Saturday, September 3, 2011

Universiti Kehidupan 211 – “Cara Orang Di China Mengelak Speed Trap..”

1 Ogos 2011, setelah melihat kawasan Wushu dan Shaolin di Deng Feng, kami perlu balik ke Zheng Zhou.  Dari sini, kami akan menaiki kereta api pulang ke Xi’an. 

Deng Feng adalah kawasan pergunungan seakan Cameron Highlands. Di waktu musim panas pun, ia sejuk dan berkabus.

IMG_4162

Pemandu teksi yang kami naik begitu bersemangat. Had laju di kawasan ini hanya 100 km/jam. Tiba-tiba di memandang saya dan tersenyum..

IMG_4158

Saya mengerutkan dahi, “She Ma..? (Kenapa?) kata saya..

IMG_4159

Dia mengambil sekeping CD, dia mengajak saya turun untuk menunjukkan sesuatu pada saya, mukanya tersenyum nakal..

IMG_4160

Rupanya, dia meletakkan sekeping CD di nombor flatnya

IMG_4161

Dan, kita boleh bayangkan punya laju dia bawa ….

Begitulah manusia, selagi ada sistem, selagi itu ada yang berusaha mengelaknya.

Kalau seseorang melanggar undang-undang dunia, maka mungkin akan berlaku mudharat di dunia, tapi bagaimana jika seseorang melanggar undang-undang Allah?, pasti akan mudharat di akhirat jika tidak taubat…

Mohon selamat di akhirat bermaksud kita perlu taat pada Allah dan Rasulnya.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Mekah al-Mukarramah

4 Syawal 1432/3 September 2011 jam 12.30 tengah malam

Universiti Kehidupan 210 – “Melawat Tempat Wushu Di China..”

1 Ogos 2011, hari ini negara China baru akan melihat anak bulan Ramadhan. Caranya agak istimewa. Imam Yahaya, Imam masjid Xi’an berkali-kali mengingatkan saya agar hadir di dalam acara tersebut.

IMG_4189

Kota Xi’an adalah kota yang ramai orang Islam. Duduk di sini kita merasa selesa kerana budaya Islam tidak asing bagi kita. Acara melihat anak bulan akan bermula setengah jam sebelum waktu Maghrib. Seharian tidak mempunyai apa-apa program, saya dan krew TV9 mengambil keputusan untuk meninjau sekitar kota Xi’an.

IMG_4102

Kami bertolak jam 8.00 pagi dari hotel menuju ke Xi’an North Station, tujuan asal kami ialah untuk ke Pergunungan Hua, satu kawasan pergunungan suci bagi orang Cina. Kalau kita melihat cerita lama Cina, biasanya sinonim dengan pergunungan Hua ini. Para petapa ilmu Kung Fu biasanya akan ke sini.

Barangkali, ia ibarat Gunung Ledang di negara kita. Jika setiap 1 Muharram, kita akan jumpa ramai petapa silat ke Gunung Ledang atau Pulau Besar untuk mempertajamkan ilmu. 

IMG_4104

Suasana station ini seperti lapanga terbang, sistem dan susunannya juga sama. Masalah yang berlaku di sini ialah kekurangan orang yang boleh berbahasa Inggeris. Penat nak memahamkan bahawa kami ingin ke pergunungan Hua.

IMG_4105

Hasilnya, kami terlajak hingga ke hujung station setelah membelah lalauan bersama kereta api laju ini selama dua jam.

IMG_4107

Dalam perjalanan selama dua jam ini, kami melalui kawasan kebun-kebun jagung, kilang dan paya-paya. Di kawasan paya terdapat orang memancing dengan buluh panjang.

IMG_4108

Pergunungan Hua sepatutnya hanya lepas satu station dan tidak sampai setengah jam perjalanan, tetapi kekhilafan komunikasi menjadikan kami ke tempat lain.

IMG_4109

Dengan menaiki kereta api laju ini, kami telah sampai ke Zheng Zhou, perjalanan selama dua jam lebih.

