun di Madinah ketika itu.

Tepat 12.30 tengah malam, saya dijemput untuk naik ke atas pentas yang disediakan. Biasanya pentas ini adalah untuk orang menyanyi dan berkaraoke.

Tajuk ceramah berkisar mengenai persoalan Ramadhan.

AJK masjid telah menyediakan nombor telifon untuk para pendengar menghantar soalan melalui SMS dan apa yang mengejutkan adalah 3/4 perjalanan program dipenuhi dengan soalan.

Beginilah sebenarnya, anak muda kita memang mahu bertanya mengenai agama, cuma untuk terus ke masjid mungkin mereka merasa segan kerana ketrampilan yang memakai seluar jean dan t-shirt yang bergambar macam-macam. Mungkin juga pengalaman mereka dimarah oleh orang masjid atau disindir menjadikan mereka agak segan untuk ke rumah Allah ini.

Tapi jika ada peluang agama menghampiri mereka, maka mereka berminat untuk menyertainya.

Tahniah bagi AJK Masjid Kota Damansara dan semoga program sebegini akan lebih banyak lagi dianjurkan bagi kebaikan anak-anak muda bangsa Muslim kita.


“Univerisiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”


Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Diyafah al-Syarq

Madinah Al-Munawwarah

27 Ramadhan 1432/ 27 Ogos 2011

Jam 11.00 pagi

Berceramah pada golongan muda, pendekatannya juga berbeza dengan pembentangan di Universiti, atau pendekatan di TV, Radio mahupun di masjid.
Perbincangan malam ini lebih santai dan apa yang menggembirakan 3/4 perjalanan program adalah menjawab puluhan soalan yang diajukan melalui sms. Satu respons yang cukup baik dari anak muda yang sebenarnya memang sudah mula cenderung kepada program agama..

1 comment:

Anonymous said...

Nabi saw dah ajar lama kan ustaz, ttg 'senyum' ni... kita perhatikan akhir2ni kita kurang senyuk pada org2 yg kita tak kenal ....

So org tua2, apa salahnya senyum pada anak2 muda, & pegang bahunya serta ucap salam..

Saya perhatikan, golongan yg dah 'ok' penampilan (bertudung labuh misalnya), susah nak senyum & beri salam, bila jumpa bukan saja pada golongan2 lum tutup aurat sempurna, malah pada makcik2 & org2 tua..