Sunday, August 14, 2011

Universiti Kehidupan 202 – “Kami Berniaga Untuk Kayakan Masjid…”

27 Julai 2011, ini kali ke empat saya datang ke Guangzhou China dalam tempoh dua bulan iaitu Jun dan Julai bagi memenuhi pembentangan kursus pra persaraan bersinergi anjuran Tabung Haji.

Rombongan kali ini begitu bersemangat untuk menjadi peniaga dan usahawan. Mereka adalah bakal pesara. Mereka beruntung kerana Tabung Haji membawa mereka ke China, mengajar untuk mengambil barang di China dan membawanya balik ke Malaysia untuk berniaga.

Seperti rombongan yang lepas, ada juga antara mereka yang tidak bercita-cita untuk menjadi peniaga dan usahawan.

“Alah ustaz, nak apa lagi, semua cukup dah, rumah dah ada, kereta dah ada, anak dah masuk universiti, dah berumur dah.., duduk rumah diam-diam buat ibadah cukuplah…” kata salah seorang peserta.

Betul juga kalau dilihat dari sekali pandang. Nak apa lagi? Dah pencen dan berumur….

Selepas tamat program bersama Tabung Haji, saya bersama pula dengan krew TV9 ke Xian, dua jam setengah perjalanan menaiki kapal terbang dari Guangzhou. Kami membuat pengambaran mengenai “Islam di China” dan juga “Ramadahan di China”.

Ketika berjalan-jalan di kota Xian, saya seronok melihat orang-orang Cina Muslim berniaga dan mereka cukup bersemangat menjalani perniagaan.

Saya melihat seorang yang telah tua, janggutnya putih dan lurus, kalau kita tengok cerita Cina, barangkali seakan tok guru Kung Fu yang duduk di biara-biara. Dia memakai kopiah putih, mukanya jernih dan tenang, akan sentiasa berjemaah di masjid besar Xian setiap kali solat.

Dari wajahnya, saya menganggarkan umurnya dalam 90 tahun.

Saya duduk bersama-samanya, berbual-bual dengan bahasa yang terbatas, dia mengatahui sedikit bahasa Arab.

Kalau nak lihat dari segi umur, apa lagi yang dia mahu? Sepatutnya cukuplah duduk di rumah berehat, tak perlu untuk bersusah payah buka kedai waktu pagi dan tutup waktu petang.

Tetapi ketika di tanya kenapa dia mahu berniaga? Maka jawapan yang agar menarik perhatian hati saya, berbeza dengan jawapan sesetegah orang dari kita yang pernah saya temui.

“Saya berniaga bukan untuk kayakan diri saya, diri saya dah cukup, tapi saya berniaga kerana saya nak kayakan masjid….”

Saya agak tersentak dengan cara berfikir seperti ini.

Orang seperti ini yang kita mahu ramaikan di dalam negara kita. Berniaga bukan sahaja untuk kayakan diri, tapi mahu kayakan institusi. Kayakan masjid, kayakan sekolah agama, kayakan madrasah, rumah anak yatim dan sebagainya.

Bayangkan jika institusi masjid punyai kewangan berjuta ringgit. Maka sudah tentu program yang hebat dapat dilaksakan diperingkat masjid. Sudah tentu program pada semua golongan akan dapat dilaksanakan di masjid.

Kebanyakkan program di masjid sekarang adalah sasarannya orang tua dan pencen. Jarang sasarannya orang muda.

Tapi kalau masjid kaya, sudah tentu banyak program dapat dibuat. Untuk orang muda, boleh anjur khas program orang muda, untuk kanak-kanak boleh anjur khas program kanak-kanak.

Ini satu contoh yang boleh kita kongsikan. Bekerja dan berniaga untuk kayakan ummah dan bukan semata-mata untuk diri sendiri. Kalau ini dapat kita ubah, maka sudah tentu kita akan lihat fungsi masjid dan institusi sosial bagi muslim ditingkatkan ke arah yang lebih hebat.

Berbeza dari sesetengah kita, kerana kita terlalu memikirkan kepentingan diri……

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah al-Amin

Putra Heights

14 Ramadhan 1432/ 14 Ogos 2011 jam 11.50 malam

IMG_4018

Kursus perniagaan dan pra persaraan rombongan keempat Tabung Haji

IMG_4021

IMG_4031

IMG_4032

Bengkel berkumpulan

IMG_4040

Ziarah masjid Abi Waqqas di Guangzhou

IMG_4051

Kenangan di hadapan masjid Abi Waqqas

1 comment:

USHBUN MUSTAWIYYUN said...

masyaALLAH..betul tu ustaz, berniaga tuk kayakan masjid spertimna kita ikut zaman masjid Rasulullah s.a.w.. di mana masjid djadikan pusat ekonomi..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...