IMG_4169

Kereta api laju ini berjalan selaju lebih  240 km sejam, bermakna kami telah masuk ke dalam lagi kawasan negara China sejauh lebih 500 km

IMG_4115

Apa yang ada di Zheng Zhou? Kami dicadangkan untuk ke Deng Feng dan di sana kami akan dapat melihat kawasan Shaolin, legenda Kung Fu di China

IMG_4113

Dari Zheng Zhou ke Deng Feng, kami mengambil masa hampir sejam untuk sampai

IMG_4116

Sesampai  kawasan Deng Feng, baru kami tahu bahawa kawasan ini juga ramai penduduk Islam dan seni Wushu juga cukup terkenal di kawasan ini.

IMG_4117

Banyak tempat belajar Wushu yang dipimpin oleh orang Islam di sini.

IMG_4123

Kawasan yang terkenal di Deng Feng ini ialah sekolah Shaolin.

IMG_4128

Kalau nak memudahkan faham, ia seperti sekolah tradisonal kita di Malaysia seperti pondok.

IMG_4130

Kawasan Shaolin di sini  sudah menjadi tempat pelancongan, 

IMG_4144

Dan kalau jumpa orang Islam, mereka tidak akan lokek untuk mengajar kita seni mempertahankan diri mereka.

IMG_4147

InsyasAllah, nanti kita akan berkongsi kisah ini di dalam program Usrah “Islam di China” dan boleh bersama saya ketika seorang tuan guru Kung Fu Muslim mengajar saya gerakan Kung Fu.

p/s : Program di cadangkan lihat, kalau tak sempat boleh layari di blog saya ini.

Hikmah terlajak  di Deng Feng mendedahkan kami kawasan umat Islam yang baru iaitu kawasan yang terkenal dengan seni mempertahankan diri.

Mempelajari seni mempertahankan diri bagus dipelajari, paling kurang untuk kesihatan kita dan dijadikan sebagai budaya bersenam.

Sesungguhnya, mukmin yang kuat lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah (Maksud Hadis)

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Mekah al-Mukarramah

3 Syawal 1432/2 September 2011 jam 11.30 malam

Universiti Kehidupan 209 – “Bagaimana Muslim China Mengurus Jenazah..?”

30 Julai 2011, saya bersama krew TV9 tiba di Xi’an. Kami akan membuat dua episod program Usrah mengenai masyarakat Islam di China dan Ramadhan di China.

Sesampai di kota Xi’an, saya mencari sahabat saya Imam Yahaya. Beliau adalah imam besar masjid Xi’an, graduan Universiti al-Azhar.

“Ya Allah, selamat datang” imam Yahaya mengalukan kedatangan kami penuh gembira.

“Malam ni nanti kamu ikut saya, ada orang meninggal, nanti kamu boleh rakamkan bagaimana Muslim di sini mengurus Jenazah” kata Imam Yahaya.

“Bagus tu,benda macam ni bukan boleh dilakonkan, banyak manfaat boleh dikongsikan” kata saya.

Malam itu, selepas Isyak, kami mengikut Imam Yahaya ke rumah si mati.

IMG_4062

Di sini, kalau ada orang meninggal, jenazah akan terus dimandikan, kemudian imam dan orang masjid akan datang untuk memberikan talkin dan tazkirah..

IMG_4063

Tazkirah malam ini sungguh bersemangat hingga sejam lebih, dan macam di Malaysia juga, kalau dengar tazkirah, ada yang lelap.

IMG_4065

Pada waktu subuh, jenazah akan dibawa ke masjid, waris lelaki si mati akan menjunjung al-Quran sambil berlutut di hadapan jenazah dan semua orang akan mengambil al-Quran di cium kemudian  diletakkan kembali. Ia sebagai mensedekahkan fatihah kepada si mati.

IMG_4067

Selepas tamat, solat jenazah akan di dirikan, ketika jenazah digiring ke dalam van jenazah, ahli keluarga yang perempuan akan meraung menangis. Suasana menjadi sangat pilu dengan tangisan ahli keluarga perempuan.

IMG_4077

Berbas-bas akan datang mengiringi jenazah ke kuburan

IMG_4082

Tanah perkuburan di sini lebih dalam dari di Malaysia. Ia sedalam 12 kaki

IMG_4086

Di dalam liang  lahad, memang dibuat tangga sekali bagi memudahkan orang menurunkan jenazah ke dalam lahad

IMG_4089

Batu konkirt akan di susun bagi menutup liang  lahad sebelum dikambus dengan tanah.

