Saturday, August 27, 2011

Universiti Kehidupan 203 - "Kebersihan Datangnya Dari Cara Kita Berfikir.."

18 Ogos 2011 jam 6.00 petang, hari ini Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah di kunjungi oleh sahabat-sahabat dari Takaful Ikhlas yang ingin berbuka puasa bersama saudara-saudara HIV kita.


Sempena dengan majlis ini juga, kami dari Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah meraikan hari ulang tahun kedua penubuhan Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah.


Majlis ini juga adalah majlis perpisahan dengan tempat ini kerana Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah akan berpindah ke lokasi yang sedang di cari. Tuan rumah ini mahu menggunakan rumah ini sekarang.


Majlis dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz dari Takaful Ikhlas. Kemudian majlis ramah mesra dengan penghuni dan sedikit taklimat mengenai perjalanan Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah.


Selepas berbuka ringkas dengan kurma dan air sejuk, kami terus menunaikan solat Maghrib berjemaah.


Selepas solat, kami menjamu selera bersama-sama. Majlis akan diteruskan sehinggalah solat tarawikh bersama-sama.


“Ustaz, saya bukan nak pujilah, tapi satu kelainanlah di sini” kata salah seorang pegawai takaful ikhlas ini.


“Apa dia?” tanya saya agak tertunggu-tunggu komen yang akan diberikan pada Darul Ukhwah.


“Kami biasa buat program di rumah-rumah kebajikan, tapi biasanya, kalau sebut rumah kebajikan yang susah, kenapa biasanya kotor?” kata pegawai ini memberi komen.


“Saya tengok, keadaan rumah Darul Ukhwah ini, alhamdulillah, bersih..” katanya


“Saya pernah membuat satu program di sebuah keluarga, keluarga itu susah dan mereka tidur di bahagian bawah rumah, ketika saya menyelak pintu bahagian atas, rupanya penuh dengan sampah” pegawai ini menambah lagi.


“Kalau dia ambil masa untuk bersihkan bahagian atas, maka mereka akan tidur lebih selesa di bahagian itu” katanya lagi.


Saya merenung sejenak, fikiran saya menerawang pada program-program yang pernah saya sertai sama ada di Malaysia, di Kemboja, di Pakistan, di Indonesia dan sebagainya..


“Mmm, betul juga ya” kata saya.


Sebenarnya bukan orang susah atau orang senang, sebenarnya cara berfikir seseorang itu yang menjadikannya begitu.


Walaupun orang susah atau orang senang, jika cara dia melihat kebersihan bermasalah, maka dia akan bermasalah dengan kebersihan.


Ada di antara orang susah yang memang bermasalah di dalam kebersihan. Barang kali, motivasi untuk hidup dengan keadaan baik itu sudah merosot hingga kebersihan tidak menjadi keutamaan.


Rasullullah pernah melarang seseorang memakai kasut hanya sebelah, menjahit baju dengan keadaannya terlekat di badan, tidak menguruskan janggut dan misai dengan baik serta tidak menjaga kebersihan sehingga kebersihan di senaraikan sebahagian dari Iman.


Kalau kita melihat ciri-ciri orang yang akan mewarisi kefikiran kebanyakkannya adalah menyentuh mengenai tidak menjaga kebersihan.


Perkataan pegawai takaful ini ada kebenarannya, kebanyakkan rumah kebajikan kadang kala kurang menjaga kebersihan. Ia sinonim dengan kotor dan tidak terurus.


Ia berkaitan dengan cara berfikir, ia berkaitan dengan kepekaan kita terhadap galakan Nabi pada kebersihan. Sesungguhnya, kebersihan itu sebahagian dari Iman dan sesungguhnya, kotor itu akan mewarisi kefakiran dan penyakit.


Semoga kita semua menjadi orang yang akan memelihara kebersihan, dari kebersihan lahir hinggalah kepada kebersihan jiwa kita.


“Univerisiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”


Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Diyafah al-Syarq

Madinah Al-Munawwarah

27 Ramadhan 1432/ 27 Ogos 2011

Jam 10.50 pagi

Saudara-saudara saya dari Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah

Majlis malam ini juga sempena dengan ulang tahun kedua Darul Ukhwah Yayasan al-IjabahPegawai dari Takaful Ikhlas

Pegawai muslimahPenerangan mengenai perjalanan Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...