IMG_4095

Selepas lahad di kambus dengan tanah, semua orang akan mengambil al-Quran dan membacanya diniatkan pada si mati

IMG_4098

Setiap keping al-Quran sebanyak satu juzuk. pagi ini di tanah perkuburan, Sebanyak tiga kali al-Quran dikhatamkan oleh lebih seratus orang. Seorang membaca lebih kurang satu juzuk

IMG_4100

selepas tamat di tanah perkuburan, semua yang hadir dijemput ke rumah si mati untuk jamuan.

Begitulah kita dari Allah dan kepadaNya kita akan kembali. Melihat jenazah diurus memberi kesedaran kepada kita bahawa nanti kita juga akan dimandikan, kita juga akan disembahyangkan, kita juga akan diiring ke kubur dan kita juga akan ditinggalkan keseorangan.

Di dalam sebuah Hadis, Nabi SAW bersabda,

“Tiga akan mengiringi jenazah, dua akan pulang dan satu yang tinggal. Mengiringinya ahli keluarga, harta dan amalan. Ahli keluarga dan harta akan pulang dan yang tinggal hanyalah amalannya”

Persoalannya, apakah persediaan kita?

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Mekah al-Mukarramah

3 Syawal 1432/2 September 2011 jam 11.00 malam

Friday, September 2, 2011

Universiti Kehidupan 208 – “Masjid Sebagai Chek Point Kebersihan..”

Pada Jun dan Julai 2011, 4 kali saya berulang ke China kerana mengendalikan kursus bersama Tabung Haji. Kesempatan berada di sini menjadikan saya banyak melihat budaya Muslim di China dari di Guangzhou, Xian dan Beijing.

Antara perkara yang saya suka perhatikan ialah bilik air dan tandas. Saya suka memerhatikan bagaimana pengurusan tempat najis ini. Di dalam ajaran Islam, najis adalah satu perkara yang perlu diuruskan dengan baik. Ia akan berkaitan dengan ibadah.

Kebersihan bukan sahaja pada perkara yang nampak, tetapi juga yang tidak nampak seperti najis kering dan barang najis adalah barang takrifan agama.

Walaupun kencing kering diletakkan minyak wangi, orang semua mengatakan kain kecing itu wangi dan bersih, ia tetap najis kerana takrifan najis adalah takrifan agama, bukan takrifan manusia.

Islam adalah sebuah agama yang menitikberatkan kebersihan dan sesiapa yang berpegang dengan ajaran Islam akan menjadi orang yang pembersih.

Ketika berada di masjid Xian, saya melihat…..

setiap kali jemaah datang ke masjid, mereka akan mengambil tuala, dibasahkan tuala ini, akan dilap badan mereka. Peluh-peluh dibersihkan dan mereka wangikan badan mereka.

Kalau di China, tandas di masjid akan ada air, selesa kita beristinjak. Orang di China yang bukan beragama Islam akan menggunakan kertas untuk membersihkan najis.

Saya teringat firmah Allah di dalam surah al-A’raf ayat 31

“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid …”

Masjid salah satu chek point untuk kebersihan, maka setiap kali memasuki masjid kita hendaklah membersihkan diri, membetulkan pakaian dan berhias dengan hiasan yang paling baik.

Inilah Islam, ada tempat dan chek point untuk kebersihan, siapa yang selalu datang ke masjid, dan berpegang dengan ayat ini, maka mereka akan menjadi orang yang sentiasa menjaga kebersihan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Mekah al-Mukarramah

3 Syawal 1432/2 September 2011 jam2.30 petang

IMG_1871

Tandas dan tempat wudhuk di masjid al-Azim Xian, orang yang akan ke masjid sentiasa membersihkan badan mereka setiap kali ingin solat

IMG_1880

Tuala wakaf yang digunakan oleh ahli Jemaah, siapa yang telah menggunakan, maka mereka akan basuh dan sidaikan kembali untuk digunakan semula

P1020298

Tandas di masjid sentiasa bersih.

P1020299

Keadaan tandas di Masjid Niujie Beijing, tandasnya ada lubang untuk mengintai sama ada di dalam ada orang atau tidak, kedudukan orang dalam tandas tidak menghadap atau membelakangkan pintu, dia akan mengereng. Jadi tidak akan berlaku tandas yang tertutup dari dalam  dan orang menunggu di luar dengan sangkaan ada orang di dalam

P1020301

Sama seperti di Xian, masjid Niujie di Beijing juga menyediakan kain untuk membersihkan badan.

Universiti Kehidupan 207 – “Rahsia Kebersihan Tanah Haram..”

Saya boleh golongkan orang miskin pada dua kategori menurut keadaan mereka.

1. Orang miskin kerana ketentuan

2. Orang miskin kerana memilih untuk menjadi begitu

Golongan pertama adalah orang miskin yang rajin berusaha, tetapi memang tidak ada apa yang boleh diusahakan. Seperti orang rajin yang duduk di negara susah. Walaupun berusaha sedaya upaya, tetapi keadaan sekeliling menjadikan dia tetap begitu.

Golongan kedua ialah orang miskin kerana tahap pemikirannya menjadikan dia memilih untuk begitu. Walaupun duduk di negara kaya, tetapi kerana malas berusaha menjadikan dia memilih untuk miskin.

Walaubagaimanapun, kesemua itu di bawah ketentuan ilmu Allah.

Sekarang kita sentuh mengenai kebersihan, Saya juga boleh golongkan pada dua.

1. Orang yang mentalitinya terhadap kebersihan bagus, cuma duduk di dalam suasana yang kotor seperti di padang pasir yang sentiasa berdebu, kawasan lumpur dan sebagainya.

2. Orang yang memilih untuk duduk dalam keadaan kotor.

Golongan pertama tidak menjadi masalah kerana sikap dan sifatnya akan membawanya sentiasa mencari kebersihan dan kesucian, mengutip sampah, membasuh baju dan sebagainya.

Golongan kedua agak bermasalah kerana mentalitinya memang begitu.

Saya melihat di Madinah dan Mekah, ada orang yang memang mentalitinya tidak tahu apa erti kebersihan, sendiri makan, sendiri tidak reti untuk buang di tong sampah, padahal tong sampah itu bukannya jauh.

Akhirnya dapat kita fahami bahawa manusia adalah apa yang ada di dalam fikirannya, caranya berfikir dan cara dia memandang sesuatu.

Para pembaca boleh membaca artikel saya di bawah ini.

http://www.ustazamin.com/2011/08/universiti-kehidupan-203-kebersihan.html

Walaubagaimanapun, saya memerhatikan sekeliling kota Madinah dan Mekah, walaupun seluruh dunia manusia datang, kenapa kota ini bersih dari sampah. Apa rahsianya?

Rahsianya ialah wujudnya orang yang selalu membersihkan kota ini. Mereka dari syarikat Ben Laden Group, sebuah syarikat yang mendapat kontrak membersihkan kota Mekah dan Madinah.

Bayarannya dari sudut dunia tentu tidak terfikir dek akal kita, kerajaan Saudi hanya membayar Saudi Riyal 1, untuk setahun dan memang itu pun yang Ben Laden mahu. Pada mereka, khidmat untuk dua tanah haram lebih membahagiakan dari tidur di dalam timbunan wang tetapi hati yang tidak tenang.

Tetapi, orang yang mengejar akhirat, dunia akan bersamanya, bukan sahaja pahala di akhirat yang dapat malahan keberkatan hidup sehingga menjadikan Ben Laden Group antara yang terkaya di rantau ini dengan projek-projek lain yang dia dapat.

Saya pernah menulis mengenai kewujudan golongan  yang membersihkan ini jika mentaliti masyarakat belum dibentuk, pembaca boleh melayari tulisan di bawah.

http://www.ustazamin.com/2011/01/universiti-kehidupan-183-amanah-si.html

Alangkah baiknya, jika kita dapat melahirkan golongan yang peka terhadap kebersihan, rasa bertanggungjawab ke atas setiap sampah yang dilihat di hadapan matanya dan berusaha mengutip dan menjaga suasana sekeliling dari kotor.

Atau, kalau pun masyarakat sekeliling belum benar-benar menjaganya, maka ada satu golongan yang menjaganya.

Sesungguhnya, kebersihan itu sebahagian dari Iman, dan tuntuan kebersihan itu merupakan sebahagian dari ajaran Islam yang syumul. Semoga kita menjadi umat Islam yang sentiasa menjaga kebersihan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Mekah al-Mukarramah

3 Syawal 1432/2 September 2011 jam 9.00 pagi

IMG_4547

Tong-tong sampah kota Mekah, pun masih ada yang membuang sampah di luar tong  ini..

Universiti Kehidupan 206 – “Ramadhan Di China, Apa Itu Mendidik Nafsu?..”

Guangzhou 4 Ogos 2011, Janne menemankan saya saya ke Bank of China. Dalam perjalanan dia asyik menunjukkan pada saya gambar-gambar dia dan boyfriendnya yang berada di dalam telifonnya. Krew TV 9 yang bersama saya hanya tinggal di hotel Jinjiang Inn di Jiefang Beilu.

Janne adalah kenalan saya di China, gadis Cina ini belum Islam. Tapi dia selalu bersama rombongan dari Malaysia yang menyertai Kursus Borong China.

Saya selalu berkata padanya:-

“Kamu ni Future Muslim, oklah…?”

Dan biasanya dia akan menjawab “Oklah..”

Kami berjalan agak jauh untuk ke Bank OF China….

“Bila kamu nak kahwin?” tanya saya.

“10 September depan” jawab Janne dengan wajah yang berbunga-bunga.

““Tarikh tu bagus ke?” tanya saya.

“Hmmm, bagus, kalau ikut Feng Shui saya, tarikh tu sesuai” kata Janne.

“Ok, tapi tarikh tu sehari sebelum kejadian 11 September di US, jadi setiap kali sambut ulang tahun perkahwinan, anak kamu akan teringat peristiwa itu, kalau dia kaji nanti betul-betul, dia masuk Islam lah” kata saya pada Janee sembil tertawa kecil.

Ketika ini, saya ada beberapa hari lagi untuk pulang ke Malaysia dari China, duit saya telah terputus, kad Maybank yang saya ada pula ditelan kerana kerosakan teknikal di mesin ATM . Jadi, salah satu jalan untuk mengirimkan duit dengan cepat adalah dengan membuka akaun bank di China, jadi, keluarga di Malaysia boleh mengirimkan duit melalui akaun.

Selesai urusan bank, Janne ingin mengajak saya makan sesuatu.

“Oh, tak apa terima kasih,sbb saya puasa sekarang ni. Semua orang muslim sekarang tak boleh makan sampai jam 7.00 petang” kata saya.

Kalau macam tu, dia ingin membelikan air pula untuk saya.

“Oh, minum pun tak boleh” kata saya

“Minum pun tak boleh?” tanyanya hairan.

Tak, kenapa? tanya saya kembali

“Tak boleh minum?, Abis kamu boleh tahan tengah panas dan waktu musim panas macam sekarang” kata Janne dengan muka kagum.

Saya tertelan air liur, baru perasan di Guangzhou sekarang tengah musim panas, baru saya perasan betapa hebatnya orang Islam, baru saya perasana bahawa kita dilatih untuk berbuat sesuatu yang biasa tidak mampu buat.

“Waw” kata Janee

“Kalau macam tu, tak apalah, nanti kita jumpa ye, terima kasih banyak Janne” kata saya mengakhiri perbualan.

Kami berpisah di satu persimpangan, Janne melangkah masuk ke dalam Metro, kereta api bawah tanah dan saya terus berjalanan dalam kepanasan musim panas di Guangzhou pulang ke hotel.

Beginilah hebatnya Islam dan hebatnya umat Islam jika berpegang dengan ajaran Islam ini. Ajaran Islam menjadikan kita seorang yang mampu menahan nafsu makan walaupun kita boleh berbuat demikian.

Manusia mudah kalah dengan nafsu yang berada di perut dan apa yang ada di bawah perutnya, dan kedua-dua perkara ini ditahan pada bulan Ramadhan. Nafsu makan dan nafsu syahwat.

Kalau kita berjaya menahan kedua-dua perkara ini, maka insyaAllah kita akan menjadi orang yang terus meningkat kehebatan nilai manusia. Ini kerana, manusia itu memang asalnya sebaik-baik kejadian, tetapi nafsulah yang meletakkannya ke serendah-rendah keadaan.

Jika kita berjaya menundukkan nafsu, bermaksud, kita akan berusaha untuk meniti menjadi sebaik-baik kejadian.

Semoga Allah sentiasa menrahmati orang yang ingin memperbaiki dirinya walau di mana mereka berada, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Mekah al-Mukarramah

3 Syawal 1432/2 September 2011 jam 8.00 pagi

IMG_4040

Bersama rombongan Tabung Haji di Makam Abi Waqqas

IMG_4044

Kalau colok di Malaysia digunakan hanya di kuil dan tokong, tapi di sini, colok bukan alat agama, tetapi adat di dalam mewangikan suasana sekeliling

IMG_4051

Masjid Sahabat Nabi SAW, Abi Waqqas

IMG_4054

Berbuka waktu petang, di China

Diari 332 – Madinah Malam 27 – 29 dan Hari Raya tahun 1432

Apa ada pada malam 27 Ramadhan? Kalau ikut sebahagian pandangan orang di sini, malam ini adalah malam lailatul qadar, malam lebih baik dari seribu bulan. Mereka menetapan terus malam lailatul qadar adalah malam ke 27 setiap tahun.

Perkarangan Madinah dipenuhi dengan manusia, manusia melimpah hingga ke tempat parking kereta yang ditutup, semua mereka bersolat tarawikh berjemaah. Pada malam harinya, qiamullail dibuat beramai-ramai.

Orang Paksitan dan India, begitu juga Turki, mereka duduk sejauh 3-4 kilometer. Jadi sekali mereka datang ke masjid Nabawi, mereka takkan balik hingga sampai waktu malam. Mereka duduk dan beriktikaf di perkarangan masjid Nabi. Masing-masing merasa bahagia menghabiskan Ramadhan dengan junjungan Nabi SAW.

Apa ada pada malam 29 Ramadhan?, malam ini Imam mula membaca juzuk 30..

“Malam ini khatam al-Quran,semua di Madinah akan turun ke masjid Nabawi” kata seorang pemandu teksi semasa saya pergi ke Maktabah Jarir, sebuah pusat buku di belakang masjid Qiblatain, mencari bahan-bahan dan kitab terkini bagi kajian Phd saya.

Dalam perjalanan ke Maktabah Jarir, saya melihat orang Pakistan dan Turki yang duduk di hotel yang jauh dari masjid Nabawi, mereka berjalan kaki ke Majid Nabi, tapi wajah mereka tenang dan bahagia..

Tarawikh malam ini, kebanyakkan jemaah dapat mengikut bacaan imam kerana ia dari juzuk 30.

Hari Raya Aidil Fitri, subuh jam 4.40 pagi, selepas subuh, masjid Nabawi sudah melaungkan takbir tanpa henti hinggalah jam 6.15 pagi untuk solat hari raya.

Kalau di Malaysia, kita mendirikan solat Aidil Fitri pada waktu dhuha, tapi di sini, waktu syuruk. Jemaah melimpah hingga ke jalan-jalan.

Beberapa orang Melayu di Madinah memakai baju Melayu dengan bersamping, menjadi tarikan pada jemaah dari negara lain.

Selepas menunaikan solat hari raya, mereka berpusu-pusu menziarahi Nabi tercinta.

Beginilah suasana malam-malam akhir di Madinah, semoga kita akan sentiasa menjadi tetamu Nabi di Madinah dan tetamu Allah di Mekah, amin..

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Mekah al-Mukarramah

3 Syawal 1432/2 September 2011 jam 7.00 pagi

IMG_4541

Beginilah malam-malam akhir bulan Ramadhan

IMG_4542

Manusia melimpah hingga ke tampat parking kereta

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...